Pasukan Mujahiddin Palestin meneruskan serangan ke atas tentera penjajah Israel (IOF) di Gaza dengan menyasarkan pusat pemerintahan dan kawalan tentera rejim.
Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, mengumumkan bahawa mereka telah mengebom satu tapak pemerintahan dan kawalan Israel berhampiran Sekolah Dar al-Arqam di kawasan al-Tuffah, timur Bandar Gaza, menggunakan beberapa peluru mortar.
Di selatan Gaza, berhampiran Khan Younis, Briged al-Qassam turut menyasarkan satu lagi tapak pemerintahan tentera penjajah di paksi Morag menggunakan peluru mortar berkaliber berat.
Pasukan pejuang terus menentang pencerobohan IOF di pelbagai bahagian Gaza melalui operasi strategik yang menyebabkan kerugian dari segi nyawa dan peralatan kepada tentera Israel.
Di kawasan al-Zannah, timur laut Khan Younis, pasukan al-Qassam menyerang kereta perisai pengangkut tentera IOF menggunakan bom tong (barrel bomb) yang kuat, dan dilaporkan menyebabkan kematian serta kecederaan kepada kru kenderaan tersebut.
IOF mengakui terdapat askar mereka yang cedera, termasuk seorang dalam keadaan serius.
Al-Qassam juga memaklumkan bahawa mereka telah berkoordinasi dengan Briged al-Quds (sayap bersenjata Jihad Islam Palestin) dan Briged al-Nasser Salah al-Din (sayap bersenjata Jawatankuasa Penentangan Popular), untuk mengebom satu kawasan himpunan tentera IOF dan kenderaan ketenteraan di utara Khan Younis, menggunakan tembakan mortar berat.
Briged al-Quds, bersama Briged Abu Ali Mustafa (sayap bersenjata Barisan Pembebasan Rakyat Palestin – PFLP), turut menerbitkan rakaman video operasi bersama yang berjaya memusnahkan kenderaan tentera IOF.
Mereka juga berkongsi video serangan menggunakan mortar ke atas tentera IOF, yang dilakukan bersama Briged Ansar di kawasan Shujaiya timur, berhampiran Bandar Gaza.
Dalam pengumuman berasingan, Briged Abu Ali Mustafa mengesahkan bahawa satu unit mereka berjaya memusnahkan sebuah kenderaan tentera IOF dengan alat peledak anti-perisai yang ditanam terlebih dahulu.
Operasi itu berlaku di kawasan timur Shujaiya dan dilaporkan menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan kru kenderaan tersebut.
Sementara itu, Briged Syuhada al-Aqsa mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas kumpulan tentera IOF dan kenderaan tentera menggunakan peluru mortar di timur al-Qarara, timur laut Khan Younis.
Sebagai tindak balas kepada perkembangan ini, tentera Israel mengesahkan bahawa seorang pegawai tentera mereka turut cedera di selatan Gaza.
Eskalasi ini berlaku di tengah laporan mengenai cadangan pelan serangan besar-besaran baharu ke atas Gaza oleh IOF, yang dijangka akan dibincangkan dalam sesi kabinet pada hari Khamis.
Namun, laporan menyebut bahawa pihak tentera Israel sendiri menyuarakan bantahan terhadap rancangan itu, dengan memberi amaran bahawa ia melibatkan risiko besar.
Akhbar berbahasa Ibrani, Yedioth Ahronoth, melaporkan bahawa jabatan pemulihan kerajaan Israel kini sedang merawat kira-kira 80,000 askar yang cedera.
Daripada jumlah itu, kira-kira 26,000 orang mengalami gangguan psikologi, dan laporan tersebut menyorot krisis kesihatan mental yang semakin parah dalam kalangan tentera Israel, termasuk peningkatan kes bunuh diri di kalangan mereka.