Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa erti kemerdekaan yang sebenar hanya akan tercapai apabila bangsa dan negara benar-benar bebas daripada belenggu acuan penjajah, dan kembali kepada sistem hidup berteraskan Islam.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, beliau mengingatkan rakyat bahawa sejarah panjang penjajahan di tanah air bermula sejak kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah mengakibatkan umat Islam kehilangan kuasa politik serta kedaulatan sendiri.
“Islam datang membawa erti kemerdekaan sebenar, membebaskan manusia daripada tunduk kepada hawa nafsu dan ciptaan sesama makhluk, untuk kembali menjadi hamba Allah yang Esa. Inilah fitrah yang sebenar dan inilah kebebasan yang hakiki,” ujar beliau.
Penjajahan Belum Benar-Benar Tamat
Walaupun laungan “Merdeka” telah bergema sejak 1957, Tuan Guru menegaskan bahawa hakikat penjajahan masih belum benar-benar berakhir.
Menurutnya, kesan tinggalan penjajah dalam aspek pemikiran, pendidikan, budaya dan pentadbiran masih membelenggu anak bangsa sehingga hari ini.
Beliau menekankan wujudnya bentuk penjajahan baharu, yang datang daripada bangsa sendiri yang mewarisi fahaman penjajah lalu meneruskan legasi memperhambakan rakyat dengan cara lebih halus.
“Pemikiran, pendidikan dan acuan yang diwariskan penjajah masih membelenggu anak bangsa kita. Kini kita berdepan dengan bentuk penjajahan baharu daripada kalangan bangsa sendiri,” katanya.
Kemerdekaan Menyeluruh
Menurut Abdul Hadi, kemerdekaan tidak boleh dihadkan kepada aspek politik semata-mata, tetapi mesti meliputi seluruh dimensi kehidupan termasuk ekonomi, pendidikan, budaya, dan pemikiran.
“Acuan penjajahan mesti ditinggalkan dan diganti dengan acuan Islam yang adil, sejahtera serta menyelamatkan semua,” katanya sambil menekankan bahawa hanya dengan Islam, kemerdekaan hakiki dapat ditegakkan.
Bahtera Bersama
Dalam perutusannya, Tuan Guru turut menegaskan bahawa Islam adalah jaminan keselamatan bukan sahaja untuk orang Melayu, malah untuk semua rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Hari ini marilah kita menegakkan kemerdekaan bersama Islam.
“Hanya dengan Islam bangsa Melayu akan selamat dan seluruh rakyat berbilang kaum dalam negara ini akan turut selamat, ibarat berada di dalam satu bahtera yang sama berlayar menuju kesejahteraan bersama,” ujarnya.
Beliau menutup perutusan dengan ucapan tahniah dan doa agar sambutan Hari Kebangsaan kali ini menjadi titik muhasabah bersama untuk mengukuhkan semangat perjuangan membina negara berdaulat berteraskan Islam.
“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2025,” katanya.
