Sudah 68 tahun kita menyambut hari kebangsaan dengan sejarah yang mewarnai suka duka perjuangan kemerdekaan negara ini bermula dari 1511 selepas kejatuhan Melaka yang kemudiannya dijarah Portugis sehingga masjid Agung Melaka diruntuhkan dan diganti dengan A Famosa.
Ia kemudiannya disambung oleh pemberani tanahair melawan Belanda selepas 130 tahun Portugis bertapak.
Akhirnya British datang dengan kelunakan tetapi bersama belati yang tajam, menikam Melayu Islam bertubi-tubi dengan senyum manis.
Namun tidak pernah terhenti perjuangan menentang penjajah bagi bumi tercinta ini.
Secara tulus, pejuang-pejuang yang sanggup menggadai nyawa untuk agama, bangsa dan negara ialah mereka yang mempunyai keilmuan dan kefahaman yang jelas dalam bidang agama.
Syahid adalah mati termulia.
Mereka menjadi faktor penting bagi menggerakkan kesedaran rakyat bahawa hidup ini mempunyai dua jalan terpenting iaitu hidup sebagai hamba Allah yang beriman atau mati sebagai syuhada.
Oleh itu perjuangan menentang penjajah yang kafir adalah satu perjalanan yang panjang.
Ia bagaikan mata rantai yang bersambung.
Tiada siapa diantara pejuang ini boleh mengaku bahawa merekalah yang memulakan atau merekalah yang mengakhirinya.
Mata rantai ini akan terus berputar sehingga hari kiamat.
Tujuan yang utama, mengangkat Allah sebagai Tuhan sekalian alam tiada sekutu bagi-Nya dan al-Quran sebagai perlembagaan manusia.
Setelah perjuangan ulamak Kaum Tua seperti Syeikh Wan Ahmad al-Fatani, Tok Ku Paloh, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong lepasan Mekah terhenti atas sebab takdir umur mereka telah sampai, para pejuang dari kalangan Kaum Muda pula mengambil alih.
Mereka yang majoritinya lulusan al-Azhar, Mesir mendapat suntikan semangat dari perjuangan Syeikh Muhammad Abduh, Jamaluddin al-Afghani dan juga Rasyid Rida, membawa pulang corak perjuangan yang baharu, tetapi tetap dalam kerangka Islam.
Kesinambungan perjuangan
Tokoh-tokoh Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi dan juga Haji Abbas Taha telah menggembleng tenaga dan kepakaran mereka bagi menerbitkan majalah al-Imam 1906, bagi memberikan kesedaran kepada rakyat untuk bangkit memerdekakan Tanah Melayu.
Kemudiannya di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang pula Syeikh Jalaluddin Tahir dan Syed Syeikh al-Hadi berjaya menjadikannya sebagai markas bagi mengembangkan lagi kefahaman menentang penjajah kepada rakyat.
Kemudian nama-nama besar pejuang kemerdekaan lahir di sini seperti Dr Burhanuddin al-Helmi, Musa Ahmad dan Abu Bakar al-Asyaari.
Para ulamak pejuang ini terus memberikan khidmat kepada masyarakat dan sentiasa melawan British.
Tetapi di manakah golongan kanan kemerdekaan Tanah Melayu atau puak elit dan bangsawan ketika sebelum Perang Dunia Kedua ini?
Mereka sedang berseronok menikmati hasil yang diberikan oleh British kepada mereka semenjak puluhan tahun dahulu, bermula dari British menguasai pentadbiran di Tanah Melayu.
Golongan elit dan bangsawan ini ralit dan leka dengan kemewahan.
Ia berterusan sehingga Perang Dunia Kedua.
Jepun telah mengalahkan British dengan mudah kerana janji Jepun Asia untuk orang Asia dan kerana British sudah dibenci rakyat akibat daripada polisi menjarah hasil bumi Tanah Melayu dan dikongsi dengan warga asing.
Namun Jepun gagal mengotakan janjinya.
Mereka lebih zalim dari British walau hanya tiga tahun memerintah.
Maka semangat kemerdekaan kembali dibawa oleh ulamak.
Apabila Jepun keluar Ogos 1945, Tanah Melayu dikuasai oleh Bintang Tiga atau Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA).
Selama dua minggu mereka mengganas, membunuh sesuka hati sesiapa sahaja yang mereka fikir sebagai tali barut Jepun atau musuh mereka.
Majoriti yang menjadi mangsa ialah orang Melayu Islam.
British kembali dan menyuraikan kerajaan Bintang Tiga ini.
British segera merancang untuk mengekalkan Tanah Melayu yang kaya itu dibawah kuasa mereka.
Maka terciptalah idea Malayan Union yang kemudiannya secara paksa, raja-raja Melayu disuruh menandatanganinya oleh wakil British Harold MacMicheal.
Bangsawan dan elit Melayu dalam Umno
Bangsawan dan elit Melayu baru tersedar dan hanya mahu menentang Malayan Union kerana kuasa mereka akan dikurangkan.
Maka ditubuhkan United Malayan National Organisation (Umno atau PEKEMBAR) pada 1946 yang mana penubuhan Umno ini adalah hasil dari berkumpulnya parti-parti atau pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu ketika itu termasuklah PKMM yang dikatakan kiri itu.
Tujuan elit dan bangsawan Melayu menubuhkan Umno ini adalah hanya untuk mengekalkan status quo kemewahan mereka sebelum Perang Dunia Kedua dahulu dan bukannya untuk mendapatkan kemerdekaan dari British.
Dalam rekod sejarah, dinyatakan bahawa golongan elit ini tidak menyakini Melayu boleh mentadbir negara dan mereka lebih yakin kepada British.
Umno kemudiannya berpecah kerana matlamat ini, bertentangan dengan kehendak majoriti pertubuhan lain dalam Umno.
Manakala British sangat senang dengan Umno yang tiada penentangan terhadap mereka dan mudah dibawa berbincang.
Ini kerana akhlak para elit dalam Umno ini adalah sama dengan orang barat (akhlak buruk).
Oleh itu Umno kemudiannya digelar sebagai golongan kanan, iaitu merujuk kepada mudah berbincang dan menerima banyak cadangan British.
Manakala kumpulan lain digelar golongan kiri, radikal kerana melawan British.
Oleh itu, walaupun ada cadangan Perlembagaan Rakyat oleh PUTERA-AMCJA iaitu sayap dari PKMM dan Kumpulan Cina yang sangat baik, ia ditolak mentah-mentah oleh British.
Februari 1948, Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mana isinya hampir sama dengan Malayan Union, kecuali kuasa raja dikembalikan.
Ulamak kemudiannya memikirkan perlunya menubuhkan parti bagi menyelamatkan umat Islam kerana Umno sudah tidak boleh diharap dan akhirnya lahirlah Hizbul Muslimin pada Mac 1948.
Dengan kepercayaan rakyat yang sangat kuat kepada ulamak, dalam masa tiga bulan,
HM berjaya menubuhkan cawangan di seluruh Tanah Melayu, kecuali di Singapura.
Banyak sekali cawangan Umno ditutup kerana rakyat beralih kepada ulamak.
British melihat ini sebagai satu ancaman kepada anak emasnya Umno.
Dato’ Onn menggelarkan HM sebagai bahaya dari gunung, menyamakan HM dengan Komunis yang digelar sebagai bahaya dari hutan.
Darurat atau Perang Kolonial?
Akhirnya British terpaksa mengambil satu langkah yang drastik iaitu mengisytiharkan Darurat pada 12 Jun 1948, atas alasan konon keganasan komunis membunuh tiga orang pengurus ladang di Sungai Siput.
Tetapi siapa yang paling awal ditangkap? Pemimpin HM.
Manakala komunis, tidak diharamkan sebelum darurat diisytiharkan.
PKM diharamkan hanya pada 23 Julai 1948.
Menurut Chin Peng, beliau mengetahui berkenaan darurat ini semasa beliau berada dalam bas dan diselamatkan oleh seorang perempuan yang menumpangkan beliau di rumahnya.
Rekod juga menunjukkan tiada ancaman dari komunis Soviet kerana PKM berkiblatkan China.
HM tidak diharamkan, tetapi pemimpin utama mereka ditangkap, menyebabkan kelompangan pentadbiran yang akhirnya pada September 1949, HM terkubur dengan sendirinya.
Seketika selepas tangkapan oleh British dan memburu ulamak serta golongan kiri, ramai antara mereka terpaksa memilih antara meninggalkan terus politik, masuk hutan bersama komunis atau duduk bersama elit Melayu dalam Umno.
Pastinya pilihan ketiga bagi ulamak adalah yang terbaik kerana mustahil mereka bersama komunis.
Oleh itu, Umno ibarat rumah tumpangan sementara untuk ulamak bergerak semula ke persada politik Tanah Melayu.
Dan apabila mendapati Umno bagaikan tidak mahu tunduk kepada larangan ulamak seperti berdegil mahu melaksanakan jualan loteri judi, menganjurkan fun fair yang ada kabaret, pemimpinnya masih meminum arak dan antara isu terbesar kemarahan ulamak ialah ketidakpedulian Umno terhadap isu Natrah yang terjadi pada tahun 1950, pimpinan Umno berdolak dalih, ulamak terpaksa bertindak.
Siapa menumpang siapa?
Maka ulamak yang menumpang di dalam Umno ketika itu melihat pentingnya mereka menubuhkan pertubuhan yang mengumpulkan majoriti ulamak di dalamnya.
Hasrat itu berjaya pada 23 Ogos 1951, Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan dan pada 24 November 1951 namanya ditukar kepada Parti Islam Se-Malaya (PAS).
Momokan PAS berasal dari Umno, amatlah rapuh kerana Umno sendiri menumpang banyak parti dan pertubuhan sewaktu penubuhannya.
Jika tiada semua pertubuhan dan parti itu, maka Umno secara asasnya juga tidak akan wujud.
Apatah lagi kumpulan terbesar yang mempunyai sehingga 100 ribu ahli ialah PKMM yang diketuai oleh Dr Burhanuddin al-Helmi yang kemudiannya menjadi Yang Dipertua PAS.
Manakala Persatuan Melayu Semenanjung Johor pimpinan Dato’ Onn hanya mewakili jumlah ahli yang kecil sahaja.
Analoginya sama seperti Nabi Musa menumpang di istana Firaun.
Adakah boleh kita mendakwa Musa lahir dari benih Firaun?
Atau kita ambil peristiwa Musa lari ke Madyan kerana membunuh Qibti dan diburu Firaun sehingga Musa bertemu dengan Nabi Syuaib.
Adakah boleh disebut asal usul Musa datang dari Syuaib atau Madyan?
Tentu sekali ini tidak boleh dijadikan hujah yang kuat hanya kerana menumpang sebentar di dalam satu kumpulan, maka ia disebut berasal dari kumpulan yang ditumpangi itu.
Apa lagi boleh dilihat perbezaan pegangan dan amalannya.
Umno dengan judi, arak dan kabaret.
Manakala ulamak pula takut dengan Allah.
Jalan cerita perjuangan ulamak ini sangat jelas dan bersambung dari zaman awal sebagaimana yang telah ditulis di atas.
Ia bukan rekaan, tetapi sebagai penyambung mata rantai dan saling memahami kerana mereka menggunakan bahasa al-Quran dan sunnah sebagai perhubungan walau tidak berjumpa.
Ulamak memahami kehendak Allah dan rasulnya. Berundur, maju, menang dan kalah adalah asam garam perjuangan yang panjang ini.
Jadi dakwaan PAS berasal dari Umno ini mungkin satu momokan jahil yang mahu mendakwa Umno adalah pemunya perut yang melahirkan banyak pejuang, tetapi mereka menjadi kesayangan kepada British penjajah yang jahat itu.
Mohd Nasir Abdullah
