Ketegangan Asia Barat semakin memuncak apabila rejim Zionis Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Qatar, Doha, dengan mensasarkan delegasi perunding Hamas yang sedang bermesyuarat pada Selasa.
Menurut laporan Al-Jazeera, serangan itu berlaku ketika delegasi Hamas sedang berbincang mengenai cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menghentikan peperangan di Semenanjung Gaza.
Sumber kanan Hamas memaklumkan bahawa Israel menyasarkan bilik mesyuarat delegasi tersebut dengan tujuan menghapuskan kepimpinan utama gerakan itu.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa keseluruhan kepimpinan Hamas terkorban dinafikan oleh pihak Hamas sendiri.
“Delegasi yang diketuai oleh Khalil al-Hayya berjaya terselamat daripada cubaan pembunuhan oleh Israel,” kata seorang pegawai kanan Hamas kepada Al-Jazeera.
Latar Serangan dan Statistik Terkini
Sejak bermulanya serangan pada 7 Oktober 2023, Gaza terus menjadi saksi kepada tragedi kemanusiaan besar-besaran.
Data terkini daripada Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza merekodkan 64,605 orang terbunuh dan 163,319 cedera, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Serangan Israel ke atas Qatar menandakan perluasan medan konflik, sekali gus meningkatkan risiko ketidakstabilan serantau.
Qatar sebelum ini dikenali sebagai tuan rumah perundingan penting dan penyokong utama bantuan kemanusiaan untuk Palestin.
Analisis: Isyarat Bahaya Baharu
Serangan ini membawa mesej jelas, Israel bukan sahaja mahu menekan Hamas di Gaza, tetapi juga cuba menutup ruang diplomasi yang selama ini dijayakan oleh Doha.
Cubaan membunuh kepimpinan Hamas di luar Palestin dilihat sebagai langkah provokatif yang boleh mencetuskan krisis diplomatik besar antara Israel dengan negara-negara Teluk.
Pengamat politik serantau menegaskan bahawa tindakan Israel ini boleh dianggap melanggar kedaulatan Qatar serta undang-undang antarabangsa.
Jika tiada tekanan segera daripada kuasa besar dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), peperangan mungkin melarat ke negara-negara jiran.
