Dalam satu tulisan terbaru Alang Ibn Shukrimun mengetengahkan pemerhatian penting tentang bagaimana provokasi digunakan sebagai modus operandi global, meskipun insiden berlaku di hemisfera yang berbeza.
Menurut beliau, pola tindakan itu hampir sama: provok untuk memancing reaksi, provok untuk dijadikan ugutan, dan provok untuk mencipta gambaran tertentu di mata awam.
Charlie Kirk Ditembak, Naratif Siapa Dimainkan?
Di Amerika Syarikat, dunia dikejutkan dengan berita penembakan tokoh konservatif Charlie Kirk pada jarak dekat ketika sesi rapat umum.
Kirk, yang terkenal sebagai pendebat lantang dan pengkritik keras feminis, LGBT dan liberalis, sering menjadi sasaran kecaman golongan kiri.
Namun sisi kontroversinya adalah sokongan tegas beliau terhadap Israel, menjadikan insiden tembakan itu mudah diputar naratifnya.
Ada pihak mungkin memanfaatkan peristiwa ini untuk melabel kelompok pro-Palestin sebagai ekstremis bersenjata, sekali gus menutup mata dunia terhadap prinsip sumud, ketabahan rakyat Palestin menentang penjajahan.
Kampung Melayu Kuala Lumpur: Polis Dibaling Batu
Di tanah air, seiring dengan itu, berlaku pula ketegangan di ibu negara apabila polis dibaling batu ketika menjalankan operasi mengosongkan Kampung Melayu.
Arahan datang daripada “government of the day”, tetapi tindak balas penduduk dipotretkan sebagai keganasan.
Apakah ia benar-benar tindak balas organik rakyat marah, atau wujud unsur provokasi terancang bagi memburukkan mereka yang menentang pengusiran?
Dari Stadium ke Jalanan
Bukan sahaja di medan politik, bahkan dalam acara sukan, pola provokasi sama kelihatan.
Dalam perlawanan bola di Kuala Nerus, ada pihak membakar mercun, seakan mahu menanam persepsi bahawa penganjur, khususnya pemuda PAS, tidak tahu mengurus pertandingan.
Tiga Lokasi, Satu Skrip?
Jika diperhatikan, ketiga-tiga insiden ini berkongsi pola yang sama:
Provokasi: Tercetus insiden
Reaksi: Pihak berkuasa atau orang ramai bertindak balas
Manipulasi Naratif: Reaksi itu digunakan untuk menggambarkan mereka sebagai ganas, tidak terkawal atau ekstrem.
Kunci utama untuk membezakan antara provokasi terancang dan tindakan organik rakyat ialah siapa pelakunya.
Identiti pelaku mesti dikenal pasti, ditangkap, dan disiasat sehingga ke akar umbi.
Hanya itu boleh mendedahkan “sanad” atau rantaian tangan-tangan tersembunyi di belakang, sama ada perisikan asing seperti Mossad, CIA, atau rangkaian lain.
Butang Kawalan Global?
Fenomena “replicate”, insiden di Malaysia yang kelihatan salin menyalin kejadian di luar negara menimbulkan tanda tanya besar.
Seakan ada controller global yang menekan butang, dan skrip yang sama dimainkan di pelbagai pentas dunia
Analisis
Politik global dan nasional kini bergerak di medan persepsi lebih daripada realiti.
Provokasi adalah senjata paling berkesan, ia tidak memerlukan peluru yang banyak, hanya cukup untuk mencetuskan reaksi, dan selebihnya naratif media akan mengerjakannya.
Namun, rakyat tidak boleh terus menjadi mangsa skrip yang sama.
Ketelusan siasatan, keberanian menamakan pelaku sebenar, dan kesedaran masyarakat untuk tidak cepat melatah adalah kunci untuk memutuskan “remote control” provokasi ini.
