Saya begitu yakin, nama-nama utama saf kepimpinan PAS Pusat dan sayap-sayapnya yang dipilih menang tanpa bertanding oleh perwakilan adalah manifestasi kesungguhan PAS merampas pentadbiran Putrajaya dalam PRU-16 nanti.
Ribuan perwakilan yang berkumpul, yang sekarang ini terdiri daripada kalangan cerdik pandai, cukup matang untuk memilih barisan kepimpinan terbaik PAS, untuk dipersembahkan kepada rakyat.
Betapa kecewanya para musuh-musuh PAS yang mengintai dari balik lubang dinding apabila perwakilan sebulat suara menolak sebarang pertandingan jawatan Presiden dan timbalannya.
Manakala jawatan Naib Presiden dan ketua-ketua dewan dipastikan sendiri oleh muka baharu yang dicalonkan untuk menyerahkan jawatan itu secara sukarela kepada penyandangnya.
Lalu bersuaralah musuh-musuh PAS melalui mahkluk yang berpakaian pensyarah, ulamak, atas pagar bahawa budaya ini tidak memberikan nafas baharu dalam kepimpinan PAS.
Idea-idea segar, tidak mungkin dihasilkan kerana pemikiran ketua yang usang, tidak bertukar semenjak puluhan tahun lamanya.
Tepu jemaah ini nanti, anak muda makin menjauh, ugut musuh PAS.
Namun kita perlu ingat pesan allahyarham Dato’ Ustaz Fadzil Noor, jika musuh seperti menunjukkan simpati, kebimbangan atau menyokong kita, mesti ada sesuatu yang tidak kena.
Kita tidak menolak sebarang teguran dan kritikan oleh pihak luar terhadap PAS.
Namun kita juga tidak menolak kemungkinan kritikan itu, ada disebaliknya cerita lain.
Sebenarnya mereka mahu melihat sekali lagi keributan melanda PAS sebagaimana pemilihan 2015 dahulu.
Mulut yang mengata
Apabila Presiden PAS diserang oleh musuh, cara yang halus ialah dengan memuji timbalan atau figura hebat yang lain dalam parti.
Dalam kes ini, musuh PAS akan mengata buruk terhadap Presiden PAS begitu dan begini.
Manakala mereka memuja dan memuji Dato’ Tuan Ibrahim sebagai seorang yang ‘cool’ dan mudah dibawa berbincang.
Terkadang nama Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula diratib bagi menggambarkan kesesuaian dan kebolehan Dr Sam sebagai pengganti Presiden.
Hanya sahaja mereka lupa, Dr Sam inilah yang sering dikutuk oleh mereka, konon kerana tidak pandai mentadbir Terengganu.
Dia tikam, dia ubat luka tikaman itu.
Sekejap tak pandai, sekejap terbaik, errmmm.
Taktik sebegini adalah taktik lapuk yang hanya digunakan oleh bocah dalam politik sahaja.
Oleh kerana perwakilan PAS sudah terlalu matang dalam berpolitik, maka kenyataan-kenyataan kebudak-budakan sebegitu, tidaklah termakan oleh mereka, kerana tidak membawa makna apa-apapun.
Sebelum ini, ada sindiran lebih tajam seperti menyamakan PAS mengamalkan Wilayatul Faqih konon mengikut sistem syura dari syiah.
Ulamak diibaratkan pengganti imam dan berbagai hal negatif lain.
Ia semua pada ghalibnya akan muncul ketika waktu pemilihan PAS Pusat.
Jadi sekadar komen bocah politik terhadap ketiadaan pemilihan pimpinan utama PAS, apalah sangat.
Atasan PAS sebenarnya sering berebut jawatan
Dalam pada musuh politik PAS cuba melagakan pimpinan dalam PN dengan bertanyakan siapakah calon PM dari PAS?
Dengan tenang soalan itu dijawab oleh Timbalan Presiden PAS, bahawa ia menggambarkan PMX sudah tidak dipercayai lagi oleh rakyat untuk memimpin negara.
Maka pemimpin PAS dilihat sebagai calon sesuai untuk menerajui pentadbiran negara.
Insyaallah calonnya ada dan sesuai.
Dalam PAS, tiada kempen kerana calon merasa malu dilihat bagaikan meminta-minta jawatan.
Islam melarang meminta-minta jawatan kerana Allah tidak akan membantu.
Kempen-kempen agresif hanya berlaku pada dan sebelum 2015, dimana beberapa sosok utama pimpinan PAS bergerak dengan ejennya mencari perwakilan untuk meminta undi.
Alhamdulillah, selepas 2015, ada segelintir pimpinan PAS yang tidak mahu taat kepada Presiden PAS, telah ditendang keluar oleh perwakilan PAS yang bijaksana.
Setelah itu, tiada lagi kedengaran kempen-kempen menggunakan ejen kepada calon-calon yang bertanding.
Mungkin ia adalah satu kebetulan.
Kisah pimpinan PAS yang merebut jawatan telah diceritakan oleh almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din apabila ditanya oleh wartawan.
Kata beliau, sebenarnya dalam PAS ini ramai yang berebut jawatan.
Wartawan mendekatkan mikrofon untuk merakam dengan lebih jelas sikap berebut itu.
Sambung Dato Dr Haron, mereka berebut menolak jawatan daripada terpaksa memikul amanahnya.
Maka diamlah wartawan ketika itu.
PAS sangat faham berkenaan pemilihan bagaimana dan siapa yang paling utama dipilih kerana kesannya PAS tahu, ada dosa dan pahala disebalik semua itu.
Jadi ketiadaan pemilihan jawatan tertinggi PAS Pusat dan juga sayap itu adalah kerana merekalah yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.
Dan yang penting pemimpin PAS tidak akan berjoget atau menari disebalik kesusahan rakyat.
PAS pernah memecat keahlian pemimpinnya kerana terlibat dalam majlis tari menari dahulu.
Sebab itu PAS tidak melayangkan kerusi meja kerana tidak berpuashati dalam muktamar.
Kita ada adab dan hukum untuk dijaga.
Siapapun pemimpin yang diangkat oleh perwakilan, itulah yang akan ditaati ahli PAS.
Semoga Muktamar ke 71 ini dirahmati dan diberkati Allah, amiin.
Mohd NasirAbdullah
