Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, telah mencapai kejayaan yang membuktikan kemampuan PAS untuk mentadbir negeri dan menguruskan syarikat milik kerajaan dengan berkesan.
Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata bahawa Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI), syarikat pelaburan strategik milik penuh kerajaan negeri, telah mengumumkan keputusan kewangan 2024 dengan mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah sebanyak RM1.75 bilion.
Pengarah Penyelidikan dan Dasar, Jawatankuasa Penerangan PAS Pusat itu menekankan bahawa pencapaian ini menutup mulut pihak-pihak yang sering memperkecilkan kemampuan PAS untuk mentadbir negeri dan menguruskan GLC dengan baik.
“Berbanding dengan tempoh sebelum PAS mentadbir negeri, hasil TI tidak pernah mencecah RM1 bilion.
Kali pertama ia berjaya melepasi angka RM1 bilion adalah pada tahun 2020, dan pada tahun 2024 sekali lagi rekod baharu dicapai dengan hasil sebanyak RM1.75 bilion,” tulisnya.
Berdasarkan hantaran Nurul Islam di media sosialnya, pada tahun 2018 TI merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM46 juta.
“Namun, selepas perancangan teliti dan strategi yang rapi, syarikat bangkit semula dan berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM81.7 juta pada tahun 2024, yang merupakan pencapaian tertinggi setakat ini,” katanya.
Beliau turut menyorot prestasi anak syarikat utama TI seperti TDM Berhad yang telah mencatat keuntungan selama lima tahun berturut-turut dengan hasil sebanyak RM645 juta dan keuntungan sebanyak RM10.2 juta pada tahun 2024.
“Sumbangan utama datang daripada sektor perladangan sebanyak RM291.2 juta dan sektor penjagaan kesihatan sebanyak RM354.4 juta,” katanya ketika menghuraikan pencapaian tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa EPIC Berhad mencatat hasil sebanyak RM403.8 juta berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai meningkat tiga kali ganda kepada RM28.4 juta.
Selain itu, katanya, TI juga telah menyalurkan sebanyak RM12.02 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun 2024 bagi memastikan hasil negeri kembali kepada rakyat.
“Tahniah kepada Menteri Besar sebagai Pengerusi Terengganu Incorporated, pihak pengurusan syarikat serta semua anak syarikat atas kejayaan besar ini. Terengganu terus melangkah ke hadapan menuju aspirasi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera,” tulisnya.
