Kita melihat satu tindakan yang dipuji sesetengah orang berkenaan pertemuan yang bakal berlangsung antara pengerusi ASEAN, iaitu PM Malaysia dengan Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang kafir dan jahat serta menjadi tulang belakang kepada pembantaian Israel terhadap umat Islam di Gaza.
Ada yang menyokong keputusan PMX yang konon dianggap mereka sebagai dakwah terhadap ketua penjahat itu.
Inilah peluang terbaik bagi PMX yang dianggap sebagai mewakili orang Islam untuk menyuarakan pendapat.
Mujur tiada suara yang mendakwa inilah masanya untuk PMX membuli Trump.
Dalam masa yang sama juga, tiada kedengaran suara dari agamawan yang menentang PMX atas perancangan ini.
Mungkin mereka juga berpendapat yang sama, ia adalah satu cara dakwah terhadap bukan Islam.
Harapan mereka cukup tinggi untuk melihat keajaiban berlaku.
Walaupun kita pernah mendengar sendiri bagaimana pendirian PMX terhadap formula dua negara di Palestin dan ideologi liberal.
Ia jelas, langsung tidak boleh diharap, jauh dari kehendak Islam.
Yang paling kuat dan istiqamah menentang kejahatan Trump ini dan menurut dengan taat kehendak Allah dan rasul ialah Presiden PAS.
Beliau telah menulis berkenaan isu ini dalam tajuk ‘Penyelesaian Dua Negara’ dan ‘Akibat Bersahabatkan Syaitan’ yang menyentuh berkaitan tidak patut kita sebagai umat Islam menghulurkan tangan kepada si zalim itu.
Al-Quran, kalam Allah yang diwahyukan kepada Rasulullah melalui Jibril, secara jelas menukilkan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha dengan orang Islam sehinggalah kita menurut jejak mereka.
Dua golongan ini juga adalah yang mesti kita tentang.
Ini jelas dan tuntas pendirian yang Allah perintahkan.
Akan tetapi agak menghairankan apabila ada usaha taqrib mazhab oleh Presiden PAS dengan pemimpin Iran yang menganut fahaman Syiah, ada agamawan di Malaysia segera merespon dan mengutuk rancangan Presiden PAS itu seolah-olah beliau sedang bersengkongkol dengan puak kafir yang menjahanamkan Islam.
Syiah, ada mazhabnya masih diakui oleh sebahagian ulama dunia yang mereka masih Islam seperti Zaidiyyah dalam Deklarasi Amman 2008.
Banyak lagi fahaman-fahaman lain yang turut diiktiraf termasuk Khawarij I’badi di Oman.
Mereka diakui sebagai ahli kiblat.
Dan haram kita mengkafirkan ahli kiblat.
Manakala Trump pula disepakati tanpa khilaf oleh mana-mana ulamak dunia bahawa beliau adalah jelas seorang kafir yang menentang Islam dengan tindakan-tindakan beliau sebelum ini.
Ironinya beliau diberikan harapan konon atas nama dakwah, sementara Syiah pula ditutup pintu taubat oleh agamawan-agamawan ini. Kafirlah Syiah selama-lamanya.
Syiah tiada pada zaman Rasulullah.
Manakala Rasulullah pula ditakdirkan Allah menghadapi musuh yang paling jahat dan licik iaitu Yahudi.
Jika Syiah dianggap sebagai musuh Islam paling jahat, maka ia adalah satu cubaan menghina Rasulullah yang dilihat menghadapi musuh yang lebih ringan iaitu Yahudi.
Presiden PAS tahu siapa musuh sebenar Islam melalui al-Quran.
Jelas neraca yang senget yang dibuat timbangan oleh sesetengah agamawan ini hanya kerana kebencian terhadap individu, iaitu Presiden PAS.
Mereka tidak boleh membayangkan jika benar kesatuan umat dapat dilakukan oleh Presiden PAS.
Maka mereka cuba memustahilkannya dan dalam masa yang sama, lebih rela melihat PMX ‘berdakwah’ kepada Trump.
Mohd Nasir Abdullah
