Seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali memberitahu Agence France-Presse (AFP) bahawa tuntutan supaya Hamas menyerahkan senjatanya adalah di luar persoalan dan sama sekali tidak dapat diterima.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Hossam Badran, anggota Biro Politik Hamas, yang menegaskan bahawa pergerakan itu tidak akan melepaskan senjatanya.
Menurut beliau, isu ini bukan hanya berkaitan Hamas semata-mata, tetapi melibatkan hak seluruh rakyat Palestin yang hidup di bawah penjajahan.
“Senjata ini adalah keadaan semula jadi bagi mana-mana bangsa yang hidup di bawah penjajahan, dan ia merupakan senjata seluruh rakyat Palestin yang digunakan untuk mempertahankan diri,” kata Badran.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini menyatakan bahawa isu pelucutan senjata Hamas akan dibincangkan pada fasa kedua pelan Gaza.
Badran turut menegaskan kesiapsiagaan ketenteraan gerakan tersebut, sambil menyatakan bahawa Hamas bersedia untuk menyambung pertempuran sekiranya rejim penjajah Israel melanggar gencatan senjata.
“Kami berharap tidak kembali ke tahap itu, namun tanpa ragu, jika pertempuran ini dipaksakan, Hamas akan bangkit dan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk menangkis pencerobohan ini,” ujar Badran kepada AFP.
Beliau menambah bahawa pasukan mujahiddin, termasuk Briged al-Qassam, telah membuktikan keupayaannya untuk bertahan dan menyerang tentera Israel sepanjang perang dua tahun yang lalu.
Perjanjian Gaza, yang merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tahanan, secara rasmi berkuat kuasa pada hari Jumaat.
Badran menjangkakan bahawa rundingan bagi fasa kedua pelan damai yang menyentuh isu pelucutan senjata dan kemungkinan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa akan menjadi lebih mencabar daripada fasa pertama, memerlukan rundingan lebih panjang serta dialog dalaman nasional Palestin bagi membentuk pendirian bersama.
Pegawai itu turut mengesahkan bahawa Hamas terlibat secara tidak langsung melalui perantara, namun tidak akan menghadiri majlis menandatangani rasmi yang dijadualkan pada Isnin di Sharm el-Sheikh, Mesir.
