PAS menolak sekeras-kerasnya cubaan untuk menjadikan parti kami sebagai hantu politik (boogeyman) bagi memenuhi agenda politik dalaman di Singapura.
Kami tidak akan membiarkan naratif palsu terus berlegar yang menggambarkan komen rentas sempadan biasa sebagai ancaman keselamatan, semata-mata untuk keuntungan politik jangka pendek.
Singapura sering menampilkan dirinya sebagai hab global yang sangat terhubung, di mana idea dan pandangan secara semula jadi menyeberangi sempadan.
Namun, untuk mengklasifikasikan kenyataan dalam talian yang tidak disertai sebarang dana, tindakan, penyelarasan atau arahan, sebagai satu bentuk campur tangan, adalah terlalu berlebihan.
Tindakan itu bukan sahaja mengurangkan makna sebenar istilah campur tangan, tetapi juga membuka ruang untuk menyempitkan wacana awam yang sah atas nama keselamatan.
Jika keterhubungan digital dianggap sebagai saluran campur tangan, maka tindak balas yang logik ialah memutuskan hubungan dengan dunia luar, satu kedudukan yang mustahil dan tidak mampan bagi sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada arus modal, bakat dan maklumat antarabangsa.
Tanda kematangan sesebuah negara ialah keupayaannya untuk berdialog dengan yakin dan jelas.
Adalah tidak jujur untuk menuduh bahawa pengundi Singapura begitu mudah terpengaruh dengan pandangan luar, sehingga kehendak pilihan raya mereka perlu dilindungi daripada pendapat yang mereka sendiri mampu menilai secara kritikal.
Menyalahkan pihak luar atas perdebatan dalaman merupakan taktik pengalihan perhatian klasik yang memudahkan pemimpin menyisihkan tumpuan daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.
Langkah sedemikian membolehkan pemerintah menggembleng sokongan awam terhadap ancaman rekaan, sesuatu yang jauh lebih mudah daripada tugas berat menggubal dasar, membina persefahaman dan menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Ia adalah jalan pintas politik yang menukar penyelesaian jangka panjang dengan kesepaduan palsu jangka pendek terhadap kambing hitam yang dicipta.
Komitmen PAS terhadap penghormatan kedaulatan negara menjadi panduan utama dalam semua bentuk hubungan dan kenyataan kami, yang sentiasa dijalankan melalui saluran rasmi dan sewajarnya.
Prinsip ini membolehkan kami bersuara tentang isu keimanan, keadilan dan kesejahteraan sosial tanpa melanggar proses pilihan raya atau kedaulatan mana-mana negara.
Sebagai timbal balas, kami mengharapkan sikap saling menghormati maka, jangan cipta musuh yang tidak wujud atau gunakan peraturan sebagai senjata untuk menekan kebebasan bersuara yang sah.
Sekian, terima kasih.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS


