Ketua Jabatan Tahanan dan Syuhada Hamas menolak sebarang rancangan untuk menubuhkan pentadbiran antarabangsa di Gaza.
Zaher Jabarin menegaskan bahawa Hamas tetap komited untuk melaksanakan perjanjian berkaitan Gaza, namun menentang dengan tegas sebarang cubaan meletakkan rakyat Palestin di bawah pengawasan antarabangsa.
Beliau menekankan bahawa “sudah tiba masanya untuk memberikan hak penentuan nasib sendiri kepada rakyat kami dan membina negara merdeka mereka sendiri.”
Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Jabarin menyatakan bahawa perjuangan mujahiddin Palestin sedang menulis halaman yang gemilang dalam sejarah melalui perjanjian pertukaran tahanan dan penghentian perang pembunuhan beramai-ramai.
Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai simbol kebebasan, maruah dan kebanggaan dalam sejarah perjuangan rakyat kami.
Jabarin memuji perjanjian pertukaran tahanan Taufan al-Aqsa yang menurutnya telah memecahkan rantai lebih daripada 4,000 tahanan (dalam tempoh dua tahun), termasuk lebih 500 yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Beliau menambah bahawa “kebebasan bagi baki tahanan yang masih ditahan adalah tanggungjawab yang kami pikul, dan kami komited untuk terus berusaha membebaskan mereka.”
Pegawai kanan Hamas itu memberi amaran bahawa “penahanan berterusan terhadap tahanan di penjara rejim pendudukan akan terus menyalakan api konflik.”
Beliau menegaskan bahawa usaha berterusan rejim penjajah untuk menakluk tanah, memperluas penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, dan menjudaisasikan al-Quds (Baitulmaqdis) akan menjadikan tong mesiu di rantau ini sedia untuk meletup.
Jabarin menyatakan bahawa perjanjian pertukaran tahanan itu akan dikenang sebagai salah satu pencapaian terhebat dalam sejarah perjuangan rakyat, sambil mengucapkan tahniah kepada para tahanan Palestin yang dibebaskan, di mana kebebasan mereka terpateri dengan darah para syuhada.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian itu melambangkan satu ikrar dan janji untuk meneruskan jalan perjuangan dan kebebasan.
Menjawab kepada ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk membunuh para pejuang Hamas, Jabarin menegaskan bahawa “cubaan pembunuhan tidak akan menakutkan kami atau mematahkan semangat kami.
“Kami bersedia membayar harga demi kebebasan rakyat kami dan hak-hak sah mereka.”
Beliau menyampaikan salam kepada Gaza dan penduduknya dengan berkata, “Salam ke atas Gaza atas kesabaran dan keteguhannya; salam ke atas rakyat Gaza yang enggan menyerah kalah.
“Gaza akan kekal teguh, mencintai kehidupan serta menyanyikan lagu kebebasan dan kemenangan.”
Menggambarkan Gaza sebagai kubur bagi penjajah dan destinasi bagi orang yang bebas, beliau menambah, “Kita semua berhutang budi kepadanya.
“Hari ini, amanah para pemimpin yang telah gugur syahid dipikul oleh para pemimpin baharu, dan legasi syahid Yahya Sinwar serta yang lain diteruskan oleh para komander generasi baharu.”
Pegawai Hamas itu turut menyeru supaya penjenayah perang rejim Israel, terutamanya Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan, sambil menegaskan bahawa dunia hari ini sedang berhadapan dengan ujian sebenar.
Jabarin turut menekankan bahawa sesiapa yang ingin keamanan di rantau ini mesti bermula dengan melaksanakan pendirian antarabangsa yang bersatu untuk menubuhkan negara Palestin dan menjamin pembebasan tahanan Palestin yang masih berada di penjara rejim Israel.
Akhir sekali, beliau memberi amaran terhadap penyambungan semula hubungan normalisasi oleh negara-negara Arab dan Islam dengan rejim pendudukan yang mengorbankan hak rakyat Palestin.
Beliau menggesa negara-negara Arab dan Islam agar merebut peluang bersejarah yang dicipta oleh pertempuran Taufan al-Aqsa untuk mempercepatkan penubuhan negara Palestin.
Jabarin menutup ucapannya dengan menegaskan bahawa pertempuran ini tidak berakhir dengan bunyi senjata, tetapi diteruskan melalui prinsip-prinsip utamanya, hak kebangsaan, pertahanan tanah air, kebebasan untuk para tahanan dan perlindungan terhadap tempat-tempat suci.
