Rejim penjajah Israel terus melakukan pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata di Gaza dengan menyerang orang awam dan menutup lintasan sempadan Rafah.
Pesawat-pesawat tempur rejim penjajah telah melancarkan serangan baru di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, serta di kawasan lain termasuk Jabalia di utara, yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang rakyat Palestin dan mencederakan ramai lagi.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, pasukan penjajah telah melanggar perjanjian gencatan senjata sekurang-kurangnya 47 kali sejak ia berkuat kuasa pada 11 Oktober.
Satu insiden juga dilaporkan berlaku di Rafah antara pihak pergerakan mujahiddin Palestin dan militia pengganas Palestin yang berkhidmat untuk kepentingan perisikan tentera Israel di tengah-tengah jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Militia pengganas ini masih berada di bawah perlindungan tentera pengganas Israel.
Penganalisis menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan besar pasukan penjajah bertempur dengan pihak mujahiddin Palestin bagi melindungi militia-militia yang disokong Israel.
Sekurang-kurangnya empat kumpulan militia yang disokong Israel dilaporkan masih beroperasi di beberapa bahagian Gaza yang masih diduduki rejim tersebut.
Tentera penjajah Israel dilaporkan membekalkan senjata, kenderaan, wang dan makanan kepada kumpulan militia yang paling berpengaruh, yang dikatakan dipimpin oleh seorang bekas anggota Daesh bernama Yasser Abu Shabab, berpangkalan di selatan Gaza.
Menurut para penganalisis, Israel sedang berusaha menimbulkan kekacauan dan perbalahan dalam kalangan rakyat Palestin di Gaza.
Sementara itu, Hamas menyatakan ia sedang berusaha memulihkan keamanan dan ketertiban.
Rejim penjajah juga mengumumkan bahawa lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir akan terus ditutup sehingga diberitahu kelak.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menambah bahawa pembukaan semula lintasan itu akan dipertimbangkan bergantung kepada tindakan Hamas dalam mengembalikan mayat tawanan Israel.
Penutupan lintasan dan penghalangan kemasukan jentera penting yang diperlukan untuk menggali dan mengeluarkan mayat rakyat Palestin serta tawanan Israel yang tertimbus di bawah runtuhan akibat serangan udara Israel secara ironinya melambatkan usaha mendapatkan semula mayat tawanan Israel yang kononnya sedang dicari oleh pihak pendudukan.
Selain itu, penghalangan terhadap trak bantuan kemanusiaan yang sedang menunggu di sempadan Mesir yang sepatutnya meningkat dengan banyak selepas perjanjian gencatan senjata merupakan satu lagi pelanggaran besar terhadap perjanjian itu.
Sebagai reaksi, Hamas mengeluarkan kenyataan mengecam keputusan Netanyahu, menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata serta pengingkaran terhadap komitmen yang dibuat kepada para perantara dan negara penjamin.
Hamas turut memberi amaran bahawa penutupan berterusan lintasan Rafah, halangan terhadap pemindahan orang sakit dan cedera, serta sekatan terhadap kemasukan peralatan penting untuk mengesan mereka yang masih tertimbus di bawah runtuhan akan melambatkan proses pemulihan dan penyerahan mayat tawanan Israel.
Keadaan ini menjadikan perjanjian gencatan senjata berada dalam keadaan amat rapuh, dan pihak penentangan Palestin mungkin kembali melancarkan operasi ketenteraan terhadap tentera darat Israel jika pelanggaran berterusan.
Seorang pegawai kanan Hamas, Izzat al-Risheq, menegaskan bahawa pergerakan penentangan Palestin tetap komited terhadap perjanjian gencatan senjata dan menekankan bahawa rejim Zionislah pihak yang terus melanggar perjanjian serta mencipta alasan palsu untuk menjustifikasikan jenayahnya.
Beliau menambah bahawa usaha Netanyahu untuk mengelak dan mengingkari komitmennya berpunca daripada tekanan gabungan ekstremisnya, dalam usaha melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap para perantara dan penjamin.
Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, turut mengulangi komitmen mereka terhadap perjanjian tersebut, dengan menyatakan bahawa pihaknya telah menyerahkan semua tawanan yang masih hidup dan semua mayat yang berjaya ditemui.
Pergerakan itu menambah, Beberapa mayat tawanan Israel masih memerlukan peralatan khas dan usaha besar untuk dikesan serta dikeluarkan, dan kami sedang berusaha gigih untuk menutup fail ini.
Kementerian Kesihatan Gaza mengeluarkan laporan terkini mengenai jumlah korban dan mayat yang telah ditemui daripada pembunuhan beramai-ramai yang masih berterusan.
Kementerian melaporkan bahawa sebelas mayat masih terperangkap di bawah runtuhan dalam satu pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pasukan pendudukan terhadap sebuah keluarga di kawasan Zeitoun, utara Gaza.
Ia turut mengesahkan bahawa jumlah keseluruhan korban perang genosid itu kini meningkat kepada 68,159 syahid dan 170,203 cedera sejak 7 Oktober 2023.
Sejak perjanjian gencatan senjata pada 11 Oktober 2025, kementerian mencatatkan 38 syahid, 143 cedera, dan 404 mayat berjaya dikeluarkan.
