Penemuan 135 mayat rakyat Palestin yang dikerat dan dianiaya sebelum dipulangkan ke Gaza telah membuka tirai kepada satu pola penyeksaan sistematik yang berlaku dalam sistem penjara rejim penjajah Israel.
Perkara ini amat jelas kelihatan di kem tentera Sde Teiman yang terletak di gurun Negev, sebagaimana dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa termasuk The Guardian, serta didokumentasikan oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia.
Mayat-mayat tersebut dikenal pasti melalui tag berbahasa Ibrani yang menunjukkan mereka pernah ditahan di Sde Teiman dan semuanya memperlihatkan tanda-tanda penyeksaan serta pembunuhan.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan bahawa kebanyakan mayat menunjukkan kesan mata ditutup, tangan digari, serta tembakan pada jarak dekat.
Menurut Dr. Munir al-Bursh, “Tag dokumen di dalam beg mayat itu ditulis dalam bahasa Ibrani dan dengan jelas menunjukkan bahawa jenazah-jenazah tersebut telah disimpan di Sde Teiman.”
Sde Teiman: Simbol Kekejaman Rejim
Kemudahan Sde Teiman kini menjadi simbol kekejaman.
Pusat itu digambarkan oleh pembocor maklumat Israel sendiri serta penyiasat hak asasi manusia sebagai tempat penyeksaan dan pembunuhan secara sistematik.
Ia berfungsi sebagai pusat tahanan dan juga tempat penyimpanan mayat yang dibawa dari Gaza.
Tahanan di sana, termasuk orang awam yang cedera dan diculik dari hospital-hospital Gaza oleh tentera penjajah Israel, telah digari pada katil, ditutup mata dan dipakaikan lampin.
Keterangan daripada bekas tahanan yang dibebaskan melukiskan gambaran penuh penghinaan dan penderitaan.
Wartawan Palestin Shadi Abu Seido menceritakan bahawa beliau dipaksa menanggalkan pakaian selama sepuluh jam, dikurung dalam keadaan bergari dan ditutup mata selama berbulan-bulan, serta menyaksikan kematian dan gangguan jiwa dalam kalangan tahanan lain.
“Mereka membawa anjing yang kencing ke atas kami,” katanya. “Apabila saya bertanya mengapa saya ditahan, mereka menjawab: ‘Kau akan mati beratus kali.’”
Keadaan Fizikal Mayat dan Bukti Kekejaman
Keadaan fizikal mayat-mayat yang dipulangkan membuktikan kekejaman yang dialami semasa tahanan.
Doktor di Khan Younis mendokumentasikan anggota badan yang hancur, kesan ikatan tali di leher dan pergelangan tangan, serta luka tembakan gaya hukuman mati.
Pegawai perubatan menyimpulkan bahawa, “Penemuan ini jelas menunjukkan bahawa rejim penjajah Israel telah melakukan pembunuhan, hukuman mati tanpa bicara, serta penyeksaan secara sistematik.”
Salah satu mayat, dikenal pasti sebagai Mahmoud Ismail Shabat, berusia 34 tahun, mempunyai kesan tali di leher dan kakinya remuk akibat digilis kereta kebal.
Keluarganya menyifatkan hal ini sebagai bukti kekejaman yang tidak terbayang oleh manusia waras.
Perbandingan dengan Tawanan Israel
Sebaliknya, tahanan Israel yang dibebaskan dari Gaza semasa tempoh gencatan senjata baru-baru ini berada dalam keadaan fizikal yang stabil, walaupun Gaza berada di bawah kepungan dan pengeboman yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Perbezaan ketara ini menonjolkan satu paradoks tragik, sementara rejim pendudukan menuduh Hamas tidak berperikemanusiaan, rejim itu sendiri menyiksa, mencederakan dan membunuh tahanan Palestin tanpa sebarang akibat.
Panggilan untuk Siasatan Antarabangsa
Pelbagai pertubuhan hak asasi manusia telah lama memberi amaran mengenai penyeksaan ini.
Aktivis Naji Abbas menggambarkan bukti yang ditemui sebagai menggerunkan tetapi malangnya tidak mengejutkan, sambil menambah bahawa kematian dan kecederaan ini mengesahkan apa yang telah kami dokumentasikan selama dua tahun lalu mengenai penyeksaan sistematik dalam pusat tahanan Israel.
Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia kini menyeru supaya siasatan antarabangsa yang bebas dijalankan, dengan hujah bahawa jumlah tahanan Palestin yang mati dalam tahanan Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini membuktikan skala sebenar pelanggaran hak asasi manusia.
Namun, reaksi dunia kekal membisu. Tentera penjajah Israel mendakwa sedang menjalankan siasatan dalaman, tetapi siasatan seperti itu tidak pernah membawa sebarang bentuk akauntabiliti, malah menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), membenarkan amalan penyeksaan terus berkembang.
Kegagalan Keadilan Antarabangsa
Sistem penjara rejim tersebut telah lama dituduh meningkatkan tahap penyeksaan terhadap tahanan Palestin, terutama selepas kerajaan ekstremis Benjamin Netanyahu mengambil alih kuasa.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, turut dituduh memainkan peranan besar dalam memperluas kempen penyeksaan terhadap rakyat Palestin.
Laporan PBB menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 75 rakyat Palestin telah mati dalam tahanan Israel sejak Oktober 2023.
Namun, sehingga kini tiada sekatan, tiada tribunal antarabangsa, tiada tindakan konkrit dan tiada hukuman dikenakan ke atas rejim tersebut.
Penutup
Mayat-mayat yang dikembalikan dari Sde Teiman berdiri sebagai bukti ngeri terhadap kempen kekebalan (impunity) yang sedang berlangsung.
Sebagaimana kata seorang ibu yang kehilangan anaknya:
“Di manakah dunia?”
Soalan itu bergema tanpa jawapan, menjadi hukuman moral terhadap dunia yang hanya mengecam penyeksaan dengan kata-kata, tetapi membiarkannya berlaku dalam diam apabila mangsanya ialah rakyat Palestin.
