Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan peranan sebagai pendamai serantau menerima tamparan hebat selepas Thailand mengancam untuk menarik diri daripada perjanjian gencatan senjata dengan Kemboja, sekali gus menolak tekanan tarif Amerika Syarikat (AS) yang diselitkan bersama perjanjian tersebut.
Perkembangan dramatik itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Anwar menjadi tuan rumah majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Kuala Lumpur pada 26 Oktober, yang turut disaksikan Presiden AS Donald Trump.
Kerajaan Malaysia sebelum ini mempromosikan kejayaan tersebut sebagai simbol kemampuan diplomatik pentadbiran Anwar selaku pengerusi ASEAN.
“Tidak peduli lagi tentang tarif AS”, PM Thailand
Namun Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menyifatkan syarat perdagangan yang dikepilkan bersama perjanjian itu sebagai tekanan tidak wajar dan menegaskan Bangkok tidak lagi tunduk kepada ugutan tarif daripada Washington.
“Saya tidak lagi peduli tentang tarif. Jika tidak boleh jual ke negara itu, kita cari negara lain,” katanya kepada Thai Enquirer.
Beliau menambah bahawa ekonomi Thailand tidak boleh bergantung kepada satu pasaran dan menegaskan keperluan untuk berdikari jika tekanan perdagangan digunakan sebagai senjata politik.
Kenyataan keras itu sekaligus menolak naratif bahawa AS mampu mengikat Thailand melalui tawaran tarif lebih rendah, antara komponen penting dalam perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur.
Ketegangan memuncak selepas insiden periuk api
Pada Isnin, beberapa anggota tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api di kawasan sempadan.
Pemerintah tentera Thailand kemudian mengumumkan penggantungan semua komitmen perjanjian.
Kemboja menafikan keterlibatan tenteranya, malah menuduh sebaliknya bahawa askar Thailand telah membunuh orang awam.
Ketegangan baharu itu menonjolkan betapa rapuhnya perjanjian gencatan senjata tersebut.
Tamparan berganda buat Anwar
Keputusan Thailand dan kenyataan keras Anutin disifatkan pemerhati sebagai tamparan diplomatik terhadap Anwar, yang ketika ini berdepan kritikan terhadap cara beliau mengurus hubungan ASEAN dan Washington.
Dalam beberapa minggu lepas, Putrajaya mempertahankan tindakan menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik dengan AS, walaupun ia dibidas pemimpin pembangkang, ahli ekonomi dan pakar perdagangan sebagai berat sebelah serta berisiko menggugat kedaulatan Malaysia.
Kenyataan Thailand itu sekaligus menafikan hujah bahawa negara-negara ASEAN tidak mempunyai pilihan selain akur kepada tekanan tarif AS.
Penganalisis: Perjanjian itu memang dijangka gagal
Menurut penganalisis International Crisis Group, Matthew Wheeler, kegagalan perjanjian gencatan senjata itu bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Sudah dapat diramalkan bahawa perjanjian itu akan gagal. Ia dimuktamadkan semata-mata untuk mengambil hati Trump dalam isu yang tidak berkaitan dengan konflik itu, iaitu perdagangan.”
Beliau menambah bahawa penyertaan Trump lebih bersifat geopolitik, khususnya untuk mendapatkan komitmen perdagangan yang memberi manfaat kepada AS.
Isu nadir bumi jejaskan kepercayaan Thailand
Di Bangkok, kemarahan awam dilaporkan semakin meningkat.
Netizen, aktivis dan beberapa tokoh politik bimbang perjanjian itu membuka ruang AS mengambil kesempatan terhadap rizab nadir bumi Thailand yang besar.
Di samping memeterai syarat perdagangan untuk Thailand dan Kemboja, Washington juga berjaya mendapatkan komitmen Malaysia dalam rantaian nadir bumi, langkah yang dilihat sebagai sebahagian strategi AS menyaingi dominasi China dalam sektor mineral kritikal.
Serangan terbuka tokoh Thailand terhadap Anwar
Seorang tokoh politik Thailand, Jeneral Bersara Rangsi Kitiyansap, tampil mengkritik Anwar secara terbuka.
“Anwar seorang pengintip. Dia menyusahkan dan membawa malapetaka kepada kami. Kenapa mencampuri urusan kami?”
Kenyataan itu memperlihatkan tahap kemarahan yang jarang disuarakan secara terbuka terhadap pemimpin negara jiran.
SBY: “Malu Trump jadi orang tengah ASEAN”
Dalam satu kenyataan berasingan, bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono turut melahirkan kekecewaan terhadap penglibatan Trump dalam urusan ASEAN.
“Tiba-tiba Donald Trump jadi orang tengah. Saya berasa malu dan dihina,” katanya, mengingatkan bahawa konflik serantau sebelum ini diselesaikan tanpa perlu campur tangan kuasa besar.
