Naratif yang cuba mengaitkan kekuatan PAS hari ini sebagai hasil mutlak gabungan dengan Bersatu perlu dinilai dengan lebih cermat dan berdisiplin dari sudut sejarah.
Tafsiran ringkas yang mengaitkan kejayaan dan kegagalan PAS semata-mata dengan faktor rakan gabungan bukan sahaja mengabaikan kronologi sebenar, malah berisiko memesongkan kefahaman terhadap kedudukan PAS dan masa depan Perikatan Nasional (PN).
Sejarah politik tidak boleh digunakan sebagai alat menakut-nakutkan rakan gabungan, apatah lagi apabila fakta disusun secara longgar dan terpisah daripada konteks sebenar.
Salah Faham Kronologi: Episod Barisan Alternatif
Dakwaan bahawa PAS tewas teruk dalam PRU 2004 kerana kehilangan rakan gabungan akibat pengumuman Dokumen Negara Islam PAS adalah tidak tepat dari sudut kronologi.
Hakikatnya, DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada tahun 2001, manakala Dokumen Negara Islam PAS hanya diumumkan pada 12 November 2003.
Ketika DAP menarik diri daripada BA, kepimpinan PAS masih diterajui oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Noor.
Mengaitkan perpecahan BA dengan dokumen yang muncul dua tahun kemudian merupakan kesilapan asas yang tidak wajar dijadikan sandaran analisis politik.
Jika ada pelajaran yang konsisten dalam sejarah PAS, ia ialah keteguhan parti itu terhadap prinsip.
Namun ketegasan inilah yang sering disalah tafsir, termasuk dalam perbahasan politik semasa.
PAS Tidak Bertanding Secara Bersendirian Pada 2004
Satu lagi kekeliruan besar ialah gambaran bahawa PAS bertanding secara solo dalam PRU 2004 kerana ketiadaan rakan gabungan.
Hakikatnya, BA tidak runtuh sepenuhnya pada 2001.
Yang berlaku hanyalah penarikan diri satu parti, iaitu DAP, pada 22 September 2001.
PAS masih meneruskan kerjasama politik bersama Parti Keadilan Nasional (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Kedua-dua parti ini kemudiannya bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003.
Kerjasama politik ini berlanjutan sehingga PRU 2004 dan seterusnya menjadi asas kepada kebangkitan pembangkang pada PRU 2008.
Oleh itu, menggambarkan PAS sebagai bertanding tanpa sebarang pakatan politik pada 2004 bukan sahaja mengelirukan, malah bercanggah dengan rekod sejarah.
Faktor Sebenar Kekalahan PRU 2004
Jika kekalahan PAS dalam PRU 2004 ingin dianalisis secara adil, faktor utamanya bukanlah ketiadaan rakan gabungan, tetapi perubahan besar dalam landskap kepimpinan nasional.
Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 dan digantikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Peralihan daripada PM4 yang berdepan penolakan rakyat kepada PM5 yang tampil dengan imej sederhana, bersih dan menjanjikan reformasi telah mencetuskan gelombang harapan baharu, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Fenomena ‘Malay revolt’ yang melonjakkan PAS dan pembangkang pada PRU 1999 mereda dengan cepat apabila BN menampilkan wajah baharu.
Anjakan psikologi pengundi ini menjadikan gelanggang PRU 2004 sangat berbeza.
Tambahan pula, kelebihan BN melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya ketika itu turut menyumbang kepada kekalahan PAS.
Inilah realiti yang lebih adil untuk diterima jika sejarah mahu dijadikan panduan, bukan alat manipulasi.
Analogi Lemah Dengan PAS Hari Ini
Menyamakan kedudukan PAS hari ini dengan PAS menjelang PRU 2004 merupakan satu analogi yang lemah.
Kemenangan besar PAS dalam PRU15 tidak wajar disempitkan sebagai hasil menumpang PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata.
PN memang menyediakan wadah gabungan, namun PAS bukan penumpang tanpa enjin.
Kejayaan PAS digerakkan oleh kekuatan jentera parti, disiplin organisasi, akar umbi yang hidup serta keyakinan pengundi terhadap konsistensi perjuangan parti itu.
Mengabaikan faktor dalaman PAS hanya akan menghasilkan bacaan politik yang pincang dan tidak realistik.
Isu Perlis: Masalah Tadbir Urus Gabungan
Isu politik di Perlis juga tidak wajar diringkaskan sebagai soal ketaatan kepada Istana atau tindakan individu menjunjung titah.
Isu pokoknya lebih bersifat struktural dan teknikal: kelemahan tadbir urus krisis dalam gabungan PN.
Krisis tersebut tidak dibawa dan diselesaikan melalui mekanisme Majlis Tertinggi PN sebagaimana yang sepatutnya.
Tindakan lima ADUN Bersatu yang mengemukakan surat akuan bersumpah untuk menjatuhkan Menteri Besar tanpa pemakluman dan persetujuan parti pula dibiarkan tanpa tindakan disiplin yang jelas.
Ini bukan isu kesetiaan, tetapi isu disiplin, prosedur dan kesatuan keputusan dalam gabungan.
Apabila mekanisme rasmi gagal berfungsi, kelemahan itu akhirnya ditanggung bersama oleh semua komponen PN, termasuk PAS.
PAS Tidak Menolak Gabungan, Tetapi Menuntut Pembetulan
Tanggapan bahawa PAS mahu berdiri sendiri tanpa gabungan juga tidak tepat.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi pimpinan PAS yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan PN.
PAS tidak menolak konsep gabungan.
Apa yang dipersoalkan ialah keberkesanan PN sebagai sebuah entiti kolektif apabila pergolakan dalaman sebuah komponen mula menjejaskan kestabilan dan wibawa gabungan secara keseluruhan.
Kritikan PAS harus dibaca sebagai tuntutan pembaikan, bukan ancaman perpecahan.
Begitu juga isu prinsip bahawa jawatan tidak wajar diberikan kepada mereka yang menuntutnya.
Prinsip ini merujuk kepada individu yang mengejar jawatan demi kepentingan peribadi.
Tuntutan PAS berhubung jawatan Pengerusi PN pula bersifat institusi, bertujuan memperkukuh struktur kepimpinan gabungan, bukan memenuhi nafsu individu.
Menyamakan dua perkara ini menunjukkan kekeliruan konsep atau cubaan mengaburkan maksud sebenar isu.
PRU16: Peluang Masih Terbuka Jika PN Berfungsi
Akhirnya, prasyarat kemenangan PN dalam PRU16 tidaklah sekabur yang digambarkan.
Mengambil keputusan beberapa pilihan raya kecil sebagai ukuran muktamad juga tidak tepat kerana PRK sangat dipengaruhi faktor setempat, calon dan dinamika mikro.
Yang lebih penting ialah arus besar.
Penolakan rakyat terhadap BN dan PH dalam beberapa perkembangan mutakhir menunjukkan ruang politik masih terbuka.
Namun peluang ini hanya boleh dimanfaatkan jika PN tampil lebih tersusun, berdisiplin dan mampu meyakinkan rakyat bahawa ia bukan gabungan yang rapuh akibat kelemahan dalaman.
Kesimpulan: Sejarah Perlu Dibaca Dengan Tepat
Tidak tepat untuk membandingkan PAS hari ini dengan kegagalan PRU 2004.
PAS kalah pada 2004 kerana perubahan kepimpinan nasional yang mencipta harapan baharu kepada BN, bukan kerana ketiadaan rakan gabungan.
Yang diperlukan sekarang bukan menakut-nakutkan PAS dengan bayangan sejarah yang disalah baca, tetapi memastikan PN dibina sebagai gabungan yang lebih berfungsi, lebih berdisiplin dan lebih diyakini rakyat.
Sejarah ialah pedoman.
Namun pedoman hanya berguna apabila dibaca dengan tepat.
Jika silap membaca sejarah, maka silaplah langkah menuju masa depan.
