Imperialisme Barat bermula pada abad ke 16 dengan penguasaan Perancis dan Great Britain ke atas sebahagian besar muka bumi ini.
Selepas kemunduran Perancis pada abad ke 17, Great Britain mengambil tampuk kuasa dengan menakluk dua pertiga muka bumi sehingga empayarnya digelar sebagai ‘Empayar di mana Matahari Terbit’.
Penguasaan Great Britain tidak kekal lama dan berakhir pada pertengahan abad ke 18.
Pada abad ke 18 dan 19, negara-negara utama Barat ketika itu khususnya di Eropah saling berperang sesama sendiri seperti Perancis, Great Britain, Sepanyol, Austria dan Prussia (Jerman) untuk mengambil-alih tampuk kuasa imperialisme dunia manakala Amerika Syarikat pula sedang membina kekuatannya selepas berakhir ‘American Revolutionary War’ pada akhir kurun ke 17.
Selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, Amerika Syarikat mengambil tampuk kuasa di sebelah Barat, manakala Soviet Union pula di sebelah Timur.
Pada tahun 1989 berakhirnya era Soviet Union, dengan itu menjadikan Amerika Syarikat kuasa besar tunggal dunia sehingga ke hari ini.
Namun begitu sepuluh tahun kebelakangan ini pengaruh Amerika Syarikat semakin pudar berikutan bebanan hutang yang amat tinggi, krisis keyakinan dunia terhadapnya dan masalah politik dalaman yang kian parah.
Dalam masa yang sama kebangkitan kuasa-kuasa baharu makin menyerlah khususnya China, Rusia, India, Turki dan Iran.
Amerika Syarikat mempunyai kelebihan melalui penguasaan sendi-sendi utama ekonomi seperti ‘Petrodollar’ dan matawang Dollar yang menjadi sandaran utama perdagangan dunia.
Dalam masa yang sama kekuatan ketenteraannya yang serba canggih khususnya dalam aspek teknologi persenjataan terkini seperti jet pejuang ‘stealth’ dan sudah tentu senjata nuklear yang menjadi sandaran utama bagi memeras ugut negara-negara lemah.
Namun kini kebangkitan kuasa baharu seperti China yang kini telah mampu bersaing dan hampir memintas Barat dari sudut ekonomi, ketenteraan dan teknologi telah menimbulkan kegerunan Amerika Syarikat.
Malah ada beberapa bahagian dari tiga sudut di atas, China lebih maju dan terkehadapan dari Barat.
BRICS (Brazil, Russia, India, China dan South Africa) yang dipelopori oleh China dan Rusia kini telah memintas blok ekonomi Barat G7 dari sudut perdagangan dan ekonomi.
Penyertaan BRICS makin bertambah menjadikannya blok perdagangan dan ekonomi terbesar di dunia saat ini.
Justeru, Amerika Syarikat selaku peneraju hegemoni Barat mula panik serta berjuang habis-habisan agar kekal ditampuk kuasa sama ada melalui ugutan, paksaan mahupun peperangan.
Perlanggaran Amerika Syarikat ke atas Venezuela amat mengejutkan banyak pihak kerana ianya jelas salah di sisi undang-undang antarabangsa sebagaimana kenyataan dari kebanyakan negara seperti Rusia, China, Brazil dan lain-lain lagi termasuk negara sekutu Amerika Syarikat sendiri seperti Perancis.
Pelanggaran ini memberi lampu hijau dan ‘tanda aras’ baharu (precedent) kepada mana-mana negara untuk menceroboh negara lain dengan pelbagai alasan demi kepentingan masing-masing.
Selepas ini tidak mustahil negara haram Israel akan menyerang kembali Iran dan Lubnan, China akan merampas semula Taiwan, Rusia akan meluaskan operasi ketenteraannya di Ukraine dan seterusnya.
Perkembangan yang sedang berlaku ini memberi bayangan bahawa dunia sedang berada di persimpangan perubahan geopolitik berskala besar dalam masa terdekat.
Bagi umat Islam, apa yang berlaku bukanlah suatu yang pelik kerana ianya adalah salah satu sunnatullah yang berlaku dalam kehidupan manusia.
Tiada kuasa manusia yang kekal selama-lamanya, setiap yang bermula akan pasti ada pengakhirannya.
Kejayaan pentadbiran Donald Trump melanggar Venezuela disambut dengan penuh kegembiraan oleh kuncu-kuncunya namun adakah ia juga akan berakhir dengan kegembiraan? Kita tunggu dan lihat.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
