Astaghfirullahalazim. Mengucap panjang dan termenung saya apabila melihat foto yang diambil oleh media semalam.
Foto-foto ini diambil oleh wartawan di Karak, Bentong.
Untuk yang tak berapa jelas atau tidak percaya, inilah ribuan balak yang terapung di atas air banjir.
Menurut akhbar-akhbar berita, secara spesifik, ini adalah di Sungai Telemong.
Dan dikatakan juga inilah yang mengakibatkan banjir yang dahsyat di kawasan itu.
Lebih menyayat hati, dilaporkan juga yang orang-orang kampung di situ ada yang meninggal dunia dan ada yang hilang ketika banjir berlaku.
Persoalannya, dari manakah balak-balak ini datang?
Syarikat pembalakan manakah yang terlibat?
Nampaknya ini bukan aktiviti balak ‘biasa-biasa’, tetapi pembalakan ‘mega’ yang tidak sengaja terlondeh dek kuasa Allah Yang Maha Kuasa ini.
Yang paling penting, agensi manakah yang bertanggungjawab membiarkan atau lagi teruk, membenarkan kebobrokan ini berlaku?
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mesti ambil serius perkara ini dan ambil tanggungjawab sewajarnya.
Saya kira, memang wajar agar suatu jawatankuasa bebas misalnya RCI, khususnya tanpa mana-mana campurtangan politikus dan taikun bagi menyiasat kes ini ditubuhkan.
SPRM pun, tolonglah cakna dan ambil serius; siasat apakah ada unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa?
Lagipun, saya dan rakan-rakan NGO sudah beberapa kali ke pejabat SPRM dan Pejabat Hutan Negeri untuk desak agar ambil serius terhadap kes-kes kegiatan haram di hutan-hutan Pahang, namun nampaknya dipandang sepi sahaja.
Saya tak menolak seandainya memang sudah ada mana-mana pihak pernah buat laporan terhadap aktiviti pembalakan yang berlaku ini, tetapi dipandang sepi juga.
Sebenarnya, sudah terlalu banyak kes banjir yang berlaku disebabkan pembalakan lebih-lebih lagi di Pahang.
Masih tiada lagi apa-apa langkah serius yang dapat kita lihat dari pihak berwajib.
Saya harap foto-foto ini dapat menginsafkan mereka yang punyai kuasa, sama ada kuasa politik untuk mentadbir dengan berintegriti atau yang ada kuasa wang supaya amanah dengan kekayaan yang dikurniakan.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA