Biar Buruk Di Mata Kita

Biar Buruk Di Mata Kita

Bagusnya kerajaan PAS Terengganu.

Sudahlah dihapuskan cukai pintu, disediakan pula i-Rahman sebagai kemudahan pembiayaan perumahan tanpa riba.

Warga emas pula diberi pencen.

Walaupun nilainya tidak seberapa tetapi dapatlah meringankan nelayan, petani khususnya ayah bonda yang sudah lanjut usia.

Perkhidmatan wad kelas 3 pula diberikan percuma.

Kebajikan untuk rakyat dibuktikan menjadi agenda utamanya.

Tetapi jangan terabai keceriaan dan kebersihan negeri dan setiap ceruk perbandaran.

Rumput tak dipotong, panjang mengganggu pemandangan.

Sampah-sarap tidak diangkut buang, menjijikkan orang mengata.

Apalagi kalau sebelumnya keindahan dan kebersihan negeri terjaga.

Keceriaan bandar dan negeri dan kemudahan awam mesti dicakna dan diselia.

Sedikit sahaja kita silap, orang mengungkit dan mengumpat nama YB-nya.

Bagusnya kerajaan PAS Terengganu.

Bantuan untuk mendapatkan lesen motosikal diberikan kepada anak muda.

Kad Sejahtera RM500 setahun pula dapat meringankan lagi beban kos sara hidup sedia ada.

Ada orang kata kecil tetapi tak pernah dibuat orang sebelumnya.

Kecil di mata orang, tetapi besar di mata yang kurang berada.

Itu baru langkah mula untuk penggal pertama.

Tentu ada penambahbaikan apabila semuanya semakin sempurna.

Bagusnya kerajaan PAS Terengganu dalam bab rasuah.

Rekod masih kosong walaupun ada suara fitnah dan persepsi murah.

Lening tak guna slogan Bersih, Cekap dan Amanah.

Tapi kerana ada sifat takutkan ancaman dari Allah.

Harta negeri dijaga dengan amanah.

Persen-persen tak main maka projek-projek berjalan dengan mudah dan berhemah.

Rakyat makin murah rezeki dan berkat dari Allah.

Tetapi jenayah dan pelanggaran hukum syariat biar nampak menjunam grafnya.

Kanun jenayah, hudud dan qisas biar terlaksana seperti maksudnya.

Akan ada mulut-mulut berkata indah khabar dari rupa.

Macam tak nampak beza dengan yang dulukala.

Di manakah pelaksanaannya?

Tiadakah kes rompakan, kecurian dan zina di negeri Darul Iman?

Tak dengar pun ada orang kena potong tangan dan dirotan dengan 100 sebatan.

Perkara begini kepada rakyat diperlu diterang.

Orang nak berlawan dengan kita, macam-macam mereka viral jadi sebutan.

Bagusnya PAS Terengganu apabila dapat memerintah negeri.

Tanah yang pernah dirampas haknya telah berjaya digantikan kembali.

Tanah-tanah RTB dibuka di setiap daerah dalam negeri.

Geran dapat mudah-mudah setelah segala syarat dan kelayakan dipenuhi.

Dulukala, janji nak beri tanah kepada rakyat dinyanyikan setiap 5 tahun sekali.

Tanah dijadikan syarat bertukar dengan undi.

Lepas menang tak nampak tanah hilang sekali dengan YB.

Rasa kesian ada, rasa nak ketawa pun ada.

Kalau ketawa rasanya tak kering gusi.

Kena perbodoh sokmo setiap 5 tahun sekali.

Tetapi urus hal tanah biarlah nampak comel.

Kalaulah tersilap, bukan sahaja orang di luar sana mencerca; orang kita pun turut mengata.

Orang bukan tahu punca masalah, kelambatan dan segala yang tak kena.

Asyik nak sergah, asyik nak bantah.

Jadi timbul masalah timbul fitnah.

Elakkan persepsi buruk terhdap prosesnya.

Urus molek-molek biar tepat seperti manifestonya.

Bab tanah ini adik-beradik boleh berkelahi.

Apalagi rakyat yang bukan ‘se mak se pak’ yang sudah lama ingin miliki.

Jauh benar baik kita bila diberi kuasa.

Tetapi sifat manusia sentiasa tak berpuas hati sejak zaman purbakala.

Hingga kini kita masih sifar rasuah.

Integriti kita jauh meninggalkan lawan yang ditolak rakyat kerana rasuah berbudaya.

Cuba bayangkan 1 kes sahaja timbul dan berlaku di zaman pemerintahan kita.

Habis diungkit dikata lebai pun serupa.

Itulah lumrah dunia pancaroba.

Tetapi itulah yang semua kita patut jaga.

Akhir sekali, jangan dilupa saing-saing yang banyak berjasa berpuluh-puluh tahun.

Ada yang bertungkus-lumus dengan kudrat sekuat tenaga.

Yang berada dan miskin tidak lokek menabung untuk pilihanraya.

Tin Milo dan tabung buluh adalah sejarah dan bukti nyata pengorbanan semua.

Ada yang mengambil cuti panjang di musim pilihanraya.

Semuanya bekerja dan menyumbang dengan niat agar Islam berjaya didaulatkan.

Maka ingatlah, jangan ada dalam kalangan mereka rasa terpinggir dan ditinggalkan.

Jangan mereka dilupakan kerana sibuk menguruskan rakyat dan kerajaan.

Dampingi mereka.

Selami fikiran dan caknai sakit demam mereka yang sekian lama berjuang.

Jangan diabaikan mereka kerana menatang watak-watak yang berpura-pura datang waktu senang.

Terengganu