Sindir Pemimpin PAS ‘Jahanam’, Ketua Pemuda PAS Rasa Lucu Dengan Sindiran

Sindir Pemimpin PAS ‘Jahanam’, Ketua Pemuda PAS Rasa Lucu Dengan Sindiran

Susulan sindiran perwakilan UMNO Kelantan yang mendakwa tiga pemimpin PAS sebagai ‘jahanam’, Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kecaman itu sebagai perkara lucu dan tidak masuk akal.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu membalas kecaman dibuat oleh Datuk Zawawi Othman baru-baru ini semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) baru-baru ini dengan menyuruhnya supaya menasihati pemimpin UMNO sendiri yang berdepan masalah integriti.

“Lucu juga, bila pemimpin yang tiada rekod masalah integriti dilabelkan jahanam, atau datuk nak sindir pemimpin sendiri yang lebih jahanam?

“Jangan begitu datuk, nanti tak dapat watikah,” sindir beliau dalam satu hantaran Facebook membalas ucapan Zawawi tersebut.

Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak ketika ini masih berdepan puluhan pertuduhan kes salahguna kuasa dan rasuah di mahkamah yang sedang dibicarakan.

Terdahulu, Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh membidas tiga pemimpin PAS sebagai ‘jahanam’, iaitu Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Zawawi mendakwa tiga pemimpin terbabit digelarkan begitu kerana dianggap “bermulut jahat.”

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata PAS sedia bertempur dengan Zawawi di Kelantan dan mencabarnya untuk memadamkan rekod kekalahan dalam pilihan raya umum yang lalu apabila UMNO tewas semua kerusi yang ditandingi.

“Begini sahajalah Datuk Ketua Bahagian (Zawawi), kita berjumpa sahaja dalam pilihan raya nanti. Kami (PAS) pun suka sangat nak bertempur nanti.

“Datuk boleh cuba lagi untuk padamkan rekod kalah 0-5 (lima PRU) di bahagian Datuk (di Pasir Puteh). Jemput juga bekas calon Parlimen PRU-14 datang sekali lagi, tapi janganlah disabotaj pula. Kasihan, nanti duit banyak yang habis, menang tak juga,” katanya lagi.

Isu Semasa