Latar Belakang Tokku Paloh
Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus.
Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.
Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu.
Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan 1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi.
Ayahanda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.
Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).
Tok Ku Paloh ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang.
Ketika meninggal dunia, beliau berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.
Keturunan Rasulullah SAW
Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus.
Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW.
Kegiatan Anti-Penjajah
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam.
Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu.
Ada riwayat mengatakan Haji AbdurRahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah juga adalah murid Tok Ku Paloh.
Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.
Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh dan mendapat simpati daripada ulama tersebut.
Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang.
Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”
Mat Kilau Menguji Kepandaian Silat Tok Ku Paloh
Seperti apa yang dimaklumkan kepada Aki oleh salah seorang anak murid Tok Ku Paloh yang masih hidup sehingga tahun awal 90-an (Pok Leh) semasa beliau bertandang ke rumah Aki.
Pahlawan Mat Kilau yang pernah berlindung di rumah Tok Ku Paloh pernah bermuzakarah perihal keagamaan dan persilatan.
Mat Kilau ingin mencuba kehebatan persilatan Tok Ku Paloh dan kedua-duanya bersetuju sambil berdiri memegang sebilah keris.
Apabila saat memulakan langkah, tiba-tiba Tok Ku Paloh ghaib dari pandangan mata Mat Kilau.
Secara tiba-tiba juga Tok Ku Paloh mengunci Mat Kilau dari belakang dan meletakkan kerisnya ke leher Mat Kilau.
Perlawanan silat mereka tamat dengan begitu pantas.
Keramat Tok Ku Paloh
Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah dari Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tok Ku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya.
Maksudnya Tok Ku Paloh yang lebih berhak membuat keputusan.
Beberapa orang pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding.
Setelah mereka tiba, dengan sombongnya mereka tidak mahu duduk atas lantai.
Oleh itu Tok Ku Paloh memberi kerusi untuk mereka duduk.
Dalam perbincangan tersebut, Tok Ku Paloh membenarkan pegawai Inggeris mengambil seberapa banyak tanah di Terengganu untuk dibawa pulang asalkan jangan ambil alih pemerintahan Terengganu.
Pegawai-pegawai Inggeris yang marah dengan gurauan Tok Ku Paloh terus bangun.
Akan tetapi punggung mereka telah melekat di kerusi.
Lalu Tok Ku Paloh memerli mereka: “Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari…”
Apabila Tok Ku Paloh tolong tarik kerusi barulah pegawai-pegawai Inggeris dapat pisahkan punggung mereka dari terus melekat.
Kejadian lucu ini menyebabkan mereka sangat marah terhadap Tok Ku Paloh.
Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tok Ku Paloh berunding di atas kapal perang.
Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamerkan kekuatan angkatan laut mereka yang mampu membedil pantai di Terengganu.
Taktik ini dipanggil “Gunboat Diplomacy”.
Tok Ku Paloh cuma menyengetkan serbannya ke kiri lalu seluruh kapal perang laut Inggeris turut senget ke kiri.
Kemudian Tok Ku Paloh sengetkan serbannya ke kanan lalu kapal tersebut ikut senget ke kanan pula.
Kejadian ini menyebabkan Inggeris takut tetapi semakin marah terhadap Tok Ku Paloh.
Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang.
Ini menyebabkan mereka takut nak menjajah Terengganu selagi Tok Ku Paloh masih hidup.
Selepas beliau meninggal dunia, tepat pada 24 Mei 1919 barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
Ahmad Qusyairi