Orang Asli Boleh Dapat Gaji RM3,000 Kerja Ladang

Orang Asli Boleh Dapat Gaji RM3,000 Kerja Ladang

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut membuka peluang kepada masyarakat Orang Asli dalam usaha menggalakkan rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan, termasuk kelapa sawit yang menawarkan pendapatan sehingga RM3,000 sebulan dan manfaat lain.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali berkata, kementeriannya turut menyediakan latihan khusus bagi memastikan rakyat tempatan termasuk Orang Asli mempunyai kemahiran yang betul untuk bekerja di ladang.

“Perbincangan dengan Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) baru sahaja berlangsung untuk menarik Orang Asli ke ladang dengan disediakan latihan di Plasma (Pusat Latihan Sawit) dan IMPAC (Institut Latihan Perladangan dan Komoditi) bawah kementerian.

“Perbincangan awal juga dilakukan dengan kerjasama ahli Parlimen Grik sebagai pilot projek,” katanya kepada FMT.

Ditanya sambutan penduduk tempatan bekerja di ladang selepas tawaran dibuka, Khairuddin berkata ia positif selain syarikat dengan kerjasama kementerian aktif melakukan promosi di seluruh negeri.

“Semua syarikat perladangan dengan kerjasama kementerian sudah membuat promosi dan tawaran untuk rakyat tempatan bekerja di ladang.

“Angka (mereka yang sudah mendaftar untuk bekerja di ladang) akan dimaklumkan kemudian kerana masih dalam proses,” katanya.

Beliau turut memaklumkan syarikat juga mampu menawarkan gaji tinggi kepada pekerja tempatan termasuk Orang Asli berikutan harga sawit semakin meningkat.

“Dalam keadaan harga buah tandan segar sawit (BTS) sekarang lebih dari RM600 per tan berbanding sebelumnya sekitar RM300 sahaja, syarikat perladangan dan pekebun kecil boleh dan mampu menggaji warga tempatan untuk bekerja berbanding warga asing,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya turut membuka peluang kepada golongan gelandangan, Khairuddin berkata setakat ini belum ada cadangan ke arah itu.

“Gelandangan belum ada perancangan kerana ia melibatkan cara berfikir dan cara hidup yang perlu dirujuk kepada Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Khairuddin memaklumkan kerajaan menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor perladangan, termasuk kelapa sawit yang menawarkan pendapatan sehingga RM3,000 sebulan dan manfaat lain.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah menarik minat orang tempatan bekerja di sektor perladangan kerana negara kekurangan 30,000 tenaga kerja dalam pelbagai pekerjaan di ladang.

Katanya, ia juga selaras usaha negara mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selepas penularan Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan.

“Kerja sebagai pengait buah sawit di ladang besar memberi peluang pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan disediakan kemudahan kediaman keluarga yang baik,” katanya.

Menurutnya, keutamaan kepada pekerja tempatan berbanding warga asing juga dibuat sebagai usaha menangani isu buruh paksa yang dijadikan bahan kempen antarabangsa bagi memburukkan sektor sawit negara.

Free Malaysia Today

Ekonomi