Pertama, tahniah dan syabas kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun yang berjiwa kental, berani dan tegas dalam memutuskan hukum ketika berdepan dengan ‘jerung terbesar’ bernama Najib Razak.
Hebat juga orang yang bernama Maimun.
Pada PRU 2008, Mat Sabu pernah tewas dek penangan seorang wanita tua juga bernama Maimun.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi dapati Najib bersalah kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Najib tak terus dipenjarakan.
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan pula mendapati dia bersalah kes yang sama. Najib bebas lagi.
Bosku ke sana ke sini tanpa sekelumit rasa malu.
Dan hari ini, 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan melengkapkan keadilan bagi Najib.
Dia ke dalam jeriji besi juga akhirnya.
Sejak kes dimulakan pada 4 Julai 2018 hingga 23 Ogos 2022, tempoh masa yang cukup panjang untuk seorang kleptokrasi besar bebas merayau-rayau bagai tiada apa-apa yang berlaku.
Manakala tempoh 2 tahun sejak keputusan Mahkamah Tinggi adalah tempoh masa yang cukup panjang untuk mencari peguam terbaik dengan persiapan paling rapi berongkos tinggi.
Dengan tempoh masa yang panjang itu, tiga peringkat mahkamah mendapati dia bersalah.
Tetiba sepasang bibir yang telah pudar kemerahan pada hari ini mendakwa mahkamah tidak memberi keadilan kepadanya.
Dan para juak bertempik-tempik meratapinya.
Inilah antara kesan jangka panjang politik wang yang subur berbudaya dalam UMNO selama ini.
Mungkin orang muda yang baru berjinak-jinak dengan politik tak pernah dengar tentang politik wang dalam UMNO.
Maklumlah, sudah lama UMNO tidak mengadakan pemilihan kepimpinan sejak sebelum pandemik melanda lagi.
Malangnya, politik wang yang berupa suapan ini tidak dikategorikan sebagai rasuah kerana berlaku dalam kalangan ahli dan organisasi parti itu sahaja.
Justeru, ahli-ahli UMNO rasa tidak berdosa dan bersalah.
Untuk beri suapan demi mendapatkan undi dan sokongan, pemimpin perlu ada wang yang banyak untuk belanja makan, duit saku, tambang percuma, melancong dan sebagainya.
Kalau pertandingan peringkat ketua bahagian pun, sesetengahnya sanggup ‘melabur’ mencecah jutaan ringgit, apatah lagi peringkat pucuk pimpinan.
Bagaimana untuk mendapat pulangan semula apa yang dilaburkan?
Bila sudah ada kuasa dan kedudukan, sakaulah di sana sini.
Meminjam kata-kata Zahid Hamidi, “ambillah mana-mana yang sempat”.
Hari ini Najib sudah kena dan Zahid sedang diadili atas perbuatan terkutuk mereka.
Mereka tidak boleh mencari simpati konon ini adalah dakwaan terpilih.
Kalau ini alasannya, secara tak langsung mereka mengakui benarlah mereka khianat harta rakyat dengan melakukan penyelewengan.
Cuma untuk kali ini, mereka yang kena.
Tunggulah masanya, ramai lagi pengkhianat amanah rakyat dihumban ke penjara.
Apabila tiba masanya, manusia akan menuai apa yang ditanam.
Selama ini UMNO menghalalkan politik wang dalam parti.
Hari ini, UMNO dapat merasai apa yang ditanamnya.
Ambillah pengajaran daripadanya.
Walau apa pun, jangan diketawakan nasib yang menimpa Najib.
Nasib kita belum tentu.
Pesan orang tua-tua; buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Najib dan UMNO tewas kerana wang dan kuasa.
Kita juga mungkin tertewas kerana dengki, dendam, nafsu dan tamak haloba.
BayangDiAir,