Ulamak Politik Paling Sengsara

Ulamak Politik Paling Sengsara

Kalau kita meneliti akan keadaan cabaran atau rintangan dalam berdakwah yang dihadapi oleh ulamak, kita akan dapati ulamak yang berjuang melalui wadah politiklah yang paling sengsara berdepan dengan cabaran semasa.

Mana-mana ulamak yang berkecimpung dalam bidang siasah ini, mesti mempunyai kekuatan pertahanan yang luar biasa.

Jika tidak, dia akan rebah.

Politik dilihat kotor oleh sebahagian manusia.

Lalu, kerja-kerja kotor itu, tidak mahu mereka campuri.

Katanya terlalu banyak dosa di dalam politik.

Apalagi proses demokrasi yang dikatakan mengikut kafir.

Maka, mereka memilih jalan suci murni yang konon pada mereka, tiada dosa.

Bila tiada dosa, masuk syurga.

Kemudian, politik itu, ditinggalkan, dibiarkan hanya kepada pendosa. Itu fikir mereka.

Jadi ulamak politik sentiasa bergelumang dengan dosa, manakala mereka, sentiasa mengira pahala.

Ulamak politik menghadapi berbagai jenis karenah manusia.

Mereka mesti bersedia disoal, bertanggungjawab, membantu, menghalang, memerintah, menguatkuasakan undang-undang, menyimpan rahsia strategi dan akhirnya tugas yang terbesar, memastikan semua manusia kembali ke jalan Allah.

Semua ini mesti dilakukan di lapangan, bukan hanya berteori.

Berbeza dengan ulamak yang hanya tahu mengajar sahaja, tidak mahu berpolitik.

Komunikasi mereka satu hala.

Ibarat memeriksa kertas jawapan, betul dan salah.

Jika disoal dengan banyak, sudah berasa rimas, mahu marah, anak murid mungkin dikata kurang ajar.

Apalagi jika anak murid tidak mahu mendengar cakapnya, mungkin ustaz boleh merajuk.

Dalam politik, tidak boleh begitu.

Degilnya pengikut, mesti dilayan juga.

Ulamak politik ada yang terpaksa menerima kutukan secara berdepan oleh segelintir rakyat.

Ada yang merajuk, ulamak politik terpaksa memujuknya.

Jika berkelahi didamaikan, jika berdosa, ditegurnya, jika melampau, disederhanakannya.

Dituduh, dikutuk, serta difitnah oleh musuh, terkadang sesama sendiri, jangan ceritalah.

Terpaksa menjaga rakyat yang penuh dosa.

Rakyat terlalu ‘kuat iman’pun terkadang menyesakkan pimpinan juga.

Habis semua hal dibidaahkannya.

Ulamak politik mesti berserdahana.

Tidak boleh memikirkan pandangan satu mazhab sahaja.

Tidak juga boleh terlalu bebas, sehingga tiada pegangan.

Perkara asas, aqidah, wajib mereka pertahankan, tiada kompromi.

Manakala perkara yang ada pandangan berbeza, mesti ditarik keluar rambut yang berbeza perlahan-lahan daripada tepung itu.

Inilah sebenarnya anugerah yang Allah kurniakan.

Walaupun terkadang dilihat ulamak biasa lebih tinggi ilmunya, belum tentu mereka mempunyai kemahiran untuk menjaga sekumpulan manusia yang berbagai ragam itu.

Maka para anbia ditugaskan untuk menjaga manusia supaya sentiasa berada dalam kandang agama.

Sama ada manusia itu pendosa, atau mulia.

Inilah yang menyenakkan otak.

Rupanya, para anbia itu dahulunya adalah berpolitik semua mereka.

Sebab itu mereka tidak sekadar amar makruf sahaja, tetapi bersekali nahi mungkar.

Ashaabul Kahfi, Ashaabul Yaasin, Ashaabul Ukhdud, semua tersiksa kerana perlawanan politik dengan masyarakat yang sesat, asbab mempertahankan agama.

Mungkar itu pula dicegahnya dengan kaedah yang terbaik iaitu tangan atau kuasa mereka ketika menjadi pemerintah.

Pencegahan mungkar inilah yang akan menimbulkan kemarahan manusia yang bernafsu syaitan.

Dan tugas menghalang mungkar ini sentiasa disalah ertikan oleh orang ramai sebagai penghalang.

Ketika memegang kuasa pula, ujian kemewahan pula yang datang.

Saidina Abu Bakar mengatakan bahawa ketika miskin mereka bolah bersabar dan ketika mewah, hampir-hampir tewas.

Begitu beratnya ujian kemenangan.

Ulamak politik tidak bergaji besar.

Sudahlah begitu, terpaksa pula mengeluarkannya untuk membantu orang lain.

Ulamak politik juga membina madrasah.

Namun tujuannya bukan untuk menjadikan madrasah mereka sebagai madrasah cemerlang dengan keputusan.

Madrasah mereka adalah untuk memperkenalkan agama kepada insan.

Cerdik, dungu, baik, jahat, semua mereka terima masuk.

Tidak boleh menganggap murid jahat itu murid buangan, murid perosak kerana madrasah mereka berperanan sebagai hospital.

Semua pesakit dirawat. Hidayah dari Allah.

Misal yang paling baik ulamak kontemporari berpolitik ialah Presiden PAS.

Contoh tauladan yang beliau bawakan memberikan gambaran begitu cekal semangatnya untuk membawa ummah menjauhi neraka dan masuk ke syurga.

Sebab itu musuh Islam sangat bencikan beliau.

Perubahan cara pembawaan beliau dalam dakwah melalui politik ini menurut peredaran zaman, telah membuka pintu hati manusia untuk memilih PAS.

Kini PAS berjaya memiliki tiga negeri.

Hasil daripada kepercayaan rakyat ini, ulamak politik mendapat kuasa, banyak benda maksiat telah berjaya dihapuskan dan membuka ruang dakwah seluasnya.

Betapa besarnya pahala yang didapati kerana semua pahala orang yang melakukan kebaikan asbab kuasa ulamak politik miliki, akan ke kantung amalan ulamak politik juga, tanpa mengurangkan pahala si pengamalnya.

Bagi ulamak luar yang tidak berpolitik, sentiasa mengkritik, mungkin boleh memikirkan cara untuk membantu ulamak politik ini.

Kurangkan jurang perselisihan, rapatkan persamaan supaya benteng agama menjadi semakin kukuh dengan kurang bermusuh sesama sendiri.

Dan jika anda tidak mampu, biarkan orang lain yang mampu melakukannya. Jangan halang.

Sengsaranya ulamak politik untuk membangunkan negeri ke arah Islam dengan bebanan yang ada, hanya mereka yang tahu.

Jika anda fikir anda kaya dengan gaji, mereka mungkin tidak menerima upah semahal anda, tetapi mereka juga mampu mendapat seperti mana yang anda ada, yang Allah hantar melalui bantuan orang kaya.

Keluarlah dari kepompong ketakutan kepada memberikan idea-idea kepada ulamak politik ini.

Bantulah mereka.

وَمَآ أَسۡـَٔلُكُمۡ عَلَيۡهِ مِنۡ أَجۡرٍۖ إِنۡ أَجۡرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ

“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam”.

[Surah Ash-Shu`arâ’: 109]

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis