Hari ini Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengadakan sesi perbincangan bersama para pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Putrajaya.
Tujuan berbincang ini adalah untuk meningkatkan pelaburan dari Timur Tengah, khususnya bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19.
Terdahulu, Tuan Guru Abdul Hadi menyerahkan suatu Kertas Cadangan untuk pertimbangan YB Menteri Kewangan, berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19, khususnya melalui peluang kerjasama negara-negara Islam di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Perkara ini adalah susulan kepada “Laporan Eksekutif Situasi Terkini Di Rantau Timur Tengah Dan Potensi Kerjasama Antara Malaysia Dan Negara-Negara Timur Tengah”, yang telah dikemukakan oleh Tuan Guru kepada YAB Perdana Menteri pada 18 Ogos yang lalu, bagi menerangkan situasi terkini politik dan ekonomi di rantau Timur Tengah serta impak-impak yang signifikan terhadap kepentingan Malaysia.
Tuan Guru berpandangan, usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pasca COVID-19 adalah mendesak dan perlu disegerakan.
Selain pelaburan ekuiti dan hartanah yang menjadi tarikan utama kepada pelabur Timur Tengah, Malaysia wajar menjadi destinasi utama pelaburan dalam sektor komoditi, pertanian moden, pelancongan, industri halal dan kewangan Islam, di samping perkongsian pintar untuk meningkatkan pembangunan sains dan teknologi dalam negara.
Justeru Belanjawan 2021 wajar menyediakan Insentif Khas untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) khususnya dalam kalangan negara-negara Timur Tengah supaya dapat disalurkan kepada lima koridor ekonomi negara (NCER, ECER, IM, SDC, SCORE), dalam bentuk pelepasan cukai, pemberian geran, penghapusan birokrasi (fast-track approval) dan seumpamanya.
Di samping itu, Tuan Guru turut menyampaikan pandangan seorang tokoh kewangan negara yang melihat adanya kewajaran supaya Malaysia menjadi negara tuan rumah (host country) untuk menubuhkan dan mengawalselia suatu tabung yang dinamakan “Islamic Countries COVID-19 Rehabilitation Fund”, dengan menawarkan kepakaran di pihak Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Dana khas ini boleh dijadikan ‘instrumen perkongsian’ dalam kalangan negara-negara Islam bagi membiayai langkah-langkah pemulihan kesihatan dan ekonomi, dengan mengambil model inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan PRIHATIN dan PENJANA, serta SUKUK PRIHATIN yang telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Manakala dalam aspek penggubalan Bajet 2021, Tuan Guru menyarankan agar Kerajaan dapat mengambil langkah serius terhadap reformasi sistem cukai negara yang lebih saksama, berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud, “Supaya harta itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”
(Al-Hasyr: 7).
Secara dasarnya, kitaran kekayaan negara mesti dikembangkan agar tidak meminggirkan golongan bawahan, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Ini adalah prinsip pengurusan kekayaan yang ditekankan oleh Islam, melalui pelaksanaan sistem Zakat, Waqaf dan percukaian yang bersifat adil dan saksama, di samping menentang amalan rasuah, monopoli dan manipulasi dalam ekonomi, berdasarkan konsep Negara Madani.
Dalam hal ini, PAS pernah mengemukakan beberapa cukai alternatif untuk dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan, dengan mengambil contoh konsep dan kaedah Zakat Harta, Zakat Simpanan, dan Zakat Saham, seperti Cukai Lebihan Keuntungan (Windfall Tax), Cukai Lebihan Simpanan, dan Cukai Saham yang dikenakan terhadap ‘lebihan kekayaan’ (surplus of wealth) tanpa menjejaskan insentif untuk mengejar kekayaan, namun bersifat sebagai penstabil (stabiliser) untuk menggerakkan kitaran kekayaan dalam negara secara saksama.
Sebelum ini Tuan Guru pernah dicabar oleh pemimpin Pakatan Harapan untuk membawa pelabur dari Timur Tengah melabur di Malaysia.
Satu cabaran dibuat yang menurut kepala mereka bahawa seorang lebai tidak akan boleh memikirkan tentang ekonomi dan pelaburan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, Abdul Hadi yang diharap dapat membawa lebih banyak pelaburan ke Malaysia disebabkan keadaan ekonomi yang meleset, nampaknya hanya memilih untuk berdiam diri.
Walau bagaimanapun menurut Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pelantikan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri dilihat membuka peluang untuk memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara di rantau berkenaan.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelantikan itu juga berdasarkan latar belakang Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, khususnya dalam bidang syariah dan sains politik.
“Saya fikir ini antara jalan awal untuk mendapatkan laluan kepada perbincangan di peringkat kerajaan bagi meningkatkan pelaburan dan menarik pelabur dari Timur Tengah ke negara kita.
Misalnya, jika kita ada masalah melibatkan jualan sawit dan sebagainya, kita cuba untuk mencari pasaran kita di negara berkenaan.
Tuan Guru Abdul Hadi memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.