Islam Boleh Menyatukan Melayu

Islam Boleh Menyatukan Melayu

Rumpun Melayu terdiri daripada berbagai-bagai suku kaumnya di Nusantara, bahkan termasuk dalam kalangan bangsa majoriti Islam terbesar di dunia kini.

Mereka bertapak di wilayah yang luas di bumi Semenanjung Tanah Melayu sehingga Segenting Kra di Selatan Thailand, melangkah wilayah Champa di Indo-China, berada di ribuan Kepulauan Indonesia yang besar dan padat penduduknya daripada yang terluas di Sumatera, Jawa, Kalimantan sehingga Lombok, Sulawesi, Irian dan lain-lain, diikuti Kepulauan Filipina, di mana Kota Amanullah bertukar menjadi Manila.

Perkara ini menunjukkan wilayah Nusantara telah mendapat cahaya petunjuk bersama Islam.

Seterusnya, membentuk bangsa Melayu daripada semua rumpunnya yang kini bersama pengisian Islam dalam diri, jasad, roh dan akal yang lebih penting daripada isi perut sahaja.

Boleh difahami betapa Islam itu menjadi keperluan utama dengan betul, apabila seseorang itu berakal sihat.

Bukannya bermula dengan rahmat harga barangan isi perut dan keperluan jasad dengan kemudahan yang murah dibeli di kedai dan pasar.

Sebaliknya, bermula dengan membina jati diri manusia bersama Islam yang beraqidah, berilmu, berakhlak, atau beriman, Islam dan ihsan yang memenuhi ciri-ciri fitrah manusia.

Lantas, membawa berkat kepada rezeki yang datang melimpah-ruah, bukan untuk jasad sahaja yang menjadi kiblat semua ideologi ciptaan manusia yang berprinsipkan materialisme.

Ramainya jumlah masyarakat Islam dan melimpah-ruahnya sumber dari dalam bumi tanah airnya, tetapi kini semua itu laksana buih terapung yang tidak bermanfaat.

Hal ini demikian kerana, kelemahan umat Islam di seluruh dunia Islam menyebabkan sumber itu hanyut keluar tanpa manfaat kepada rakyatnya sendiri.

Islam pernah berjaya membina syakhsiah bangsa Arab jahiliah yang paling keras dan kejam sifatnya, bukan sahaja pembinaan dirinya bahkan juga masyarakatnya yang hobinya berperang dan membunuh sesama mereka.

Sehinggakan, mereka membunuh anak perempuan yang baru sahaja dilahirkan kerana dianggap tidak berguna untuk berperang dam merompak.

Tiba-tiba mereka berubah menjadi manusia yang hebat setelah beriman kepada Islam yang sempurna dan menyatukan mereka sehingga berkuasa untuk melaksanakan keadilan Islam kepada semua manusia.

Malah, sehingga cahaya Islam menembusi seluruh pelosok dunia laksana banjir yang gagal disekat alirannya walaupun kini penganutnya itu lemah.

Walaupun Islam bermula dari bumi Makkah yang kering-kontang tanpa air, makanan dan jauh sekali kemudahan infrastruktur yang diutamakan dalam dunia kini.

Namun, Allah SWT memilih tempat untuk melahirkan nabi terakhir yang telah disebutkan dalam semua kitab suci.

Allah SWT tidak memilih bangsa yang kaya hartanya dan hasil buminya, namun tidak bermoral.

Bangsa Arab kaum Quraisy berasal daripada zuriat Nabi Isma‘il AS yang diletakkan oleh ayahnya, Nabi Ibrahim AS di Makkah yang menjadi pilihan sebagai tempat permulaan Islam.

Walaupun di situ tidak terdapat sumber kehidupan manusia dari segi jasadnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ٤﴾

“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1)

(Iaitu) kebiasaan mereka bermusafir pada musim dingin dan musim panas. (2)

Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Kaabah). (3)

(Tuhan) yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)”

(Surah Quraisy: 1-4)

Bangsa Arab yang keras itu sangatlah payah percaya kepada Islam dan janji Allah SWT yang berasaskan ibadat kepada-Nya sahaja, ekonomi yang berkat dan keamanan politik dalam masyarakat madani yang berpandukan Islam, bukan madani jahiliah.

Justeru, Allah SWT mendedahkan ucapan para pemimpin Makkah yang menentang Islam serta menganggap mustahil sama sekali Islam boleh berjaya kerana kebenaran dan keadilannya dalam dunia yang penuh kesesatan dan kezaliman.

Keadaan yang bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Arab, bahkan juga oleh kuasa besar Timur dan Barat.

Firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu (Muhammad SAW), nescaya kami akan diusir dari negeri kami (Makkah).’ Dan apakah mereka tidak sedar bahawa Kami (Allah) telah meneguhkan kedudukan mereka dalam Tanah Haram (tanah suci Makkah) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

(Surah al-Qasas: 57)

Dalam sejarah, jika dibandingkan antara bangsa Melayu dengan bangsa Arab, maka bangsa Melayu lebih mudah mendapat hidayah untuk memeluk Islam.

Pengislaman berlaku dengan cara yang aman damai tanpa peperangan.

Hal ini tidak sama sepertimana bangsa lain yang menentang Islam dengan penuh angkuh dan rakus nafsunya, laksana dibelasah sebelum menerimanya.

Rumpun Melayu Nusantara yang menerima Islam secara sempurna (al-din), terbukti berjaya mencipta beberapa negara kesultanan Islam (umara’ dan ulama’) yang bertamadun bersama pelbagai bangsa lain yang menganut Islam.

Selain itu, juga berjaya mengislahkan tamadun, sehingga Islam berjaya menubuhkan sebuah negara kuasa besar tunggal yang menguasai dunia sehingga rantau Asia Tenggara menjadi satu wilayah mata rantai Islam.

Kini, rumpun Melayu masih mempunyai jumlah umat Islam antara yang terbesar di dunia.

Pada masa kegemilangannya bertaut dengan kuasa besar Islam yang luas secara silih berganti, telah melahirkan para pemimpin dan ulama’, luas sempadannya sehingga Afrika Barat, Selatan Eropah, Asia Tengah, menguasai tiga benua besar Asia, Afrika, sebahagian Eropah.

Dalam pada itu, negara besar Islam juga mengatasi China dan India.

Adapun Eropah pula berada dalam kegelapan sehingga hampir dikuasai oleh Islam.

Seterusnya, pengaruh Islam mula merebak pula ke China dan India.

Bangsa Melayu mendapat petunjuk Islam yang sempurna mengikut tujuan manusia diciptakan oleh Allah Pencipta alam, supaya beribadat kepada Tuhan yang Maha Esa semata-mata.

Pada masa yang sama, makhluk manusia itu sendiri berhubung dengan Allah dalam segala urusan, berkhilafah (mentadbir urusan) dunia dan segala makhluk yang menjadi isinya bagi memakmurkannya dengan hidayah Allah (petunjuk).

Sekali gus menunaikan amanah melaksanakan syariat Allah yang Maha Adil mengikut hidayah-Nya.

Sekiranya kepentingan perut mendahului kepentingan roh dan akal, maka nilai diri manusia sama seperti haiwan, sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan galian.

Maka, harga dirinya lebih rendah daripada haiwan yang tidak berakal yang dicipta untuk menjadi alat semata-mata, keperluan hidupnya dalam wawasan dunia yang sempit.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(Surah al-A‘raf: 179)

Bukanlah bermakna keperluan nafsu jasad itu tidak penting, tetapi matlamat hidup yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia itulah menentukan kepentingan diri mereka yang wajib ditumpukan.

Bukannya kerana isi perut dan keperluan jasad sahaja, tetapi bagi tujuan yang sangat mulia.

Bahkan, kalau ia ditunaikan, maka mereka sebenarnya mengatasi martabat para malaikat.

Inilah yang dicapai oleh para rasul dan anbiya’ yang menjadi teladan insan kamil (manusia yang sempurna).

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki daripada sumber yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’: 70)

Hal ini bermakna tujuan mereka hidup untuk makan dan mencari keperluan jasadnya bersama bagi menampung keperluan akal dan roh yang tidak berpisah daripada jasad itu.

Melaksanakan matlamat mereka diciptakan, dengan ciri-ciri yang ada dalam diri manusia itu.

Akal dan roh bergabung dalam satu jasad seseorang individu, berkeluarga dan bermasyarakat yang berpolitik dan berekonomi tanpa terkeluar daripada ajaran Islam.

Perkara ini menjadikan manusia bukanlah seperti binatang, sayur-sayuran, buah-buahan, kayu-kayan dan batu-batan kerana tujuan semua itu supaya dipergunakan zat dirinya oleh manusia.

Oleh itu, nilaian semua perkara tersebut mengikut berat timbangan, saiz ukurannya yang besar atau kecil, termasuk bentuk jasadnya cantik dan warna menarik atau tidak.

Kemudiannya, dinilai berapa harganya dengan duit yang mempunyai berbagai-bagai jenis mata wang.

Manusia itu mempunyai keistimewaannya yang berbeza dengan makhluk yang lain termasuk para malaikat.

Manusia itu dinilai dengan sifat taqwa.

Allah SWT berfirman:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawwa’ AS); dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

(Surah al-Hujurat: 13)

Bertaqwa berpandukan hidayah dengan bersatu bersama Islam dapat disempurnakan bagi menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia.

Perkara ini tercakup dalam firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ١٠٢ وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (102)

Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepada kamu ketika dahulu kamu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati kamu, lalu kerana ni‘mat Allah kamu menjadi orang-orang yang bersaudara; dan (sebelum Islam) kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu mendapat hidayah (petunjuk).”

(Surah Ali ‘Imran: 102-103)

Kewajipan manusia adalah melaksanakan tujuan mereka diciptakan oleh Allah SWT iaitu kewajipan beriman, bertaqwa dan mendapat hidayah mengikut petunjuk-Nya serta bersatu dengan ikatan tali Allah (hablullah) iaitu petunjuk Islam daripada Kalam Allah (al-Quran) dan teladan daripada Rasulullah SAW (Sunnah).

Ia dipilih oleh Allah SWT dengan cara damai yang lebih mudah kepada bangsa Melayu, sekiranya mereka benar-benar menganut Islam.

Firman Allah SWT:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah (Tuhan) yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61)

Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62)

Dan (Tuhan) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)”

(Surah al-Anfal: 61-63)

Bangsa Arab yang keras laksana batu dan berpecah dengan ganas dapat dibentuk syakhsiahnya oleh acuan Allah SWT sehingga beriman, beramal, berakhlak dan bersatu bersama Islam.

Seterusnya, berhijrah untuk sementara waktu bagi menegakkan negara masyarakat majmuk sehingga berjaya memimpin negara yang membesar sebegitu rupa dan menjadi negara paling majmuk.

Sehinggakan, Rasulullah SAW bersabda:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ ‌مَا ‌بَلَغَ ‌اللَّيْلُ ‌وَالنَّهَارُ.

“Akan mencapai keluasan kuasanya di mana adanya siang dan malam.”

(Riwayat Ahmad, no. 16957)

Kini, Islam menjadi agama yang paling maju perkembangannya di Amerika dan Eropah, negara yang paling kuat menyebarkan propaganda Islamofobia.

Hal ini menunjukkan bahawa cahaya Islam telah berjaya menembusi benteng musuh yang sebenarnya tidak kebal, dalam keadaan gerejanya ada yang kosong, kerajaannya mengalami krisis dan masyarakatnya pula menunjukkan tanda-tanda kemusnahan.

Kehebatan Islam dalam sejarahnya berterusan dipimpin oleh berbagai-bagai bangsa yang menganut Islam secara silih berganti.

Hal ini disebabkan amaran Allah SWT kepada bangsa Arab yang pertama sekali menegakkan Islam, bahawa mereka tidak akan sekali-kali kekal berkuasa.

Firman Allah SWT:

﴿…وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling (daripada berjuang menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.”

(Surah Muhammad: 38)

Kepimpinan umat Islam oleh bangsa Arab berpindah tangan kepada berbagai-bagai bangsa yang menganut Islam, seperti bangsa Kurdi (Kerajaan Ayyubiyyah), bangsa Parsi (Kerajaan Ghaznawi dan lain-lain), India Muslim (Kerajaan Mogul dan lain-lain) dan terakhir Kerajaan ‘Uthmaniyyah daripada bangsa Turki yang menganut Islam.

Perkara ini bermakna Melayu Islam juga berhak menjadi pemimpin kerajaan yang berdaulat memimpin negara dengan syarat mendapat kuasa bersama Islam.

Kedudukan yang mewajibkan mereka berpolitik memerintah negara dan memimpin masyarakat majmuk berpandukan Islam yang adil kepada semua.

Melayu pula menganggap dirinya tidak berpisah bangsanya daripada Islam, sehingga masyarakat umum Melayu menegaskan bangsa bukan Melayu yang menganut Islam adalah bangsa Melayu juga.

Sesiapa yang tidak menganut Islam dikira bukan Melayu.

Hal ini bukanlah fanatik perkauman, tetapi hanyalah fanatik Islamnya.

Melayu Islam pula mestilah sedar bahawa Allah SWT menggabungkan hubungan antara politik memilih dan mengikut pemimpin dalam firman-Nya bersama ketetapan hisab amal pada Hari Kiamat nanti.

Perkara ini menunjukkan bahawa politik wajib bersama Islam.

Firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71)

Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)”

(Surah al-Isra’: 71-72)

Politik hidayah Allah, bukanlah politik kebendaan yang dicadangkan oleh pemimpin Makkah yang meletakkan syarat-syaratnya kepada Rasulullah SAW.

Hal ini berpunca kerana para pemimpin Makkah itu menolak Islam.

Firman Allah SWT:

﴿وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ قَبِيلًا٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا٩٣﴾

“Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami. (90)

Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91)

Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. (92)

Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?’ (93)”

(Surah al-Isra’: 90-93)

Konsep nafsu kebendaan menjadi sebab kemusnahan kaum terdahulu, seperti yang berlaku terhadap kaum Nuh, ‘Aad, Thamud, Firaun dan lain-lain yang telah disebutkan namanya oleh al-Quran.

Kejatuhan Islam di Andalus yang telah bertapak selama lapan abad lamanya dan kemusnahan Baghdad yang bertamadun oleh bala tentera Tatar, semuanya kerana nafsu harta yang melekakan, takhta membina mahligai bersama harta dan wanita.

Adapun kejatuhan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah pula ditambah oleh semangat fanatik mazhab dan fanatik perkauman, termasuk ajaran agama yang hanya menekankan soal berzikir dan leka dengan hanya bertariqat dalam tasawuf, sehingga meninggalkan politik Islam yang menghilangkan kuasa besarnya.

Maka, Melayu yang meninggalkan kewajipan berpolitik boleh diambil alih kerajaannya oleh bangsa lain yang menganut Islam atau tenggelam tanpa Islamnya.

Firman Allah SWT:

﴿إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيءٍۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang (meninggikan Islam), nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

(Surah al-Tawbah: 39)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru