Selamat Datang Eizlan Yusuf Ke Dalam Keluarga Besar PAS

Selamat Datang Eizlan Yusuf Ke Dalam Keluarga Besar PAS

Gelombang penolakan ummat terhadap PHBN semakin menjolok mata dan mencapah keseluruh tanah leluhur ini.

Bukan sekadar penolakan total orang Melayu Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis, kini bergelombang di Pantai Barat membadai pengaruh PMX serta kerajaan PHBN.

Seorang demi seorang sosok besar politik mula mengistiharkan penyertaan mereka ke dalam PAS.

Di sisi lain, kegagalan kerajaan Anwar tak mampu ditutup dengan tudung saji bahkan menjadi bahan kritikan massa, menggelegak di medsos .

Penyertaan DS Eizlan Yusuf yang pernah membintangi puluhan filem dan drama ke dalam PAS pastinya akan memeriahkan penglibatan anak-anak seni untuk bersama PAS kerana harakatul ummah ini tidak pernah meminggirkan aspek kesenian dan kebudayaan.

Anak-anak seni, karyawan dan budayawan meminati PAS biasanya dengan harapan untuk menimba ilmu dan tertarik dengan budaya dalaman PAS yang jauh berbeda dengan parti konvensional lain.

PAS tidak menolak hiburan dan kesenian selagi mana ianya patuh syariah, tidak menjurus kepada dosa serta “lagho”.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah.

Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah.

Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebaikan.

Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam.

Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah.

Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka.

Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan.

Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat.

Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada “sensate culture”, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Kemasukan Eizlan Yusuf ke dalam PAS, pastinya akan memeriahkan usaha dakwah melalui kesenian dan hiburan patuh syariah.

Jika sebelum ini, PAS pernah memiliki pengarah drama dan filem seperti Adam Hamid, pelakon serta pengkarya seperti Bob Lokman, pemuzik serta penyanyi seperti Zuar XPDC, Man John, ratusan penggiat genre nasyid tanahair.

Eizlan memulakan penglibatannya dalam dunia seni pada tahun 1994, melalui filem “Kad Cinta”.

Pernah menggondol anugerah Pelakon Pembantu Filem Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1997/1998, pelakon lelaki harapan dalam Festival filem Malaysia ke 14.

Belum lewat untuk PAS memikirkan filem dan drama bernuansa dakwah sebagaimana teman-teman kita di tanah seberang berbangga dengan filem ‘Sang Murabbi’, ‘Sang Pencerah’, ‘Dibawah Naungan Kaabah’ dan puluhan filem-filem berorientasi dakwah.

Industri filem antarabangsa pernah mengkagumi mutu filem ‘Children From Heaven’ daripada Iran.

Penulis mengkhayalkan agar filem epik bersalut perjuangan ulama dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair mampu diangkat ke layar perak, umpamanya kisah Tuan Guru Hasan Bin Munas (Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu.

Malah biografi perjuangan ulama tersohor seperti almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mampu menjadi tarikan pesona yang besar dalam industri filem dakwah.

Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban.

Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir.

Kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda.

Semoga kehadiran Eizlan 52 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur mampu menjadi aset kepada PAS sebagai gerakan Islam yang telah menjadi parti paling besar menang dalam PRU 15 dan memimpin empat buah negeri jantung hati orang Melayu negara ini.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

PAS