Firman Allah SWT:
﴿إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى١٣﴾
“Sesungguhnya, mereka itu ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan pula untuk mereka petunjuk.”
(Surah al-Kahf: 13)
Ayat di atas menjelaskan cerita benar yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW, malah cerita yang sama juga disebutkan dalam Taurat iaitu kitab suci kaum Yahudi sekali gus menandakan kebenaran kerasulan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW.
Kerasulan Baginda SAW juga diketahui oleh penganut Kristian dan beberapa agama yang lain, walaupun telah banyak diubah beberapa perkara dasar dalam agama Allah SWT.
Cerita tersebut memberi keutamaan kepada orang muda yang dianggap mentah, tetapi cergas akalnya.
Bahkan, dianggap tiada berpelajaran, tetapi jiwanya tidak sekotor-kotornya, hanya gangguan sekeliling yang masih belum berakar umbi yang kuat.
Akalnya masih dalam kepala dan hatinya lembut mudah berubah, sama ada kepada kebaikan atau kejahatan.
Tidak seperti yang tua kalau baiknya kuat, jahatnya degil dan lebih keras daripada batu, khususnya yang masih meletakkan akalnya ke dalam perut walaupun berilmu.
Allah SWT menyebutkan contoh Bani Isra’il melalui firman-Nya:
﴿ثُمَّ قَسَتۡ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَٱلۡحِجَارَةِ أَوۡ أَشَدُّ قَسۡوَةٗۚ وَإِنَّ مِنَ ٱلۡحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنۡهُ ٱلۡأَنۡهَٰرُۚ وَإِنَّ مِنۡهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخۡرُجُ مِنۡهُ ٱلۡمَآءُۚ وَإِنَّ مِنۡهَا لَمَا يَهۡبِطُ مِنْ خَشْيَةِ ٱللَّهِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٧٤﴾
“Kemudian, setelah itu hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal antara batu-batu itu ada yang mengalirkan sungai-sungai daripadanya. Dan ada antaranya yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada antaranya yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Baqarah: 74)
Mereka kuat membaca kitab Taurat, tetapi tidak beramal.
Bahkan, mereka kuat beribadat dengan mengangguk kepala dan menggoyang tubuh bila berzikir, tetapi tidak mahu berjuang menegakkan apa yang telah ditunjukkan dalam Kitab Allah hingga berkuasa, sehinggakan mereka dihukum oleh Allah.
Cerita ini disebutkan dalam al-Quran sebagai petunjuk sepanjang zaman kepada umat Nabi Muhammad SAW agar tidak menjadi sepertinya.
Firman Allah tersebut mengesahkan bahawa ada tujuh orang muda daripada kalangan bangsawan menyaksikan pesta sesat yang dianjurkan oleh negara pada zamannya.
Asalnya mereka secara berasingan ingin mengasingkan diri tidak menyertai pesta yang sesat itu, tidak turun memuja, menari dan berhibur dengan leka.
Namun akhirnya, mereka ditemukan oleh Allah berkumpul seramai tujuh orang.
Sikap mereka yang anti-kerajaan terdedah, lalu mereka berpakat mahu mengasingkan diri daripada dipaksa kepada kesesatan.
Firman Allah SWT yang menyebutkan berkenaan ucapan mereka:
﴿إِنَّهُمۡ إِن يَظۡهَرُواْ عَلَيۡكُمۡ يَرۡجُمُوكُمۡ أَوۡ يُعِيدُوكُمۡ فِي مِلَّتِهِمۡ وَلَن تُفۡلِحُوٓاْ إِذًا أَبَدٗا٢٠﴾
“Sesungguhnya, jika mereka dapat mengetahui tempat kamu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksa kamu kembali kepada ajaran sesat mereka. Dan jika demikian, nescaya kamu tidak akan beruntung selama lamanya.”
(Surah al-Kahf: 20)
Mereka menggunakan tongkat memukul bola sebagai helah untuk melarikan diri bersembunyi dalam gua dan kemudiannya ditidurkan oleh Allah SWT selama 300 tahun.
Cerita tersebut menunjukkan Islam meletakkan peranan yang besar, mulia dan terpenting terhadap para pemuda yang beristiqamah secara fitrah (nalurinya) di tengah-tengah umat manusia yang bergelora dengan kejahatan.
Para pemuda itu diberikan hidayah oleh Allah SWT berprinsipkan aqidah yang benar.
Maka, ramai dalam kalangan pemuda menjadi sahabat semua nabi, khususnya nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang lahir di Makkah iaitu kawasan paling pedalaman di padang pasir yang tidak ada tempat pengajian.
Malah, jauh dari negara bertamadun yang ramainya ilmuwan dan ahli falsafah, namun ramai yang menyesatkan kerana mengejar kemewahan dunia sahaja tanpa ingatkan Hari Akhirat.
Tamadunnya dibina dengan penuh kezaliman, itulah sifatnya masyarakat madani jahiliah yang meruntuhkan jati diri manusia dan negaranya.
Dalam cerita yang lain, Allah SWT telah menapis kaum Bani Isra’il, apabila mereka diperintahkan Allah melalui Nabi Musa AS supaya berjihad bagi membebaskan bumi Palestin daripada kaum Jabbarin yang zalim.
Allah memerintahkan sedemikian setelah mereka diselamatkan dengan mukjizat tongkat Nabi Musa AS yang membelah laut serta menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya.
Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَعَلَ فِيكُمۡ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكٗا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمۡ يُؤۡتِ أَحَدٗا مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٠ يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ٢١ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ٢٢ قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٣ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٦﴾
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku! Ingatlah ni‘mat Allah ke atas kamu, ketika Dia mengangkat nabi-nabi antara kamu, dan raja-raja, dan diberikan-Nya kepada kamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada sesiapa pun daripada umat-umat yang lain.’ (20)
“(Musa berkata lagi) Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagi kamu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang rugi.’ (21)
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa! Sesungguhnya dalam negeri itu ada kaum Jabbarin (orang-orang yang gagah, ganas dan perkasa), sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar darinya. Jika mereka ke luar darinya, maka kami pasti akan memasukinya.’ (22)
“Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi ni‘mat ke atas kedua-duanya, ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu. Maka, apabila kamu memasukinya, nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.’ (23)
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa! Sesungguhnya, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka (kaum Jabbarin) ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja.’ (24)
“Berkata Musa, ‘Wahai Tuhanku! Aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Oleh sebab itu, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25)
“Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan ke atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang pasir Sinai) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)”
(Surah al-Ma’idah: 20-26)
Hanya dua orang pemuda sahaja iaitu Yusya‘ bin Nun dan Kalib bin Yufana yang bersama Musa AS dan Harun AS, sehingga kedua-dua rasul itu diwafatkan oleh Allah SWT.
Adapun mereka yang ramai telah disesatkan oleh Allah di padang pasir selama 40 tahun dan ramai kalangan yang tua mati dalam kesesatan itu.
Akhirnya, muncul generasi muda yang baharu setelah berlalu 40 tahun.
Kemudiannya, Yusya‘ memimpin mereka masuk ke Palestin dengan pertolongan Allah SWT apabila mereka berjaya memenuhi syarat-syaratnya.
Yusya‘ ialah pemuda yang menemani Nabi Musa AS menemui Khadir AS, sebagaimana yang disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبۡرَحُ حَتَّىٰٓ أَبۡلُغَ مَجۡمَعَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ أَوۡ أَمۡضِيَ حُقُبٗا٦٠﴾
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pemuda (sahabat dan muridnya), ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun.’”
(Surah al-Kahf: 60)
Nabi Musa AS memilih pemuda bernama Yusya‘ menemaninya dalam perjalanan mencari Khadir, membantu membawa ikan sebagai makanan bekalannya yang menjadi bukti tempat Khadir berada, dalam sebuah perjalanan yang tidak diketahui jarak jauhnya.
Selain itu, Allah SWT juga menyediakan para sahabat Nabi Muhammad SAW yang terbanyak dalam kalangan pemuda yang belum berusia 40 tahun dan hanya segelintir sahaja dalam kalangan orang tua.
Perkara ini sekali gus menunjukkan betapa pentingnya peranan anak muda dalam perjuangan umat.
Islam tetap dipelihara Allah SWT seperti dahulu oleh generasi muda atau kaum lain yang menganut menukar bangsanya.
Maka, apa yang disebut sebagai cakap Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” adalah ciptaan penjajah yang dijaja di sekolah-sekolah pada zamannya.
Hal ini tidak boleh melawan amaran Allah yang berfirman:
﴿وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ٣٤﴾
“Dan tiap-tiap umat mempunyai ajal (batas waktu), maka apabila telah datang waktunya; mereka tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).”
(Surah al-A‘raf: 34)
Keadaannya terpulang kepada sikap suatu kaum atau bangsa untuk menyelamatkannya dengan melakukan perubahan, sama ada perubahan yang baik atau buruk.
Firman Allah:
﴿إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ١١﴾
“Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan tidak ada sekali-kali pelindung bagi mereka selain Dia (Allah).”
(Surah al-Ra‘d: 11)
Para ulama’ mentafsirkan perubahan yang dimaksudkan itu dengan menolak keburukan dan mahukan kebaikan yang menjadi tuntutan generasi baharu dan penduduk pedalaman yang bersih.
Apabila mereka merasakan tekanan daripada situasi negatif oleh pihak yang berkuasa, maka berlaku kebangkitan yang mahukan perubahan.
Kita menyaksikan di Malaysia berlaku kebangkitan anak muda secara berduyun-duyun ingin menegakkan Islam melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Perkara itu mengatasi orang tua yang sibuk dengan urusan hidup tanpa memahami bahaya kelekaannya, sehingga ditenggelamkan oleh gelombang yang membinasakan.
Adakah sikap mereka seperti kaum Nuh AS, sehingga ditenggelamkan oleh taufan yang dahsyat, atau seperti kaum Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang disesatkan selama 40 tahun?
Allah SWT tidak menurunkan kepada umat akhir zaman seberat itu.
Cukup sekadar menjadi ramai kalangan pengundi saluran satu yang tidak berubah, sehingga negara ditenggelamkan atau dia ditimbus ke dalam kubur.
Kita menyaksikan tanda-tanda yang sangat menarik dengan kebangkitan anak muda di negara kita dalam PRU-15 akan terus meluncur dengan lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Khususnya, dengan keinsafan mereka apabila melihat tanpa tertarik kepada pemimpin yang terjun ke padang untuk menari dan menyanyi bagi menggoda mereka.
Barangkali yang mabuk dadah dan syabu sahaja boleh bernafsu tanpa mengira tua dan muda.
Perubahan anak muda wajib berlaku secara menyeluruh dan sempurna, maka peranan ibu bapa dan pendidik sangat penting bagi membentuk anak yang bertenaga menongkah cabaran bagi melakar kemenangan yang bertenaga.
Begitu juga, menjadi pelapis yang tidak mematikan perjuangan kebaikan dan kebahagiaan yang berwawasan dunia dan akhirat.
Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya bahawa hanya ada dua kumpulan manusia sahaja yang berdoa setelah menunaikan ibadat hajinya:
﴿فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَٰسِكَكُمۡ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَكُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِكۡرٗاۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ٢٠١ أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ٢٠٢ ۞وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ فِيٓ أَيَّامٖ مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوۡمَيۡنِ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۖ لِمَنِ ٱتَّقَىٰۗ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّكُمۡ إِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ٢٠٣ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ٢٠٥﴾
“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadat haji kamu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyang kamu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak daripada itu. Maka, antara manusia ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia’, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200)
“Dan antara mereka ada pula orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksaan neraka.’ (201)
“Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (202)
“Dan berzikirlah (dengan menyebut) nama Allah dalam beberapa hari yang berbilang. Dan sesiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan sesiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, (iaitu) bagi orang yang bertaqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahawa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya. (203)
“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia yang menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. (204)
“Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan, dan Allah tidak menyukai kerosakan. (205)”
(Surah al-Baqarah: 200-205)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS