Antara Agenda Perpaduan PN-TUN M Dengan PH-BN

Antara Agenda Perpaduan PN-TUN M Dengan PH-BN

Ada pihak yang tidak senang dengan pertemuan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad walhal pertemuan tersebut hanya bertujuan untuk kukuhkan perpaduan Melayu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerjasama perpaduan PN-Tun M ini adalah demi kepentingan dan harta.

Adakah perpaduan di mata Anwar adalah apabila kita mengangkat kluster mahkamah, merendahkan orang Melayu dan membenarkan bangsa lain menyentuh sensitiviti bumiputera?

Jika percakaran antara PH-BN itu adalah perpaduan, jika keputusan untuk menyekat peruntukan dan bajet di negeri-negeri majoriti Melayu adalah perpaduan, jika diamnya UMNO sebagai parti Melayu ketika DAP menyebut tentang agenda Malaysian Malaysia adalah perpaduan, jika pembahagian kerusi PH-BN yang rumit adalah perpaduan.

Maka ada baiknya rakyat diberi pilihan untuk memaknai perjuangan perpaduan yang dibawa Perikatan Nasional.

PN yang dipelopori BERSATU, PAS dan GERAKAN sejak awal telah meletakkan titik persamaan dalam agenda perpaduan yang dibina iaitu menyatukan orang Melayu-Islam, bersama bukan Islam yang tidak ekstrem, menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan serta adil kepada semua manusia.

Atas dasar dan kekuatan perpaduan ini, PN berjaya mentadbir negara dalam tempoh yang sukar ketika pandemik COVID-19.

Ketika itu, semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama saling membantu dan menguatkan.

Bukan sekadar hak orang Melayu Islam dibela, hak bukan Islam turut terjaga.

Toleransi dalam pakatan politik juga berlangsung dengan luar biasa sehingga termeterai memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik antara kerajaan PN dan pihak pembangkang.

Sememangnya perpaduan yang sebenar akan menjadi kekuatan kepada kepelbagaian yang ada di Malaysia.

Jadi, perpaduan bagaimana yang menjadi pilihan rakyat? Perpaduan versi PH-BN yang penuh pergolakan atau perpaduan yang dibawa dan telah dibuktikan berjaya oleh PN?

USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN

Pengarah Strategik Dan Pengurusan Risiko,

Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Isu Semasa