PAS Parti Menunggang Agama? Lawan PAS Menunggang Tatakelola Bla Bla…

PAS Parti Menunggang Agama? Lawan PAS Menunggang Tatakelola Bla Bla…

Kami ada fikrah dan pendapat yang berbeza dengan fikrah anda.

Kami percaya, politik yang baik dan bagus adalah politik yang selari dengan agama.

Konotasi ‘politik kotor’ dan ‘orang politik tak boleh dipercayai’ adalah betul kepada politik yang tidak selari dengan agama.

Istilah menunggang agama adalah istilah musuh politik kepada pihak yang mahu membawa politik Islam.

Sedangkan pada masa spesis yang melabel orang lain sebagai ‘menunggang agama’ pula sering sahaja menunggang istilah ‘keadilan’, ‘tatakelola’, ‘membasmi kemiskinan’, ‘harimau Asia’ dans sebagainya.

Mereka menuduh orang yang ‘menunggang agama’ sebagai takfiri – yakni menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir.

Tetapi mereka yang menunggang istilah ‘tatakelola’ bahkan mencerca musuh politik yang tidak mahu bersama mereka sebagai ‘perasuah’, ‘perompak’, ‘takfiri’, ‘sakau’ dan sebagainya.

Mereka anggap mereka sangat suci daripada semua itu.

Mengajak orang memperjuangkan Islam dan politik Islam bukanlah memecah belah ummah.

Tetapi memecahkan pemikiran jahat dan korup supaya ummah sedar dan kembali kepada fikrah politik Islam.

Sampai bila kita nak hidup dengan konotasi ‘politik kotor’ dan ‘semua orang politik sama saja’?

PAS bukan sahaja parti politik, bahkan juga sebagai jemaah dakwah dan islah, serta gerakan Islam yang bersifat harakiyyah.

Tetapi disebabkan PAS sering diserang secara parti politik, maka orang hanya melihat PAS pada sudut politik.

Manusia-manusia ‘buta’ tidak pernah nampak segala kebaikan dan kecemerlangan PAS membantu sistem pendidikan negara, membantu dalam dakwah-dakwah umum, membantu dalam perkara kebajikan, bahkan sedikit kuasa ketika menjadi sebahagian kerajaan juga dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Dari sudut kebudayaan dan pelancongan, negeri-negeri PAS hanya menyediakan garis panduan agar segala perkara yang mahu dibuat perlu mematuhi syariat.

Syarat asas dan tidak mengongkong sesiapa pun asalkan mematuhi syariat.

Apabila pihak pemaju atau penganjur sesuatu program enggan patuh, maka mereka tidak mahu buat.

Ia bukanlah berpunca daripada kerajaan negeri yang ditadbir PAS itu sebagai rigid dan kolot, tetapi pihak yang enggan mematuhi peraturan yang diwartakan itu lah yang rigid dan bebal.

Kenapa PAS pula yang salah?

Budaya-budaya luar yang masuk ke dalam negara kita MESTI dikawal supaya anak generasi kita tidak mudah dirosakkan dengan budaya buruk Barat dan Timur.

Kenapa kamu nak suruh PAS lembik tengkuk seperti pemimpin kamu – sanggup membiarkan budaya luar yang tidak senonoh masuk menyerapi budaya kita?

Kami tahu… puncanya adalah, fikrah kamu telah dirosakkan bahawa negara ini adalah ‘negara multiracial’.

Sedangkan kami masih berpendirian Malaysia adalah Tanah Melayu dan Bumiputera.

Selagi politik kamu dilembikkan dengan istilah multiracial, kamu akan terus prejudis terhadap sikap konservatif kami mempertahankan agama, budaya, tanah dan kedaulatan negara kami.

Bukan sahaja PAS akan dibenci, bahkan kumpulan berfikrah ‘multiracial’ ini akan membenci semua pihak yang berpendirian ini Tanah Melayu dari segi sejarahnya, budayanya, geopolitiknya dan perjuangannya.

Datuk nenek kami semua mempertahankan tanah ini dengan nyawa dan darah, sedangkan di mana puak ‘multiracial’ ketika negara kita dijarah musuh luar?

Pastinya, kita tidak akan membiarkan amanah datuk nenek moyang kita untuk menjaga tanah air ini.

Itulah yang membezakan fikrah kita, sampai pulun sangat duk tuduh PAS parti menunggang agama.

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

Kolumnis