Sudah sampai masanya PAS ambil alih dan ketuai PN, kerana sudah terbukti PPBM (Bersatu) gagal untuk menjaga dan mentarbiyah ahli partinya.
Selagi Islam, tidak menjadi panduan Bersatu, selagi itu Bersatu tidak akan bersatu.
Masalah dalaman dan perebutan dalam Bersatu sedangkan berulat, tidak melayakkan ia bernama Bersatu, melainkan berdua dan bertiga.
Kita tidak tahu berapa ramai lagi ahli Parlimen Bersatu akan melompat, yang jelas, pasti akan ada lagi yang akan melompat, kerana Bersatu tidak lagi bersatu atau disatukan.
Di tambah pula, mengenali latar belakang wakil rakyat Bersatu ini, tidak mustahil, lompatan demi lompatan akan terus berlaku, selagi mana Islam dan politik berprinsip, tidak menjadi panduan.
Pepatah Melayu ada berkata, hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat.
Kerana takut menjadi melarat, manusia sanggup menggadaikan maruah dirinya.
Jika tidak mana mungkin mereka melompat dengan begitu mudah.
Jika kerbau berpegang kepada talinya, jika manusia berpegang kepada janjinya.
Mana mungkin begitu mudah melompat sekelip mata, sedangkan sebelum ini, ketika mula bertanding, berkempen dan seterusnya menang dalam pilihan raya mewakili Bersatu, bukan main menentang lawannya.
Tiba-tiba, tidak sampai beberapa hari, terus menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan sedia ada, dengan alasan yang teramat naif dan bodoh, kerana perlu bantuan kerajaan Pusat.
Sedangkan, selama ini, tanpa bantuan kerajaan Pusat, adakah rakyat Malaysia yang menyokong pembangkang, menjadi kebulur?
Tidak juga, kerana rakyat tahu, risiko mereka memilih pembangkang.
Justeru, sudah sampai masanya PAS mengambilalih dan mengetuai PN.
Jika Bersatu, masih berkeras, bubarkan Bersatu dan pakat-pakat masuk PAS.
Belajarlah dengan PAS erti perjuangan, seperti yang dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO yang menyertai PAS.
Tidak perlu lagi pemimpin Bersatu seperti Wan Saiful menolak ‘syor’ veteran UMNO, Shahrir Samad, agar PAS mengambil alih kepimpinan PN ekoran dakwanya kekecohan dalam gabungan itu, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada PMX.
Shahrir mengesyorkan PAS ambil alih kepimpinan PN sambil memetik individu bergelar “Sam”, yang dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar yang diuar-uarkan sebagai calon Perdana Menteri PN menuju PRK Kemaman Disember lalu.
Selalu veteran politik, ternyata syor Shahrir banyak logiknya, tidak perlu ditolak.
Kepada pemimpin Bersatu yang telah melompat dan akan melompat lagi, jika kamu benar-benar anak jantan dan bukan pondan, sudah tentu kamu meletak jawatan dan dapat mandat semula dari rakyat.
Ternyata, kamu telah mengkhianati amanah rakyat.
Jika kamu masih bernafsu untuk memimpin PN, beberapa perkara mesti kamu lakukan untuk kekal relevan dalam politik.
Pertama, jadikan Islam sebagai landasan perjuangan.
Belajarlah dari PAS, dalam mengenali erti perjuangan sebenar dalam politik.
Jangan kamu merasa takut atau negatif apabila berpegang kepada Islam, kerana takutkan bukan Islam jika berpegang kepada Islam kerana politik Islam tidak sama sekali menolak bukan Islam atau tidak sama sekali berlaku tidak adil kepada mereka.
Sejarah telah membuktikan.
Kedua, tarbiyyah pemimpin dan ahli kamu dengan Islam, kerana hanya Islam sahaja yang dapat menyelamatkan mereka daripada politik kotor dengan melompat ini.
Paling mudah, bubar sahaja Bersatu, masuk ke dalam PAS, sebelum Bersatu menjadi Nasib seperti Semangat 46.
Saya tidak kata PAS itu terbaik, kerana PAS juga ada masalah tersendiri, tetapi buat setakat ini, PAS adalah pilihannya.
Sejak penubuhan PAS, sehingga ke hari ini, PAS tetap konsisten.
Ketiga, jika kamu takut untuk menjadi Islam sebagai landasan perjuangan, pastikan kamu ikat atau baiahkan pemimpin kamu supaya mereka ini tidak melompat dengan begitu mudah, seperti yang dilakukan PAS.
Masalah dalaman dan perebutan kuasa dalam Bersatu sedang berulat.
Tidak mustahil akan ada lagi yang melompat.
Keempat, Bersatu tidak boleh terlalu bergantung kepada Muhyiddin Yasin, kerana Muhyidin sudah berusia dan kesihatan Muhyiddin bukan seperti zaman mudanya.
Sudah sampai masa, Bersatu dipimpin oleh orang muda yang ada prinsip dalam perjuangan dan dapat merubah Bersatu (overhaul) dalam mengenali erti perjuangan.
Itu pun belum tentu ada jaminan, selagi tarbiyyah Islami tidak menjadi darah dagingnya.
Kepada PH yang memimpin kerajaan, kamu jangan terlalu bersedap hati, mengambil kesempatan, masalah dalaman dan lompatan Bersatu ini.
Selagi kamu bersama parti ultra kiasu, selagi itulah kamu masih belum selamat dan tidak aman.
Selagi ultra kiasu dengan perjuangan sekular dan Malaysian Malaysianya, selagi itulah kamu akan terus dikejar bayang-bayang, kerana perjuangan ultra kiasu, bertentangan dengan semangat Islam dan Melayu (Bumiputera).
Mohd Ridhuan Tee Abdullah