Menteri ultra kiasu yang bertanggungjawab perkara berkaitan perumahan mahu angkat cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak Warisan UNESCO.
Ini adalah usaha jadikan Kampung Baru Cina warisan kebudayaan negara dan kekalkan legasinya.
Kenapa Menteri ultra kiasu sebegini hanya berfikir soal bangsa sahaja?
Masih tidak belajar iklan sambutan 150 bandar Taiping yang ditulis dalam bahasa Cina, kemudian bila diprotes, terus tukar dalam BM?
Begitu juga pada tahun 2018, ultra kiasu ini juga yang mahukan semua Kampung Baru Cina, Perak, diberikan hak milik kekal atau 999 tahun, bukan 99 tahun.
Kenapa dalam pemikiran ultra kiasu hanya satu bangsa sahaja iatu Cina?
Mulut kata untuk semua, bila tiba tindakan untuk Cina.
Kampung mana yang lebih layak diiktiraf, kampung pribumi atau ‘pendatang’?
Kampung pendatang beriya-iya mahu dicadangkan masuk Unesco, Kampung Melayu, kampung pribumi, tidak perlu masuk Unesco, jadi muzium sahaja, macam Kampung Bharu, Kuala Lumpur?
Menteri ultra kiasu itu berkata kementeriannya sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Terdahulu, pada Jun 2023, Menteri ultra kiasu ini juga telah mencalonkan tujuh Kampung Baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka, dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pada masa sama, beliau juga telah meluluskan peruntukan RM4.02 juta untuk melaksanakan dua puluh dua projek pembangunan Kampung Baru di seluruh Pulau Pinang.
Kampung Baru Cina turut menerima peruntukan pembangunan khusus setiap tahun.
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada Kampung Baru Cina bagi tujuan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan sosial.
Pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO membolehkan kampung baru diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia.
Penempatan itu juga bakal dipelihara dan dilindungi di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.
Sekadar makluman, Kampung Baru Cina diwujudkan ketika zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.
Kawasan hitam dan putih diwujudkan bagi mengekang pengaruh komunis, sedangkan kawasan putih itu sekali pun, iaitu Kampung Baru Cina, masih ada terselindung komunis.
Dalam kata lain, kampung ini masih baharu, bukanlah kampung wujud ratusan tahun, tetapi selepas Perang Dunia Kedua, tahun 1945 ke atas, ketika British masuk balik dan cuba perkenalkan Malayan Union 1946, namun ditentang oleh orang Melayu.
Ketika itu komunis Cina begitu aktif di Tanah Melayu.
Sebab itulah, apabila Malayan Union berjaya dimansuhkan kerana penentangan Melayu, maka untuk mengekang pengaruh komunis, kampung-kampung baharu ini diwujudkan (1948).
Membaca berita sebegini, menjadikan kita, rakyat Malaysia, yang cinta dan sayangkan negara ini, berasa sangat sedih, sudah tentu marah.
Setelah lebih 65 tahun Merdeka, perjuangan bangsa amat menebal.
Kita, yang Islam ini diminta bersifat terbuka, meraikan semua bangsa, ultra kiasu, yang menjadi penentu undi, hanya bercakap soal satu, iaitu satu bangsa.
Jika kita buat sebegitu, kita akan dituduh ekstrem, rasis, t@liban dan banyak lagi.
Tetapi bila mereka buat, itu tidak ekstrem, tidak rasis, malah baik untuk Malaysia.
Teramat malang lagi, Menteri ultra kiasu tersebut, tidak ambil pusing pun atau tidak sentuh langsung, sama ada penduduk kampung Cina mempunyai keupayaan untuk bertutur dalam bahasa Melayu atau berkomunikasi dalam bahasa negara ini.
Sepanjang yang saya tahu, kebolehan mereka untuk bertutur dalam BM berada pada tahap amat menyedihkan.
Kenapa faktor besar seperti ini tidak diambil kira untuk mencalonkan sesuatu kampung di peringkat antarabangsa.
Tidakkah Menteri ultra kiasu ini sedar bahawa selama ini Kampung Baru Cina ini ibarat membina negara dalam negara, seperti mana kemunculan sekolah Cina itu sendiri.
Saya yakin, jika kajian secara akademik dibuat di kampung ini, sebahagian besar mereka tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.
Nampak ultra kiasu lebih mengambil berat soal mengiktiraf Kampung Baru Cina di peringkat antarabangsa.
Selepas itu, mencurah-curah peruntukan akan turun ke kampung Cina.
Tidak mustahil kampung baru ini akan menjadi sebuah bandar moden.
Jangan pergi lebih jauh, buatlah lawatan ke Pulau Ketam, berhampiran Pelabuhan Kelang. Tinjau dan kaji.
Inilah salah satu bentuk hampir seratus peratus kampung Cina.
Jika ada Melayu, hanya penguatkuasa seperti polis, bomba, imigresen dan kastam.
Itupun telah berjaya dikuncikan mulutnya.
Pulau ini sudah seperti pulau komunis.
Hidup sesama mereka, bahasa negara langsung tidak digunakan.
Nasib baiklah ada sebuah sekolah tahfiz swasta mandarin yang baru diwujudkan.
Jika tidak, saya tidak tahu apa akan jadi dengan pulau ini 10 tahun akan datang.
Tidak mustahil, dicadangkan kepada Unesco untuk dijadikan warisan dunia.
Sedangkan warisan negara seperti bahasa Melayu, langsung tidak dimartabatkan di sana.
Inilah bezanya cara Menteri Melayu dan Menteri ultra kiasu Cina buat kerja.
Menteri Melayu bertelagah sesama Melayu, sehinggakan peruntukan tidak diberikan hanya kerana perbezaan politik.
Sedangkan Menteri ultra kiasu Cina, meskipun berbeza politik, mereka tetap melihat kepada kepentingan Cina secara keseluruhan.
Justeru, sudah sampai masanya politik bangang yang merugikan pribumi dihentikan segera.
Ambillah pengajaran cara ultra kiasu berpolitik.
Pengiktirafan Unesco ini bukan perkara kecil.
Selepas mendapat pengiktirafan nanti, lihat betapa mewahnya kampung ini nanti dengan peruntukan datang mencurah-curah. Hasilnya nanti apa?
Proses pencinaan semakin kukuh, proses memalaysiakan makin pudar.
Pelik sungguh politik Melayu ini.
Tidak pernah mahu mengambil pengajaran.
Saya tidak dapat lupakan apabila kerajaan Melaka mencadangkan nama Bukit St Paul dikembalikan namanya kepada nama asal Bukit Melaka.
Seluruh ultra kiasu berganding bahu menentang penukaran nama kepada Bukit Melaka, sedangkan mereka tahu itulah nama asal pribumi.
Ultra kiasu rela nama St Paul dikekalkan daripada nama Bukit Melaka.
Wahai pemimpin Melayu, saya ini Cina, sepatutnya saya tidak perlu ambil pusingpun mengenai cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai khazanah Unesco.
Tetapi, peliknya, saya tetap bersuara. Kenapa?
Jawapannya, saya sudah masak dengan perancangan licik dan busuk ultra kiasu.
Lebih-lebih lagi apabila mereka dapat memerintah, pusat dan negeri.
Jika kamu, wahai Melayu, tidak berhati-hati, terus bergaduh sesama sendiri, seperti musuh, kamu tunggulah akibatnya nanti.
Ini bukan kenyataan rasis, kerana saya sendiri berbangsa Cina. Ini hanya peringatan sahaja.
Tidak mengapalah kamu mahu berbaik dan bercium mulut dengan ultra kiasu, tetapi jangan sampai maruah agama, bangsa dan negara tergadai.
Akhirnya, sebagai ingatan, terdapat beberapa jenis kampung baru berasaskan bangsa, Melayu, Cina dan India.
Kesemua kampung ini tidak boleh disamakan, kerana sejarah dan kedudukan tidak sama.
Kampung Baru Melayu, kampung pribumi.
Kampung Baru Cina (India) adalah kampung ‘pendatang’ dari segi sejarah.
Nama kampung baru sama, tetapi tidak serupa sejarah dan kedudukan bangsanya.
Siapa yang lebih antara ketiga-tiga kampung tersebut lebih layak untuk menjadi warisan UNESCO.
Tepuk dada, tanya iman.
Memberikan keadilan kepada kesemua jenis kampung bukan bermakna sama rata dan sama rasa, tetapi adalah dengan memberikan hak kepada yang berhak.
Ridhuan Tee Abdullah