Antara Kes Arwah Adib Dan Mendiang TBH

Antara Kes Arwah Adib Dan Mendiang TBH

Masih ingat lagi artikel (2009) dan buku (2010) saya bertajuk “nasib Melayu di bumi Melayu” yang tular, terbitan Utusan Malaysia (Melayu) ketika itu.

Bermula dari situlah, saya aktif menulis saban minggu hingga hari ini. Jika sudah lupa, mohon baca semula.

Isu semasa ketika itu adalah berkaitan kematian mendiang TBH semasa tahanan dan soalsiasat oleh SPRM.

Saya meminta supaya siasatan secara adil dibuat ke atas kematian mendiang.

Siasatan demi siasatan, termasuk inkues telah dijalankan, kerana ultra kiasu DAP ketika itu, selaku pembangkang, amat tidak berpuas hati dan tidak menerima keputusan siasatan dan inkues.

Keputusannya adalah seperti umum telah ketahui, tidak perlu diulas lagi.

Hari ini, desakan dan suara itu bergema lagi ketika PH BN memerintah.

Mereka tetap tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat ketika pemerintahan BN.

Isunya kini BN sudah bersama PH.

Ketika kejadian, PH (pembangkang) menjadi musuh kepada BN (memerintah).

Apakah BN PH, terutama DAP, begitu berani untuk membuka kes ini kembali?

Apakah BN akan menuruti kehendak DAP? Menarik bukan? Sama-sama kita nantikan.

Lebih menarik, PM sanggup bertemu dengan keluarga mendiang 1 Ogos ini.

Ini tidak termasuk lagi pemimpin ultra kiasu yang berada di belakang kes ini.

Persoalannya, kenapa ultra kiasu begitu bersungguh dalam kes ini, tetapi langsung tidak menunjukkan kesungguhan dalam kes yang hampir sama, iaitu kes arwah Adib, yang terbunuh dalam rusuhan kuil November 2018 di Subang Jaya?

Sangat tragis. Sehingga ke hari ini, kuil tersebut masih tersergam, tanpa boleh disentuh langsung, meskipun tapak baharu telah disediakan, dan mereka mendapat kedua-dua tempat sembahan, tempat lama terus kekal dan membesar, tempat baharu pun dapat, malah lebih besar dari yang lama.

Pembelaan ke atas arwah Adib bagaimana?

Sebagai rakyat Malaysia, kita amat mengharapkan, jika kes TBH ini dibuka semula, bermakna, sekali lagi wang rakyat akan digunakan.

Pada masa sama, kita mahukan kes arwah Adib pun turut dibuka sama.

Adalah suatu yang tidak adil, jika kerajaan begitu melayan kes TBH, tetapi tidak menunjukkan kesungguhan dalam kes arwah Adib.

Kedua-dua kes melibat kehilangan nyawa, menuntut keadilan, cuma berbeza dari segi cara ‘pembunuhan’ tersebut dilakukan.

Satu ketika dalam pengawasan tahanan, satu lagi dalam rusuhan. Dua-dua tragis.

Mana lebih tragis yang lebih perlukan kepada pembelaan? Sama-sama kita fikir…

Oleh kerana lanskap politik negara sudah berubah, musuh sudah menjadi sahabat, kita mahu lihat sejauh mana keberanian BN dan PH, terutama DAP dalam menguruskan kes ini.

Apakah DAP begitu berani seperti sebelumnya atau akan cair dipuncak kuasa?

Paling penting keadilan perlu diberikan kepada kedua-dua kes ini.

Dr. Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis