50 Peratus Masalah Hakisan Pantai Sudah Diselesaikan Oleh Rakyat Terengganu Sendiri

50 Peratus Masalah Hakisan Pantai Sudah Diselesaikan Oleh Rakyat Terengganu Sendiri

Agak menyedihkan melihat pantai terutamanya di sepanjang Tok Jembal di belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) perlahan-lahan dimakan ombak yang besar pada musim tengkujuh diakhir dan awal tahun.

Ia memanjang hingga ke Mengabang Telipot, Pengkalan Maras, Wakaf Tengah dan juga Kampung Tanjung, Batu Rakit.

Selain daripada harta persendirian seperti rumah dan juga kedai-kedai yang ada di situ, harta milik kerajaan juga banyak yang turut musnah.

Ada sebahagian bangunan milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga terancam oleh hakisan ini.

Ombak akhir tahun Terengganu yang dibawa oleh angin kencang, tanpa jemu semenjak berkurun lamanya, menjadi musuh utama pantai yang indah itu.

Pada November 1999, waktu Kempen PRU-10 sedang galak berlangsung, maka telah diadakan acara pecah tanah bagi Projek Pembesaran LTSM, konon dibuat untuk memenuhi piawai antarbangsa sebagai lapangan terbang antarabangsa dan tentulah umpan PRU.

Namun, ianya terhenti apabila PAS berjaya mengambilalih pemerintahan Terengganu pada 29 November 1999.

Projek pembesaran LTSM ini kembali digerakkan selepas PRU-11, apabila BN berjaya mengambil semula Terengganu disamping berbagai lagi projek gila untuk membanggakan diri di muara Sungai Terengganu yang berjumlah lebih RM1 bilion, habis dibenamkan di dasar muka kuala.

Namun pembesaran ini hanya berjaya direalisasikan pada 2008 zaman Ahmad Said yang ketika itu juga ada ura-ura mahu membina lapangan terbang di Kuala Berang bagi menaikkan projek Kenyirnya.

Projek yang gagal

Sebenarnya, ada kritikan jelas daripada pakar-pakar alam sekitar dengan mengatakan kesan buruk alam sekitar akan terjadi di perkampungan berdekatan akibat kerja-kerja menambak laut itu dibuat.

Dua pakar alam sekitar dari UMT, Dr. Fadhli Muhammad, Ketua Penyelidik Bahagian Hakisan (CDRS) UMT dan seorang lagi, Professor Madya Dr. Edlic Sathiamurthy.

Kedua-duanya dengan terang menyebut hakisan ini adalah hasil daripada projek pembesaran itu.

Dr Fadhli dalam satu laporan akhbar pada 2014, dengan berani menyatakan dalam tempoh 15 tahun, berkemungkinan kampung-kampung di pesisir pantai Tok Jembal itu akan hilang.

Malah bangunan makmal UMT bernilai RM500 ribu juga musnah.

Manakala Dr Idelic dalam pembentangan salah satu tajuk kertas kerjanya Impact of Development on Coastal Erosion di International Workshop on River Sediments, UKM pada November 2013, berpegang teguh dengan kajiannya bahawa projek itu telah memberi impak yang besar kepada hakisan tersebut.

Akan tetapi, kebanggaan adalah keutamaan bagi melaksanakan sesuatu projek, bukan kepentingan rakyat. Projek tetap diteruskan.

Ternyata ia benar terjadi. Kesengsaraan dicampakkan kepada rakyat miskin terutama nelayan di sekitar Tok Jembal, Mengabang Telipot dan juga Batu Rakit.

Lepas buat projek membazir, buat pula projek nak baiki

Selain itu, wang rakyat diperlukan lagi untuk membuat projek pemecah ombak di kawasan sekitar yang mencecah ratusan juta lagi untuk menahan hakisan yang seolah-olah dibuat oleh manusia.

Manakala LTSM yang dibuat untuk memenuhi piawaian antarabangsa itu, tidak diketahui hanya berapa kali pintu antarabangsa itu dibuka bagi operasi menyambut pesawat dari luar negara.

Ia banyak digunakan dalam penerbangan jemaah haji pada musim haji. Mungkin dalam 30 hari sahaja setahun?

Yang orang tidak tahu ialah Kerajaan Negeri terpaksa membelanjakan jutaan ringgit lagi bagi kos operasi itu yang mana lebih murah jika jemaah terbang terus ke KLIA dan diuruskan oleh Tabung Haji.

Mengapa ambil tugas orang dengan kos menjadi semakin mahal dan bayaran itu kita yang tanggung? Dan penumpang pula bukan hanya dari Terengganu.

Jangankan penerbangan antarabangsa, perkhidmatan dalam negeri juga tidak seberapa lakunya.

Laluan terus ke Kota Kinabalu, ke Johor Baru, Pulau Pinang, Sibu dibatalkan oleh operator kerana kerugian, tidak mendapat sambutan.

Hakikat ini sudah saya nyatakan dahulu berkenaan posisi LTSM ini kurang sesuai menarik ramai penumpang kerana Terengganu negerinya memanjang.

Orang Besut dan sebahagian Setiu lebih suka ke Kota Bharu kerana lebih dekat.

Penduduk Kemaman dan sebahagian Dungun akan ke Kuantan atau tidak kisah jika memandu terus ke Kuala Lumpur kerana jarak dan kemudahan LPT2 yang ada.

Hanya tinggal rakyat di Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Berang sahaja untuk menggunakan perkhidmatan kapal terbang ini.

Lapangan terbang memang sangat penting, tidak dinafikan.

Tetapi pembesarannya untuk antarabangsa adalah satu pembaziran yang sangat jelas dan nyata.

Sudahlah tidak digunakan sepenuhnya, kemudian cari lagi wang lain untuk membuat benteng pemecah ombak yang sebenarnya bukan masalah besar sebelum pembesaran lapangan terbang ini.

Apabila ketam mengajar orang

Dengan semua projek pembesaran LTSM dan benteng itu menggunakan dana dari Kerajaan Pusat, tiba-tiba muncul idea yang sangat kurang cerdik supaya wang Ehsan digunakan pula untuk pembaikan akibat hakisan ini.

Tahi yang dia tinggal, kita yang kena basuh, kemudian bagi cadangan merapu supaya najis itu dilumur-lumurkan ke merata tempat.

Dia cuba memberi idea paling tidak cerdik sebagaimana pernah mereka gunakan wang royalti bagi pembinaan LPT2 yang sepatutnya biaya datang dari Kerajaan Pusat, akhirnya mengambil masa lebih 10 tahun untuk disiapkan dan dengan kos naik sekali ganda.

Wang itu, sampai hari ini tidak dibayar sepenuhnya.

Oleh itu jelaslah dengan undi rakyat Terengganu yang membuang pemimpin-pemimpin yang hanya tahu menghabiskan wang rakyat ini, ternyata 50 peratus masalah hakisan ini berjaya diselesaikan.

Hanya 50 peratus lagi menunggu peruntukan pusat yang sepatutnya Terengganu dapat dan perancangan terbaik daripada MB dan barisan Exco Terengganu untuk memberikan keputusan terbaik kepada rakyat.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis