Bagi penganut Islam, beraqidah (beriman) hanya kepada Allah sahaja, Tuhan Yang Maha Esa dan tiada Tuhan selain daripada-Nya.
Berkonsepkan tiada paksaan terhadap penganut semua agama yang lain, maka mereka bebas untuk beramal dengan ajaran agama masing-masing, walaupun dalam Islam diwajibkan berdakwah untuk menyelamatkan manusia dengan Islam, kerana iman itu mewajibkan adanya keikhlasan.
Inilah konsep beragama yang diperintahkan oleh Allah terhadap seluruh manusia yang bernaluri percaya kepada adanya Allah sebagai Pencipta alam. Firman Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٢٥ لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡغَنِيُّ ٱلۡحَمِيدُ ٢٦
“Dan sesungguhnya, jika kamu tanyakan kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’. Katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah’; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar). (25)
“Kepunyaan Allah jua segala apa yang ada di langit dan bumi. Sesungguhnya, Allah Dialah Tuhan Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (26)” [Surah Luqman: 25-26]
Ayat yang sama di atas diulang beberapa kali dalam surah yang lain.
Fitrah (naluri) manusia akan mengaku Allah sahaja Tuhan apabila dia terdesak berada dalam bahaya, walaupun oleh seorang yang menafikan adanya Allah. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي يُسَيِّرُكُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمۡ فِي ٱلۡفُلۡكِ وَجَرَيۡنَ بِهِم بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ وَفَرِحُواْ بِهَا جَآءَتۡهَا رِيحٌ عَاصِفٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡمَوۡجُ مِن كُلِّ مَكَانٖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُمۡ أُحِيطَ بِهِمۡ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَئِنۡ أَنجَيۡتَنَا مِنۡ هَٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ ٢٢
“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, dan (berlayar) di lautan. Sehinggakan, apabila kamu berada di dalam sebuah bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah (sahaja) dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata), ‘Sesungguhnya, jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami akan termasuk kalangan orang-orang yang bersyukur’.” [Surah Yunus: 22]
Namun, selepas sepuluh abad kewafatan Adam AS terdapat kalangan manusia melantik tuhan-tuhan selain daripada Allah.
Mereka dikira telah melakukan dosa yang paling besar terhadap Allah yang dinamakan perbuatan syirik (mengadakan Tuhan selain Allah), menjadi sebab berlaku segala kezaliman dan kerosakan dalam kehidupan manusia serta alam sekelilingnya.
Hal ini demikian kerana, telah merosakkan peraturan dalam perjalanan alam yang ditadbir oleh Allah, termasuk yang diamanahkan oleh-Nya kepada manusia untuk ditadbir.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢
“Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa. (21)
“Dialah Tuhan yang telah menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap. Dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Maka, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah itu Maha Esa). (22) [Surah al-Baqarah: 21-22]
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَيَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ ١٣ وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ ١٤ وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٥
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberi pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan-Nya (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar’. (13)
“Dan Kami memerintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam tempoh masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepada Aku sahajalah kamu kembali. (14)
“Dan jika kedua-duanya memaksa kamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tiada pengetahuanmu tentangnya, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan bergaullah dengan kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Ku sahajalah kamu kembali, maka Aku beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. (15)” [Surah Luqman: 13-15]
Nasihat yang disampaikan Luqman sebagai seorang yang bijaksana disebutkan namanya oleh Allah dalam al-Quran, bahawa jasa Allah dan kasih sayang-Nya terhadap manusia itu lebih besar daripada ibu bapa yang melahirkan mereka.
Allah Pencipta alam yang Maha Mengetahui, Maha Memberi Rahmat, Maha Adil dan Maha Bijaksana wajib disyukuri dengan beribadat kepada-Nya sahaja oleh seluruh makhluk, termasuk kalangan manusia dengan cara menyerah diri yang dinamakan Islam. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣
“Maka, adakah mereka mencari agama yang lain selain agama Allah (Islam), padahal kepada-Nya jua menyerahkan diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik secara sukarela mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]
Allah menguji manusia yang dikurniakan roh, akal, dan jasad, serta hidup secara bermasyarakat bagi mentadbir urusan dunia agar mereka beribadat dan menegakkan amanah dengan melaksanakan hukum Allah yang adil kepada semua.
Selain itu, Allah melantik para nabi dan rasul daripada kalangan manusia untuk menyampaikan petunjuk-Nya yang dinamakan Islam bersamanya kitab-kitab yang diwahyukan dan kebijaksanaan.
Termasuklah sifat mulia yang mengawal para nabi dan rasul itu daripada melakukan penyelewengan kerana memimpin manusia dan menjadi teladan kepada mereka dalam semua perkara.
Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣
“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Petunjuk adalah termasuk dalam perkara berkait kepercayaan kepada Allah, perkara yang nyata dan ghaib, perkara ibadat hanya kepada Allah sahaja dan seluruh perkara kehidupan dunia, diri, keluarga, bermasyarakat dan hubungan dengan makhluk yang lain mengikut sempadan kejadian dan kemampuannya.
Hal ini menjadi satu kelebihan kepada manusia sekiranya mereka mengikutinya, sebaliknya akan merosakkan kehidupan mereka sekiranya mereka melanggar sempadan tersebut.
Firman Allah SWT:
۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠
“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan kepada mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami melebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Allah mengurniakan kepada manusia rezeki yang mencukupi bagi jasad, roh dan akal.
Manusia itu lebih hina daripada binatang, sekiranya mereka menyalahgunakan setiap pancaindera yang menjadi kemudahan dan kurniaan Allah ini. Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Allah mentadbir semua makhluk-Nya dengan sempadan masing-masing, termasuk manusia, mengikut fitrah atau naluri (sifat semula jadi).
Sekiranya mereka melanggarnya, maka ia boleh merosakkan manusia itu sendiri dan alam sekelilingnya. Firman Allah SWT:
وَإِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحۡمَٰنُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٣ إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ ١٦٤
“Dan Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (163)
“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa-apa yang berguna bagi manusia, dan apa-apa yang Allah turunkan dari langit berupa air — lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, serta pengisaran angin dan awan yang dikendalikan di antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (164)” [Surah al-Baqarah: 163–164]
Firman Allah SWT:
لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِي لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِۚ وَكُلّٞ فِي فَلَكٖ يَسۡبَحُونَ ٤٠
“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan; dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing itu beredar pada garis edarnya.” [Surah Yasin: 40]
Dan juga firman Allah SWT:
إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ يُغۡشِي ٱلَّيۡلَ ٱلنَّهَارَ يَطۡلُبُهُۥ حَثِيثٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتِۢ بِأَمۡرِهِۦٓۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٥٤
“Sesungguhnya, Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah itu hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.” [Surah al-A‘raf: 54]
Maka, makhluk manusia juga ada sempadannya yang telah ditetapkan, dinamakan sempadan itu ketetapan Allah yang haram dilanggarnya kerana kelak akan membawa kebinasaan dalam kehidupan seluruh manusia dan juga membawa kemurkaan Allah yang ditetapkan hukumannya di alam dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:
… تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٢٢٩
“…Itulah hukum-hukum Allah (sempadan-Nya), maka janganlah kamu melanggarnya. Sesiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [Surah al-Baqarah: 229]
Semua perkara yang diharamkan adalah sempadan yang boleh merosakkan manusia, keluarga, masyarakat dan alam sekitarnya. Firman Allah SWT:
۞ قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمۡ عَلَيۡكُمۡۖ أَلَّا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـٔٗاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗاۖ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُم مِّنۡ إِمۡلَٰقٖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ وَإِيَّاهُمۡۖ وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ ١٥١
“Katakanlah, ‘Marilah aku bacakan apa-apa yang diharamkan ke atas kamu oleh Tuhanmu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua-dua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan — Kami akan memberikan rezeki kepadamu dan kepada mereka —, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.’ Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahaminya.” [Surah al-An‘am: 151]
Untuk menjaga semua rukun hidup bagi manusia; iaitu agama, nyawa, akal, maruah, keluarga dan harta, maka wajib berpandukan agama Allah.
Bagi menjaga nyawa, maka diharamkan perbuatan membunuh, manakala bagi menjaga akal pula diharamkan meminum arak.
Adapun bagi menjaga diri dan maruahnya, maka diharamkan berzina, berliwat, mendedahkan aurat dan lain-lain.
Dan bagi menjaga perjalanan harta, maka diharamkan perbuatan mencuri, merompak, menipu, memberi dan menerima rasuah dan lain-lain, begitulah seterusnya.
Kajian saintifik membuktikan suatu kenyataan bahawa semua perkara yang diharamkan telah mendatangkan kemudaratan dan kemusnahan manusia dan alam seluruhnya.
Dalam perkara yang dapat dicapai oleh kemampuan akal, pengalaman dan kajian diserahkan kepada kebijaksanaan manusia dengan dasar umum yang telah ditetapkan oleh syariat melainkan makhluk yang tidak berakal, maka diampunkannya.
Dalam perkara di luar kemampuan akal, ditetapkan nasnya (sempadan halal dan haram). Semuanya terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩ هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأۡتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِي ظُلَلٖ مِّنَ ٱلۡغَمَامِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَقُضِيَ ٱلۡأَمۡرُۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ ٢١٠
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208)
“Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209)
“Tiada yang mereka nanti-nantikan melainkan datangnya Allah dan malaikat (pada Hari Kiamat) dalam naungan awan, dan diputuskanlah perkaranya. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan. (210)” [Surah al-Baqarah: 208-210]
Allah memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih Islam sebagai petunjuknya tanpa paksaan, disertakan amaran dalam bentuk hukuman dunia dan hukuman akhirat. Firman Allah SWT:
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجۡرَ مَنۡ أَحۡسَنَ عَمَلًا ٣٠
“Dan katakanlah, ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu; maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir); maka biarlah dia kafir’. Sesungguhnya, Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih dan menghanguskan muka mereka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelik. (29)
“Sesungguhnya, mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya yang terbaik. (30)” [Surah al-Kahf: 29-30]
Kini, kita menyaksikan manusia sedang memusnahkan kehidupan dunia dengan kemungkaran, lantas mereka dihukum dengan bala bencana sebelum alam akhirat. Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka itu, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Di Malaysia, kini ada pihak yang berani mencabar kedudukan Islam yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bahkan, ada pihak yang berani merempuh sempadan Allah dengan sombong dan megah, menjadi bala tentera Iblis yang sombong serta tidak menerima hakikat bahawa Allah telah menciptakan manusia dengan tugasnya yang mulia bersama Islam, lalu melampaui sempadan Allah yang merosakkan diri mereka sendiri dan alam sekitarnya.
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk dalam golongan orang-orang yang kafir (derhaka terhadap Allah).” [Surah al-Baqarah: 34]
Dan firman Allah SWT:
أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣
“Maka, pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya (disesatkannya) kerana diketahui-Nya (bahawa mereka itu tetap kufur ingkar) dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka, siapakah lagi yang akan memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka, mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” [Surah al-Jathiyah: 23]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS