Semalam ada satu berita dari Malaysiakini yang telah mengambil pandangan dari seorang yang digelar sebagai ‘pakar perlembagaan’ Malaysia oleh pemberita.
Beliau, Zulqarnain Lokman mendakwa seorang wakil Rakyat PAS yang juga Adun Sura, Terengganu, telah mengeluarkan kenyataan yang menghasut rakyat, mengurangkan kepercayaan kepada Agong.
Kata orang-orang muda, ‘petik’ nama Agong pada ghalibnya akan memberikan faktor ‘wow’ dalam pemberitaan.
Bak kata Naib Presiden PAS, Umno menggunakan jentera kerajaan dalam PRK, bukanlah satu berita, tetapi jika ditulis Umno tidak menggunakan jentera kerajaan, baharulah ia dianggap berita sensasi.
Sebagaimana yang kita maklum, cara berpolitik kuno Umno, sedang dipraktikkan dengan begitu baik oleh PH.
Ugut mengugut, saman menyaman, menggunakan kedudukan, menipu, menyembunyikan kebenaran.
Ini semua adalah kerana mahu mengekalkan kuasa.
Amat pedih dahulu apabila hanya bertahan 22 bulan, ia tidak boleh berulang.
Apa yang ditulis oleh Adun Sura, YB Dr Tengku Muhammad Fahkruddin Tengku Muhammad Fauzi itu sejelasnya hanyalah berkisar tentang peringatan kepada rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang menjadi tuan di tanah leluhur ini agar menjaga hak bangsa.
Apa yang berlaku di Singapura adalah kerana penipuan oleh beberapa ahli politik bangsa asing di sana yang menyebabkan orang Melayu Singapura sekarang sudah mulai menyatakan kekecewaan mereka kerana ditipu.
Bahkan ada Ahli Parlimen berbangsa India berucap dalam Parlimen Singapura mendedahkan ketidakadilan bangsa lain di sana.
Semua ini jika kita teliti, sudah tersebar dengan meluas di alam maya.
Kecualilah ‘pakar perlembagaan’ itu tidak menyedari kempen-kempen di Singapura, sudah mulai memasukkan isu-isu ketidaksamaan yang diperolehi berdasarkan bangsa.
Atau pandangan peguam itu kerana ketakutan bahawa orang Melayu akan sedar dan beliau akan jatuh lagi?
Tiada hasutan yang ditulis oleh Dr Muhammad Fakhruddin, tetapi lamunan si ‘pakar perlembagaan’ itu jauh melayang, mungkin memikirkan nasib ‘tuan’ nya yang jika kalah, akan mengalami keadaan yang lebih sukar untuk meraih kepercayaan bangsa Melayu.
Jadi terpaksalah beliau mengugut menggunakan nama Agong dalam pandangannya.
Namun mulut ‘pakar perlembagaan’ ini terkunci kemas apabila pernah Azalina Othman dalam ucapan terbuka beliau di hadapan ahli Umno yang mendesak agar peguam negara dilantik dari kalangan orang yang rapat dengan Umno.
Di sini, mana kuasa Agong? Atau ia bermaksud Agong hanya boneka yang menerima perlantikan sebegitu?
Apa pula komen ‘pakar perlembangaan’ ini apabila Ketua Hakim Negara Tun Maimun meminta agar peranan PM dihapuskan dalam perlantikan hakim?
Bukankah beliau yang mengatakan bahawa perlantikan jawatan-jawatan penting itu adalah di bawah kuasa Agong?
Berbeza dengan Singapura? Bagaimana pula dengan konsep pemisahan kuasa, jika PM campurtangan?
Dan apakah yang bermain dalam fikiran ‘pakar perlembagaan’ ini apabila Titah Adendum kepada DS Najib Razak yang disembunyikan oleh tangan-tangan ghaib?
Tiadakah kenyataan bahawa perbuatan menyembunyikan itu sebagai satu penghinaan yang nyata kepada Agong yang mana baginda sendiri mengakui ia wujud?
Kita tidak tahu sepakar mana beliau ini dalam perlembagaan. Harapnya bukan ‘pakar’ belit.
Namun ia mengingatkan kita kepada seorang dari Perak yang pernah juga digelar ‘pakar perlembagaan’ oleh wartawan yang kemudiannya kalah kepada seorang lepasan SPM dalam perang politik di sana.
Sudah diam sekarang ‘pakar’ itu kerana akhirnya terbukti, beliau tidak boleh dipakai.
Berbeza dengan YB Dr Muhammad Fakhruddin yang mempunyai dua ijazah kedoktoran.
Satu bagi doktor perubatan dan satu lagi ijazah doktor falsafah dalam bidang Kesihatan Awam dari USM.
Baru puashati jika dipanggil beliau pakar dalam bidang perubatan.
Mohd Nasir Abdullah