Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza pada Selasa, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani minggu lalu.
Menurut pegawai kesihatan tempatan, enam orang terbunuh di Bandar Gaza manakala seorang lagi di Khan Younis.
Di kawasan kejiranan timur Shujaiya, Bandar Gaza, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam satu serangan udara ketika mereka sedang memeriksa rumah masing-masing, menurut Jabatan Pertahanan Awam Palestin.
Sementara itu, satu serangan dron di bandar al-Fukhari, timur Khan Younis, mengorbankan seorang mangsa.
Serangan-serangan ini dianggap satu pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada hari Jumaat lalu, yang secara jelas menyatakan bahawa semua operasi ketenteraan, termasuk pengeboman udara dan artileri serta operasi penyasaran, hendaklah digantung.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan di Shujaiya, dengan mendakwa ia menyasarkan individu yang telah menyeberangi sempadan kawasan penempatan tentera yang dipersetujui selepas diberi tembakan amaran.
Namun, tentera Israel tidak memberikan sebarang komen berhubung serangan dron di Khan Younis.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata.
Tindakan tentera Israel yang membunuh beberapa penduduk Gaza pagi ini melalui pengeboman dan tembakan adalah pelanggaran nyata terhadap gencatan senjata, kata Qassem dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa pihak antarabangsa supaya mempertanggungjawabkan Israel serta memastikan rejim itu mematuhi komitmen yang dibuat kepada para pengantara berhubung penghentian permusuhan di Semenanjung Gaza.
Dakwaan Kelewatan Penyerahan Mayat Warga Israel
Pegawai Israel melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Hamas yang hanya menyerahkan empat mayat tawanan Israel di Gaza pada Isnin, dengan menyifatkan jumlah itu tidak mencukupi berbanding apa yang telah dipersetujui sebelum ini.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyifatkan perkara tersebut sebagai kegagalan memenuhi komitmen dan memberi amaran bahawa sebarang kelewatan akan dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap perjanjian dan akan mendapat tindak balas sewajarnya.
Pemulangan mayat-mayat itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang lebih luas yang dimediasi di Mesir minggu lalu, yang bertujuan untuk menamatkan perang di Gaza, melonggarkan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan, serta memudahkan pengunduran tentera Israel dari kawasan bandar di Gaza.
Setakat ini, Hamas telah menyerahkan empat mayat, manakala operasi mencari masih diteruskan bagi mengesan 24 lagi mayat warga Israel.
Semua tawanan hidup telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin.
Menurut syarat gencatan senjata, Hamas diwajibkan menyerahkan mayat-mayat tebusan yang telah meninggal dunia di bawah kawalannya atau di bawah kawalan fraksi Palestin lain dalam tempoh 72 jam selepas gencatan kuasa berkuat kuasa, atau sebaik sahaja ia dapat mengesannya.
Sebuah jawatankuasa antarabangsa kini sedang membantu usaha mencari dan mengeluarkan mayat-mayat yang masih belum dijumpai.
Sebagai timbal balas, Israel dijangka menyerahkan semula mayat-mayat rakyat Palestin yang terbunuh dan masih ditahan oleh rejim tersebut.
