Fitnah Kepada Adun Pengkalan Berangan

Fitnah Kepada Adun Pengkalan Berangan

Sehari dua ini, kami di Terengganu, telah dihidangkan dengan kisah-kisah fitnah.

Agak tersusun cerita yang dibuat, namun fitnah itu ibarat tahi yang amat busuk.

Tutuplah macamana pun, baunya tetap menusuk ke hidung.

Ada dua cerita, satu di Paka dan satu lagi di Pengkalan Berangan.

Saya tidak berminat dengan cerita di Paka kerana ia sudah dijawab dengan jelas oleh Dr Azman, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa berkenaan bagaimana mahu memohon tanah kerajaan.

Ada isu lain berlaku di Merchang.

Saya agak tertarik dengan isu ini.

Adun Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong telah dituduh menipu nelayan-nelayan di Kuala Merchang.

Kata mereka dalam satu video yang telah disiarkan di media sosial, janji YB itu tinggal janji.

Ada yang mendakwa orang tua mereka telah mati kerana menunggu janji, maka janganlah pula nanti orang muda ini pula yang mati menunggu janji.

Ada juga yang mengatakan sama sahaja yang dulu dan sekarang, menipu.

Bagi yang tidak mengikuti, isu berkenaan mendalamkan muara Sungai Merchang telah lama menjadi sebutan nelayan di Merchang.

Maka antara janji-janji PAS ketika berkempen ialah mahu menyelesaikan masalah muara cetek ini.

Apabila menang, MB telah datang melihat sendiri permasalahan yang timbul itu.

Dan MB berjanji akan melakukan yang terbaik.

Oleh kerana projek pendalaman muara ini diserahkan kepada Kerajaan Pusat, ia memerlukan kajian tentang alam sekitar, maka projek ini tidaklah akan menjadi dalam sekelip mata.

Rupanya suatu fitnah dilihat cuba dilemparkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka ‘Gelombang Ummah – Chamek Sokmo’.

Mereka langsung tidak bertanyakan kepada ADUN Pengkalan Berangan tentang ‘status quo’ projek ini.

Mereka hanya menemuramah nelayan-nelayan yang tinggal di situ.

Sepatutnya jika mereka wartawan yang profesional, mereka akan mendapatkan data atau penerangan dari pihak yang menuduh dan dituduh, sebelum menyiarkannya.

Itulah sikap yang betul.

Itupun jika mereka berniat baik.

Tetapi jika berniat lain, kita memahami kaedah pemberitaan yang digunakan.

Pada Sidang DUN Terengganu bertarikh 10 Ogos 2020, ADUN Pengkalan Berangan telah pun menanyakan Kerajaan Terengganu berkenaan status projek ini.

Soalan beliau telah dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, YB Dr Mamad Puteh sebanyak enam halaman.

Saya sertakan jawapan-jawapan itu untuk semua menilainya.

Kerja-kerja mengorek pasir adalah sehingga 21 Oktober 2020 dan ini adalah rancangan jangka pendek.

Pasir-pasir yang dikorek itu juga telah memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri.

Manakala bagi rancangan jangka panjang pula, tender dibuka pada Oktober 2020 bagi rekabentuk terperinci oleh JPS.

Jadi dengan bukti yang diberikan iaitu soalan yang telah dikemukakan oleh Ustaz Sulaiman Sulong, ADUN Pengkalan Berangan di Sidang DUN Ogos lalu, khusus berkenaan projek mendalamkan muara Sungai Merchang, menjelaskan isu ini adalah dekat dengan Ustaz Sulaiman.

Beliau tidak berbohong atau menyembunyikan sesuatu.

Jelas dan nyata, cubaan fitnah ini tidak menjadi.

Tiada apa yang elok tentang fitnah, sedang kita boleh mencari dan melihat kebenaran di hadapan mata.

Mungkin wartawan itu ingat kerja mengorek muara sungai semudah mengorek hidung.

Hanya perlukan jari sahaja.

Entahlah.

Saya kasihan melihat nasib nelayan yang menghadapi kesukaran keluar ke laut, yang mungkin sedang marah, terpaksa menolak bot-bot mereka kemudian dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk sama-sama menabur fitnah.

Apa dosa nelayan-nelayan itu, lalu diheret sama ke jalan dosa?

Mungkinkah ada pihak yang cuba merosakkan hubungan rakyat dengan wakil rakyat mereka?

Mohd Nasir Abdullah

Dalam Negeri Terengganu