Siri 7 (7 Muharram 1442)
Perhimpunan para Sahabat Muhajirin dan Ansar di Saqifah Bani Saidah sebaik sahaja kewafatan Nabi Muhammad SAW adalah bertujuan untuk melantik pengganti Nabi SAW bagi memimpin umat dan menjaga agama.
Peristiwa di Saqifah Bani Saidah itu amat menarik untuk diamati kerana terjadi beberapa perdebatan dan ikhtilaf yang akhirnya berjaya diselesaikan apabila mereka bersepakat menyerahkan hak kepemimpinan kepada kaum Muhajirin dan melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah nabi.
Sebenarnya, perdebatan tentang isu kepemimpinan umat ini telah menjadikan ilmu pemikiran politik sebagai ilmu yang pertama berkembang dalam sejarah Islam, setelah berakhirnya zaman penurunan wahyu.
Pandangan-pandangan liar yang menganggap politik bukan sebahagian daripada agama adalah pandangan yang tidak memahami proses politik yang berlaku di Saqifah Bani Saidah ini.
Hari ini, begitu banyak penganut sekular yang memisahkan politik dari agama, bahkan menganggap politik boleh mengotorkan agama.
Sedangkan para Sahabat yang utama dari kalangan Muhajirin dan Ansar, iaitu kelompok yang paling memahami Islam dan mempelajari Islam secara langsung dari Nabi SAW telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi tentang kedudukan kepemimpinan, kenegaraan dan politik dalam Islam.
Bahkan, para Sahabat yang utama telah menjadi ahli-ahli politik yang masyhur sesudah zaman kenabian.
Hatta, Abdul Rahman bin Auf yang lebih masyhur dalam dunia perniagaan, juga tercalon dalam senarai bakal khalifah.
Pemikiran Islam Terbentuk Kerana Peristiwa Politik
Pergolakan, persaingan dan krisis memang mencetuskan pemikiran dan pergerakan.
Dalam sejarah kekhalifahan Islam, kalau kita mengambil zaman Khulafa’ ar-Rasyidin sahaja pun, kita dapat melihat bagaimana pemikiran politik Islam telah berkembang sehingga mengatasi perkembangan ilmu-ilmu lain, disebabkan oleh krisis politik yang berlaku.
Kita boleh mengambil beberapa contoh, dan membandingkan dengan ilmu-ilmu teras Islam seperti usul fiqh, ulum hadis, tafsir al-Quran dan lain-lain yang muncul lebih kemudian.
Sebagai contoh untuk pemerhatian, kita boleh lihat bagaimana peristiwa-peristiwa politik membentuk pemikiran Islam.
I. Perlantikan khalifah di Saqifah Bani Saidah.
Peristiwa ini adalah melibatkan Sahabat yang utama dari kaum Muhajirin dan Ansar.
Kaum Ansar berhujah berdasarkan peranan mereka membantu Islam, kaum Muhajirin berhujah berdasarkan kedudukan mereka yang lebih awal menerima Islam.
Perdebatan hangat ini berakhir apabila masing-masing mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW menunjukkan Abu Bakar as-Siddiq sebagai pengganti imam solat dan pesanan Nabi SAW bahawa pemimpin hendaklah dari kaum Quraisy.
Untuk tempoh selama 923 tahun, umat Islam menerima kepemimpinan Quraisy sebelum kebangkitan bangsa Turki pada 1517M / 923H.
Ibnu Khaldun yang hidup pada abad ke-10H merumuskan bahawa Quraisy di dalam hadis ini dengan maksud bangsa atau kumpulan terkuat mesti menjadi teras sesebuah negara.
Peristiwa ini dianggap pencetus ilmu pemikiran politik Islam, iaitu ilmu pertama yang berkembang setelah wafatnya Nabi SAW.
II. Memerangi golongan yang enggan membayar zakat.
Selepas kewafatan Nabi SAW, beberapa golongan telah murtad dan enggan membayar zakat.
Abu Bakar as-Siddiq mengambil keputusan untuk memerangi kelompok yang tidak membayar zakat, selain kumpulan nabi palsu dan riddah.
Umar bin al-Khattab tidak bersetuju kerana mereka masih mengucap dua kalimah syahadah.
Tetapi Abu Bakar as-Siddiq bertegas akan tetap memeranginya, kerana tidak mahu amalan buruk itu berkembang di kalangan umat Islam setelah melihat beberapa kabilah seperti Bani Asad, Bani Ghatfan, Bani Tamim dan lain-lain menjadi murtad kerana mengikuti nabi-nabi palsu.
Dalam peristiwa ini, Abu Bakar as-Siddiq telah meletakkan keutamaan kepada pencegahan (saddu zara’ie) sebagai satu bentuk siyasah syar’iyah.
III. Pembunuhan Uthman bin Affan.
Pada bahagian kedua pemerintahan Uthman bin Affan telah berlaku pergolakan politik yang berakhir dengan kepungan ke atas kediaman khalifah pada tahun 35H.
Ali bin Abi Talib mengambil langkah mengirimkan pembantu dan meminta kebenaran khalifah untuk bertindak ke atas pemberontak.
Uthman bin Affan telah menolaknya kerana tidak mahu lebih banyak darah rakyat akan tumpah, biarlah beliau seorang yang menjadi mangsa, dan akhirnya beliau dibunuh.
Di sini, Uthman bin Affan telah membentuk satu kefahaman bahawa mengutamakan orang terbanyak adalah lebih penting dari mengutamakan individu dalam pemerintahan negara.
IV. Perang Jamal.
Perang Jamal tercetus apabila Aisyah binti Abu Bakar, Ummul Mukminin bersama Talhah bin Abi Talhah dan Zubair bin al-Awwam telah menyerang Ali bin Abi Talib, khalifah yang berpusat di Kufah.
Puncanya, kerana mereka mendesak kepada perlaksanaan qisas ke atas pembunuh Uthman bin Affan.
Walaupun Ali bin Abi Talib telah mengambil tindakan untuk mencari pembunuh itu, umat Islam tidak berpuas hati kerana tiada suatu tindakan yang konkrit dari kerajaan.
Selepas perang tercetus, Aisyah binti Abu Bakar dihantar pulang ke Madinah dan kebanyakan ulamak berkata Ali bin Abi Talib berada di pihak yang benar.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa politik bangkangan wujud dalam Islam untuk mendesak kepada amar makruf dan mencegah kemungkaran.
V. Majlis Tahkim dalam Perang Siffin.
Perselisihan di antara Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkait pembunuhan Uthman bin Affan telah membawa kepada Perang Siffin.
Perang ini berakhir apabila Muawiyah bin Abu Sufyan meminta perdamaian.
Kemudian membawa kepada Majlis Tahkim.
Penyokong Ali bin Abi Talib yang tidak berpuas hati dengan tahkim ini menuduh Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai kafir kerana menggunakan budaya politik jahiliyah, iaitu tahkim.
Peristiwa ini membentuk dua pemikiran politik.
Pertama, umat Islam mestilah mengutamakan perdamaian, lebih-lebih lagi sesama orang Islam, walaupun sudah hampir menang.
Kedua, amalan-amalan politik tradisional yang tidak bercanggah dengan Islam boleh diterapkan seperti himayah, tahkim dan seumpamanya setekat ia tidak bercanggah dengan Islam.
Selain Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abu Sufyan, wakil-wakil mereka iaitu Amru bin al-‘As dan Abu Musa al-Asy’ari dicatatkan telah bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan konflik tersebut.
Dalam pada itu pula, disebabkan sikap fanatik dan tidak berpandukan ilmu yang benar, sebahagian penyokong Ali bin Abi Talib telah keluar dari kumpulan Ali bin Abi Talib dan digelar Khawarij.
Peristiwa ini telah membentuk kumpulan-kumpulan politik Syiah dan Khawarij, kemudian muncul pula Murjiah.
Peristiwa politik ini rupanya menjadi punca kepada perkembangan ilmu kalam apabila mereka bertukar membentuk mazhab aqidah masing-masing kemudiannya.
VI. Amul Jamaah.
Tahun 41H dikenali sebagai Amul Jamaah (Tahun Perpaduan) apabila al-Hassan bin Ali mengambil langkah untuk melupakan kepentingan kuasa dan kedudukan peribadi, sebaliknya memberikan perhatian terhadap kepentingan perpaduan umat Islam.
Beliau mengambil langkah berdamai dengan Muawiyah bin Abu Sufyan, sebelum beliau melepaskan jawatan dan membai’ah Muawiyah bin Abu Sufyan.
Peristiwa mengajarkan tentang perdamaian dalam politik sesama umat Islam dan juga kepentingan penyatuan ummah ke atas kedudukan peribadi.
Daripada contoh enam peristiwa politik dalam sistem kekhalifahan Islam, ternyata ia telah membentuk satu ilmu dalam pemikiran politik Islam.
Kita biasa mendengar pembaharuan-pembaharuan pentadbiran yang dilakukan oleh para khalifah, khususnya Umar bin al-Khattab, tetapi kita jarang memberikan perhatian terhadap peranan para khalifah yang mengambil ijtihad dalam menyelesaikan krisis-krisis politik, yang akhirnya membentuk asas di dalam pemikiran politik Islam dan juga perlaksanaan siyasah syar’iyah dalam pemerintahan.
Mohd Fadli Ghani