Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hanya memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebat tidak lebih 6 sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu kepada sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.
Seksyen 377B Kanun Keseksaan sebaliknya memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat kepada sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii.
Begitu juga Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat kepada sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii secara paksa ke atas seseorang lain.
Yang diisytiharkan sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ialah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang lebih ringan hukumannya tetapi masih kekal ialah Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jauh lebih berat hukumannya.
Bila Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 diisytiharkan sebagai tidak sah maka sudah pastilah Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan akan digunakan dengan lebih meluas sekali gus akan menyebabkan sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii berdepan dengan hukuman yang jauh lebih berat.
Lalu perlu apa golongan LGBT dan para penyokongnya bersukaria dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai tidak sah?
Apakah kerana undang-undang yang diisytiharkan sebagai tidak sah itu adalah undang-undang Islam maka ia perlu disambut dengan gembira walaupun undang-undang tidak Islam yang menanti jauh lebih keras hukumannya?
Tidak sangkalah fobia dengan undang-undang Islam boleh menjadikan manusia tidak rasional.
Kamarul Yusoff