Berpegang Teguh Dengan Sunnah Dalam Menghadapi Fitnah

Berpegang Teguh Dengan Sunnah Dalam Menghadapi Fitnah

Dalam dunia akhir zaman yang dipenuhi dengan fitnah.

Tiada mana-mana golongan pun yang akan terselamat termasuklah mereka yang berilmu.

Fitnah ini akan berterusan sehingga habisnya umur dunia dan manusia akan berpindah alam kepada hari kiamat.

Dalam sebuah hadis nabi yang telah diriwayatkan oleh imam Abu Daud:

“Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham.”

Telah jelas amaran Nabi saw tentang perselisihan yang berlaku yang akhirnya perselisihan itu menatijahkan fitnah dan perpecahan dikalangan umat Islam.

Apa yang menariknya kepada hadis ini, Nabi saw telah memberikan kepada kita jalan terbaik untuk mengeluarkan diri dari fitnah ini iaitu:

1. Berpegang dengan Sunnah Nabi saw

2. Berpegang dengan sunnah para khalifah

Sudah tentulah sunnah Nabi saw dan para sahabat tidak lari dari acuan al-Quran sebagai petunjuk utama umat Islam.

Ini sangat bertepatan dengan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Malik

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).”

Begitulah peranan manusia dalam menghadapi zaman fitnah yang berleluasa seperti hari ini.

Antara pengesyoran Quran kepada tindakan orang yang beriman apabila menerima sesuatu berita adalah.

1. Hendaklah bertabayun seperti firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Al-Hujuraat 49:6)

Mestilah orang yang beriman itu mendapatkan maklumat yang sahih apabila hadir sebarang khabar tentang sesuatu perkara, apatah lagi ianya datang daripada orang yang asing atau fasik.

Ini adalah amanah yang perlu dijaga oleh orang yang beriman kepada Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA

“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)”

Sangat malu sekiranya orang beriman mempunyai sikap pendusta seperti yang diberitakan oleh hadis ini.

Dalam hadis yang lain, Nabi saw memberi amaran keras terhadap penyebar berita tanpa bukti

“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

Riwayat al-Tirmizi

Jadi, sepatutnya orang yang berilmu mestilah menjauhkan diri dari perbuatan ini.

2. Sekiranya benar berita yang dibawa serta cukup buktinya.

Maka islam mengajar kita untuk terus melaporkan kepada pihak yang berwajib dan seterusnya mengemukakan bukti yang ada kepada mereka.

Dalam Islam, mereka yang menuduh wajib mengemukakan bukti kepada mahkamah untuk mengesahkan tuduhan yang dibuat.

Malulah sekiranya mereka yang punyai ilmu tetapi terus semberono memberi tauladan yang tidak baik kepada rakyat lain.

Hal ini telah dijelaskan oleh Nabi saw dalam hadisnya

“Bukti itu harus didatangkan oleh orang yang menuduh, dan sumpah itu wajib bagi orang yang mengingkari tunduhan itu.”

[HR. Baihaqi dengan sanad shahih dan asal hadits ini ada dalam As Shahihain]

Hadis ini menerbitkan kaedah ke-10 dalam ilmu qawaid fiqhiyah iaitu

“Bukti Wajib Didatangkan Oleh Orang yang Menuduh, Dan Sumpah Itu Wajib Bagi Yang Mengingkari Tuduhan Itu, Hal Ini Berlaku Dalam Seluruh Persengketaan Hak, Tuntutan, Dan Semisalnya”

Sekiranya tiada bukti yang dikemukakan, maka jelas dan teranglah yang membawa cerita itu seorang yang pendusta seperti yang telah disebut oleh hadis Nabi saw di atas.

3. Dalam membawa pertuduhan, tidak boleh mana-mana pihak menggunakan gelaran atau meletakkan sangkaan jahat kepada individu atau kumpulan.

Ini berdasarkan firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Al-Hujuraat 49:11)

Mereka yang berbuat seperti yang dilarang oleh Allah swt itu sudah tentu mempunyai agenda-agenda peribadi dan untuk menjatuhkan seseorang dengan sebaran fitnah tersebut.

Maka, taubat adalah jalan terbaik untuk melepaskan diri dari dosa yang besar ini.

Kesemua ini adalah maksud besar dengan arahan Nabi saw untuk berpegang teguh dengan Sunnah Nabis saw dan para Sahabat sehingga diumpamakan dengan gigitan gigi geraham.

Supaya setiap manusia tidak kira dari golongan apa sekalipun, yang hidup di akhir zaman ini memberi penumpuan terhadap sikap pembawa berita dan penerima berita yang berlegar, takut-takut terjerumus dalam kancah fitnah yang dilaknat Allah.

Berlaku adillah dengan Ilmu, jangan libatkan masyarakat dengan berita yang tidak pasti.

Bermuhasabahlah dan berlapang dadalah.

Sekiranya ada pertembungan kembalikan ia kepada Allah swt:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Al-Hujuraat 49:10)

MIS

Islam