Suku kedua tahun kewangan 2020 menjadi rahmat kepada syarikat perladangan apabila melaporkan prestasi kewangan memberangsangkan berikutan harga minyak sawit mentah tinggi dalam keadaan pengeluaran rendah.
Syarikat-syarikat terbabit melaporkan keputusan kewangan yang positif apabila satu demi satu negara mula membukakan ekonomi masing-masing semasa tempoh April hingga Jun selepas beberapa bulan melaksanakan sekatan pergerakan disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Ia membolehkan negara-negara khususnya pembeli minyak sawit tradisional seperti China dan India mula menambahkan inventori.
Pada paras purata harga semasa RM2,519 setan metrik, komoditi itu sangat dicari, seperti minyak sawit mentah (MSM) oleh India dan olein sawit oleh China.
Eksport ke India turun sebanyak 97 peratus kepada 10,806 tan metrik pada Mac apabila negara-negara mengenakan sekatan pergerakan, tetapi nilai eksport meningkat semula sebanyak 8.8 peratus kepada RM82.9 bilion pada Jun.
Di Bursa Malaysia, indeks perladangan turun sebanyak sembilan peratus setakat ini bagi tahun ini.
“Bagaimanapun, indeks itu telah pulih sebanyak 25.8 peratus sejak 18 Mac 2020, susulan pembukaan semula ekonomi dan begitu juga, harga saham syarikat perladangan utama seperti IOI Corporation, Sime Darby Plantation dan Kuala Lumpur Kepong naik lebih daripada 20 peratus sejak mencatatkan paras terendahnya pada pertengahan Mac tahun ini,” kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada Bernama.
Kuala Lumpur Kepong Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan bersih kepada RM368.69 juta dalam suku ketiganya yang berakhir pada 30 Jun 2020, berbanding RM48.61 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil naik sedikit kepada RM3.71 bilion daripada RM3.70 bilion sebelum.
Mengulas mengenai keputusan itu, Kenanga Research berkata ia percaya pengeluar minyak sawit ketiga terbesar negara itu akan mencatatkan peningkatan berturut-turut dalam suku keempat.
Ini memandangkan harga MSM tinggi ditambah dengan jangkaan pengeluaran tandan buah segar (FBB) tinggi sebanyak 1.05 juta tan metrik.
“Peningkatan itu, bagaimanapun, mungkin sebahagiannya akan dineutralkan oleh impak harga bahan mentah tinggi di bahagian hilirannya,” kata firma itu.
Sementara itu, keuntungan bersih United Plantation Bhd yang berpangkalan di Perak meningkat 63 peratus pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 kepada RM123.59 juta, apabila kumpulan itu terus meningkatkan pengeluaran MSM dan isirung sawit dalam keadaan harga jualan yang bertambah baik berbanding tahun sebelumnya.
Hasil meningkat kepada RM294.32 juta daripada RM270.53 juta sebelumnya.
Sime Darby Plantation Bhd (SDP) juga merekodkan peningkatan keuntungan bersih dalam suku kedua yang berakhir 30 Jun 2020 kepada RM378.00 juta daripada RM27 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil meningkat kepada RM3.21 bilion daripada RM2.86 bilion manakala pendapatan asas sesaham berada pada 5.50 sen daripada 0.40 sen, kata syarikat perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Harga MSM tinggi itu juga membantu syarikat pertanian dan komoditi pertanian global, FGV Holdings Bhd kembali meraih keuntungan.
Bagi suku keduanya, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM20.55 juta berbanding kerugian bersih RM52.20 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada RM3.29 bilion daripada RM3.28 bilion.
Berita Harian