Antara Serangan Terhadap Kerajaan

Antara Serangan Terhadap Kerajaan

Antara serangan terhadap kerajaan ialah terlalu banyak berhutang walaupun belanjawan sudah luluskan peruntukan.

Belanjawan dirangka berdasarkan anggaran pendapatan dan keperluan.

Misalnya dalam belanjawan 2021, sudah dijelaskan kerajaan akan berhutang bagi menampung pembelian vaksin dan usaha meningkatkan fasiliti kesihatan yang diluluskan.

Jadi janganlah tanya kenapa kerajaan perlu berhutang lagi untuk beli vaksin sedangkan belanjawan sudah luluskan berbelas bilion.

Lebih melucukan ada pula yang bertanya ke mana pergi wang peruntukan vaksin bila ada sumbangan hampir 6 juta dos vaksin dari negara luar.

Belanjawan atau budget ialah rangka perbelanjaan untuk kelulusan.

Bagaimana kerajaan hendak mendapatkan wang tersebut untuk berbelanja adalah satu isu lain.

Dalam keadaan pandemik, ekonomi banyak tidak bergerak cergas, ada ketika perlu ditutup, maka kutipan hasil kerajaan terutama melalui SST akan berkurangan.

Jadi untuk membiayai perbelanjaan, kerajaan mungkin terpaksa menambah hutang.

Sebab itulah lockdown berbulan-bulan tidak mampu dibuat walaupun ia boleh mengurangkan penularan Covid-19 dan mungkin menyelamatkan nyawa.

Menutup semua industri bukan sahaja menjejaskan pendapatan rakyat, malah pendapatan kerajaan.

Jika rakyat tiada wang, kerajaan pun tiada wang, ekonomi kita akan lumpuh, sistem kesihatan, keselamatan dan pentadbiran kerajaan juga akan lumpuh.

Dalam pandemik bukan sahaja pendapatan berkurangan, sumber untuk kerajaan berhutang juga terhad.

Ada juga mempersoalkan mengapa kerajaan berhutang berbelas bilion dalam tempoh seminggu ini sedangkan Perdana Menteri yang bakal kehilangan jawatan.

Hutang kerajaan pun samalah macam hutang peribadi, bukan hari ini pohon hari ini dapat.

Ia mestilah ada proses dan prosedur yang ambil masa berbulan sebelum ia menjadi kenyataan.

Jika ekonomi makmur pun kita berhutang untuk melaksanakan belanjawan negara, apakah ketika pandemik anda mengharap kerajaan menjadi super hebat memberi bantuan berpuluh bilion, menyediakan vaksin secara percuma dan menaik taraf fasiliti kesihatan tanpa berhutang?

Pandemik memang menekan kehidupan kita.

Namun ketika pandemik kita perlu kekal rasional agar mampu bersama memulihkan negara ini.

Ab Jalil Backer

Ekonomi