Kejayaan PAS melangkah ke Putrajaya melalui strategi kerjasama politik pasca keruntuhan Kerajaan PH telah merealisasikan sasaran PAS untuk menjadi ‘king maker.’
Ini adalah kali kedua PAS mendaki puncak kuasa selepas kali pertama menyertai Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, diikuti oleh pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 1 Jun 1974.
Semalam, 1 September 2020, genap enam bulan PAS berada di Putrajaya, setelah Kerajaan PN dibentuk pada 1 Mac 2020.
Persoalan sekarang ialah PAS telah melalui pelbagai liku dalam sejarah perjuangannya.
Sepanjang sejarah PAS, PAS pernah berkuasa di Terengganu tiga kali (1959-1961, 1999-2004 dan 2018-sekarang) dan menguasai Kelantan dua kali selama 48 tahun (1959-1978 dan 1990-sekarang).
Pada 2008, PAS mendapat pengalaman politik yang paling unik dalam sejarahnya, kerana lima buah negeri membentuk kerajaan melalui tahaluf siyasi dalam bentuk yang berbeza-beza.
I. Kelantan.
PAS berkuasa penuh kerana semua kerusi kerajaan dikuasai oleh PAS, kecuali satu oleh PKR.
II. Kedah.
PAS menguasai kerajaan tetapi terpaksa bergantung kepada sokongan beberapa ADUN PKR dan seorang ADUN DAP kerana PAS tidak memiliki majoriti.
III. Selangor.
Setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri di antara PKR, DAP dan PAS.
Mereka saling bergantung, tetapi PAS mempunyai kerusi yang paling sedikit.
IV. Perak.
PAS adalah parti yang terkecil jumlahnya, tetapi diberi tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan (Menteri Besar) dengan DAP menguasai majoriti.
V. Pulau Pinang.
PAS hanyalah parti minoriti dengan satu kerusi sahaja.
DAP dan PKR tidak memerlukan PAS untuk memerintah.
Variasi ini telah memberikan pengalaman yang berbeza kepada PAS dalam pembentukan kerajaan, pentadbiran awam, kerjasama politik dan juga pengurusan parti.
Tidak mudah untuk PAS menghadapi desakan sebagai pemerintah yang tidak memiliki majoriti di Kedah atau ‘minority rule’ di Perak.
PAS turut menghadapi karenah politik DAP yang sentiasa ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dengan PAS, begitu juga keadaan di Selangor yang warnai oleh ‘power struggle’ dalaman PKR.
Ini belum mengambil kira konflik-konflik politik yang berasaskan agama dan bangsa yang perlu ditangani dalam keadaan rakan-rakan politik yang berfahaman liberal.
Pengalaman menghadapi situasi politik dalam alaf baru ini, pada tempoh 20 tahun pertama, PAS telah diasak dengan pengalaman yang sarat.
Ke mana PAS hendak membawa hala tuju perjuangannya dan apakah garis kasar yang perlu menjadi pegangan PAS dalam ‘persilatan politik’ di pentas demokrasi seperti Malaysia ini?
Untuk membolehkan PAS mengekalkan ketulinan perjuangannya dan terus bertahan menghadapi cabaran perubahan politik, PAS memerlukan model rujukan yang benar-benar kukuh.
PAS tidak berhajat kepada teori-teori politik klasik Plato.
PAS juga tidak memerlukan teori-teori politik reformis yang dibina oleh Waber, Lock, Hobbes dan Rousseau.
Bahkan PAS juga tidak mengharap pun panduan daripada ahli-ahli fikir falsafah politik-ekonomi Barat seperti Smith dan Marx.
Lalu, ke mana rujukan hala tuju PAS?
Bagi setiap orang yang beriman, mereka mengetahui panduan tunggal untuk gerakan politik mereka ialah Rasulullah SAW.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada saat baru-baru menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990, ketika ditanya oleh wartawan tentang rujukan politik pentadbirannya, beliau telah menjawab dengan mudah.
“Ambo tiru je apa yang Nabi buat, tak payah cari yang baru.”
Hal ini nampaknya telah difahami oleh ahli-ahli dan pendukung PAS.
Alhamdulillah. Persoalan yang ada di hadapan kita sekarang ini ialah implimentasinya.
Di sebalik kefahaman umum ahli-ahli PAS bahawa kita hanya perlu merujuk atau mengambil kaedah politik Islam yang diajar oleh Nabi SAW, berapa ramai pula ahli-ahli PAS yang telah mempelajari dan memahami apakah politik Islam yang diajarkan Nabi SAW itu?
Inilah cabaran terbesar untuk dihadapi oleh PAS dalam menghadapi masyarakat post-sekular ini.
Mereka telah menolak pemisahan agama dan politik, mereka telah faham bahawa politik adalah sebahagian dari agama dan mereka tahu adanya segmen politikal Islam.
Tetapi sendiri belum mendalami dalam memahami secara tuntas apakah Islam politik itu, apakah fiqh politik Islam, apakah siyasah syar’iyah dan apakah fiqh kenegaraan berdasarkan Sunnah Nabi SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin.
Dalam tempoh masa peralihan ini, ketika PAS sedang dipandang oleh rakyat sebagai parti yang paling berkaliber untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan negara, seluruh pimpinan dan ahli PAS berkewajipan untuk belajar, memahami dan menguasai sisi-sisi politik Islam berdasarkan apa yang dipandu oleh Nabi SAW.
Kita bertuah kerana memiliki Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang sangat faqih tentang model politik Rasulullah SAW, tetapi sampai bila kita perlu bergantung kepada kefaqihan beliau dalam mengatur langkah-langkah politik.
PAS perlukan generasi pelapis untuk melanjutkan gerakan ini ketika kita sudah berada di ambang kemenangan.
Ayuh semua pimpinan dan ahli PAS!
Dalamilah ilmu politik berpandukan sunnah, untuk memandu kita mendukung amanah.
Mohd Fadli Ghani