Pembangunan Mampan (Quid Pro Quo)

Pembangunan Mampan (Quid Pro Quo)

Saya dah ceritakan bagaimana kerajaan dan pemaju bersubahat menggunakan laporan impak trafik sebagai alasan untuk membenarkan bangunan yang tinggi-tinggi dengan harga beli yang terlalu mahal dibina dan cara-cara mereka mungkin gunakan untuk menipu dalam laporan itu.

Anda sebagai seorang penduduk biasa mungkin akan menuduh pihak berkuasa makan rasuah kerana memberikan kelulusan projek itu.

Tapi pembayaran rasuah secara terus adalah perbuatan bodoh kerana ianya memudahkan kerja SPRM.

Adanya cara yang lebih halus yang digunakan.

Sebelum kita bincang mengenai cara itu, saya nak menjelaskan lebih sikit mengenai proses pembangunan.

Peraturan pembangunan sebenarnya banyak lagi dan kerajaan serta pemaju tidak akan dapat menipu dalam setiap satu perkara yang diwajibkan.

Misalnya peraturan yang mengehadkan bangunan kepada 20 tingkat di Petaling Jaya yang saya lampirkan di sini.

Ianya peraturan untuk mengawal kesesakan lalu lintas kerana Petaling Jaya diilham sebagai perbandaran satelit kepada Kuala Lumpur.

Jadi walaupun adanya satu laporan impak trafik yang menunjukkan kawasan pembangunan kononnya boleh muat lebih banyak trafik lagi, peraturan yang mengehadkan ketinggian pembangunan ini juga akan main peranan mengehadkan apa yang kerajaan boleh meluluskan juga.

Tapi sesiapa yang kenal dengan Petaling Jaya setelah Pakatan Rakyat (dan Harapan) mengambil alih akan mengetahui bahawa kebanyakkan projek baru yang diluluskan di persekitaran 30-40 tingkat.

Anda masih ingat kan saya tulis bahawa projek perumahan kos rendah dan kos mewah diikat bersama untuk mewajibkan pembinaan rumah kos rendah dahulu?

Dengan meluluskan projek bangunan kos mewah dengan projek rumah kos rendah sebegini, pemaju kebiasaannya diberikan tanah lapang kerajaan yang berada di kawasan bandar yang bernilai tinggi.

Dan keuntungan yang bakal diperolehi dari jualan rumah kos mewah ini akan dilihat sebagai subsidi untuk membina serta menjual rumah kos rendah juga.

Ini ialah sebahagian daripada sistem ‘quid pro quo’ di mana kedua-dua pihak buat sesuatu yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Tapi disebabkan kos pembangunan rumah kos rendah mungkin terlalu tinggi juga, kadangkala kerajaan akan kata pemaju boleh bina lebih dari had yang disyorkan.

Bagi pemaju, setiap inci persegi yang dapat dibina adalah keuntungan.

Mereka hanya ada satu tapak tanah itu saja dan lagi tinggi bangunan yang mereka dapat bina, lagi tinggi lah keuntungan mereka.

Kamu semua kena faham bahawa kerajaan ni, mereka yang menggubal undang-undang dan peraturan, jadi kalau mereka nak tutup sebelah mata sikit pun, itu dianggap hak mereka.

Dan oleh kerana kerajaan dulu ingat ada baiknya nak melonggarkan peraturan sikit, maka ahli politik yang seterusnya akan lihat benda sama yang dibuat tapi tak faham konteks kenapa ia dibuat dan pakai langgar saja.

Masa saya Ahli Majlis dulu, saya pernah bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat kenapa pemaju dibenarkan bina melebihi 20-tingkat.

Kamu semua tak tahu sebab semua ni berlaku dibelakang pintu tertutup.

Oleh kerana saya bangkitkan isu ini dulu, kerajaan Pakatan juga dengan senyap telah menggubal undang-undang baru yang bercanggah dengan had 20-tingkat ni dan memberi lebih kelonggaran kepada kerajaan untuk meluluskan projek lagi tinggi.

Dan ADUN serta Ahli Majlis sekarang akan menggunakan alasan ini untuk menjawab penduduk yang marah walaupun mereka tak cakap undang-undang baru tu mereka yang buat.

Okay. Itu cerita teknikal di peringkat kerajaan.

Tapi apa faedahnya bagi kerajaan nak menggubal peraturan sebegini?

Bagi pihak pemaju, ianya jelas isu keuntungan.

Sekiranya pihak yang bagi kelulusan nak makan rasuah itu secara halus, maka pemaju perlu diberikan kebenaran membina lebih tinggi supaya beberapa unit yang dibina itu boleh dijual dengan harga diskaun ataupun diberikan kepada ahli keluarga/kawan kepada orang yang memberikan kelulusan tersebut.

Unit sebegitu boleh disewakan ataupun dijual.

Easy money.

Bagi ahli politik yang juga seorang peguam, mereka (ataupun firma kawan mereka) juga boleh dilantik pihak pemaju sebagai ‘conveyancing lawyer’ bagi projek itu.

Bayangkan adanya bangunan dengan 1,000 unit yang boleh dijual.

Setiap orang yang beli unit itu perlu membayar pelbagai yuran kepada peguam kan?

Kita anggap saja bayaran itu RM1,000 bagi setiap unit saja.

RM1,000 x 1,000 unit.

Ini contoh saja – saya pasti yuran peguam untuk transaksi ini lebih tinggi daripada RM1,000.

Oh, dan kamu semua tahu siapa yang ajar saya benda ni?

Seorang ahli PKR yang mengeluh kepada saya ahli DAP yang dapat ‘sweetheart deal’ tersebut.

Bagaimanapun, ini hanyalah gambaran tentang dunia politik seperti yang saya lihat.

Cemburu, dengki, kerakusan, kesombongan – semuanya itu sangat nyata dan sangat berbahaya.

Dan orang-orang yang mengambil bahagian di dalamnya adalah orang Melayu, Cina dan India yang berani mengambil bahagian di dunia ini.

Semua cerita saya hanyalah contoh – hanya sedikit rasa – dari apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir.

Selamat datang ke bahagian belakang Malaysia.

Peace.

Mak Khuin Weng – マク

Isu Semasa