Ladang Musang King Haram: Kerajaan Rugi Dua Kali Cukai Berbilion Ringgit?

Ladang Musang King Haram: Kerajaan Rugi Dua Kali Cukai Berbilion Ringgit?

Apabila perisik percukaian datang menemui saya untuk berkongsi maklumat dan membincangkan mekanisma percukaian terhadap pengusaha puluhan ribu ekar ladang Musang King haram di Pahang baru-baru ini, saya merumuskan “tidak ada cara atau mekanisme selagi tanah haram berkenaan tidak didokumentasikan.”

Dianggarkan setiap peladang Musang King haram mampu memperolehi pendapatan bersih tidak kurang RM50,000 seekar setahun bagi lima tahun pertama ladang berkenaan mula mengeluarkan hasilnya.

Jumlah itu boleh meningkat sehingga RM120,000 setahun seekar atau RM10,000 seekar sebulan bagi ladang Musang King haram yang sudah mengeluarkan hasil lebih 10 tahun!

Bayangkan jika purata setiap peladang mengusahakan 10 ekar ladang Musang King haram (ada yang mengusahakan sehingga melebihi 50 ekar seorang) pendapatan bersih mereka mencecah RM100,000 sebulan atau RM1.2 juta setahun.

Dengan andaian 10,000 ekar ladang Musang King haram di seluruh Malaysia sahaja (jumlah sebenarnya mungkin lebih lima kali ganda) maka jumlah pendapatan bersih yang dijana kepada pengusahanya adalah RM1.2 billion setahun!

Dengan cukai pendapatan pada kadar 10 peratus setahun sahaja, Kerajaan Pusat menerusi LHDN sudah “hilang cukai” RM120 juta setahun.

Dengan mengambilkira Musang King sudah berada di pasaran sejak lebih 10 tahun lalu, maka jumlah cukai yang tidak dapat dikutip sudah melebihi RM1.2 billion.

Di peringkat negeri pula, Kerajaan Negeri tidak dapat mengutip cukai hasil tanah kerana tidak ada “dokumen” tentang pemilikan ladang Musang King haram.

Justeru, selagi tidak ada dokumentasi pemilikan ladang Musang King haram, maka selagi itulah Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri tidak dapat mengutip cukai daripada jutawan Musang King haram!

Maka hanyalah pemilik tanah halal (bergeran) dan golongan makan gaji sahaja yang terus menjadi penyumbang setia cukai kepada Kerajaan tanpa gagal!

Sampai bila Kerajaan akan terus diperbodohkan oleh “jutawan tanpa penyata pendapatan” ini?

Jawapannya… sehinggalah Kerajaan Melayu yang berani dan cerdik, wujud di Tanah Melayu ini suatu hari yang tidak akan pernah pasti selagi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa terus menguasai Kerajaan Melayu!

Nota: Karikatur yang membawa maksud hanya dengan rasuah dua biji buah Durian Musang King sahaja, penguatkuasa tanah Melayu akan membatalkan hasratnya untuk mengambil tindakan terhadap “apek” pengusaha ladang Musang King!

Oleh KHAIDIR AHMAD

Isu Semasa