Yang Wajib Dan Sunat Ketika Iktidal

Yang Wajib Dan Sunat Ketika Iktidal

SOALAN:

Apakah perkara yang wajib kita lakukan ketika bangun dari rukuk yaitu iktidal dan apakah perkara yang sunat sahaja?

Kalau kita sudah sujud kemudian syak adakah kita sudah tumakninah masa iktidal tadi atau tidak adakah kena iktidal semula?

JAWAPAN:

Iktidal yaitu bangun dari rukuk kepada qiam adalah rukun solat dan ada baginya yang wajib dan yang sunat.

Yang wajib ialah berdiri semula kepada keadaan sebelum dia rukuk.

Jika bangunnya tidak kepada keadaan seperti sebelum dia rukuk seperti diangkatkan sedikit sahaja badan dan kepalanya nescaya tidak dinamakan iktidal.

Dan wajib pula ketika iktidal itu tumakninah yaitu berhenti sekelian anggotanya di dalam berdiri.

Maka jika belum berhenti sekelian anggotanya lalu turun pula kepada sujud nescaya sujud tersebut tidak sah kerana belum dikerjakan iktidal.

Dan yang sunat dilakukan ketika iktidal itu ialah mengangkat dua tangan seperti angkat tangan ketika turun kepada rukuk dan membaca zikir ketika angkat dan ketika berdiri dalam iktidal.

Berkenaan masalah ketika sudah sujud datang syak adakah sudah tumakninah masa iktidal maka jawapnya wajib dia bangun dari sujud itu untuk iktidal semula dengan tumakninah kemudian sujud semula kerana sujud pertamanya tadi tidak sah.

Berkata Imam Nawawi:

ولو رفع الراكع رأسه، ثم سجد، وشك هل تم اعتداله ؟ وجب أن يعتدل قائما، ويعيد السجود. واعلم أنه تجب الطمأنينة في الاعتدال، كالركوع
ويستحب عند الاعتدال، رفع اليدين حذو المنكبين، على ما تقدم من صفة الرفع، ويكون ابتداء رفعهما، مع ابتداء رفع الرأس. فإذا اعتدل قائما، حطهما. ويستحب أن يقول في ارتفاعه للاعتدال: سمع الله لمن حمده. فإذا استوى قائما، قال: ربنا لك الحمد، أو: ربنا ولك الحمد مل ء السموات، ومل ء الارض، ومل ء ما شئت من شئ بعد. يستوي في استحباب هذين الذكرين، الامام، والمأموم، والمنفرد.

Artinya: “Dan kalau seorang yang sedang rukuk mengangkat kepalanya kemudian dia sujud kemudian dia syak adakah dia iktidal dengan sempurna?

Jawabnya wajib dia bangun semula iktidal dan kemudian ulangi akan sujud.

Dan hendaklah diketahui bahawasanya wajib tumakninah di dalam iktidal seperti di dalam rukuk.

Dan disunatkan ketika iktidal itu mengangkat dua tangan membetuli dua bahunya atas keterangan yang telah lalu pada cara-cara mengangkat tangan.

Dan sunat adalah mula angkat dua tangan itu bersamaan mula angkat kepala.

Maka apabila telah tegak berdiri sunat berkata:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْء السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ، وَمِلْء مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

Dan bersamaan disunatkan kedua zikir ini bagi imam dan makmum dan yang seorang diri.”
(Kitab Ar-Raudhah At-Talibin)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab