Justifikasi Ke Atas Peruntukan Besar Kepada JASA

Justifikasi Ke Atas Peruntukan Besar Kepada JASA

Disiarkan di sini pandangan yang dikemukakan oleh seseorang yang bernama “Syed Kamil” dari Johor Bahru mengenai isu wajar atau tidak peruntukan lebih RM80 juta diberikan kepada JASA untuk tujuan perbincangan.

Tulisan ini agak menarik kerana ia kelihatan mengandungi sedikit justifikasi mengenai mengapa peruntukan besar kepada JASA dalam Bajet 2021 perlu dipertahankan.

Dipersilakan untuk mengulas atau mengkritiknya.

WAJARKAH PERUNTUKAN LEBIH RM80 JUTA DIBERIKAN KEPADA JASA?

Isu peruntukan sebanyak RM81.5 juta yang dimasukkan dalam Bajet 2021 telah menjadi perhatian ramai.

Ada yang mendakwa peruntukan sebanyak ini adalah tidak perlu dan terlalu besar untuk sebuah jabatan yang mempunyai hanya 52 orang pegawai dan kakitangan.

Ada yang membandingkan RM81.5 juta untuk 52 pegawai dan kakitangan JASA dengan RM50 juta bayaran secara ‘one off’ kepada 100 ribu frontliners.

Bagi saya, ini bukanlah satu perbandingan yang adil.

Frontliners mendapat bayaran insentif secara one-off sebanyak RM500 ringgit seorang sebagai mengenang jasa mereka.

Bayaran ini adalah tambahan daripada gaji dan elaun yang mereka terima setiap bulan.

Manakala untuk pegawai dan kakitangan JASA pula, RM81.5 juta itu bukan kesemuanya untuk bayaran gaji, elaun atau insentif mereka.

Melihat pecahan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021, jumlah emolumen pegawai dan kakitangan JASA untuk tahun 2021, hanyalah RM4 juta atau lebih kurang RM333,000 sebulan.

Ini adalah satu jumlah yang munasabah.

Semua pegawai dan kakitangan JASA adalah penjawat awam, jadi jumlah gaji dan elaun mereka adalah tertakluk kepada gred gaji yang digunapakai dalam perkhidmatan awam.

Maknanya gaji dan elaun yang diterima oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan kementerian-kementerian lain yang bertugas sebagai frontliners adalah sama dengan yang diterima oleh pegawai dan kakitangan JASA mengikut gred gaji masing-masing.

Cuma frontliners istimewa sedikit kerana mereka menerima bayaran one-off RM500 dalam Bajet 2021.

Selain itu, dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan untuk bayaran elaun khas kepada frontliners.

Sebahagian besar daripada peruntukan RM81.5 juta kepada JASA ialah untuk tujuan Perkhidmatan dan Bekalan iaitu sebanyak RM73.9 juta.

Apakah maksud Perkhidmatan dan Bekalan?

Di dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia mengenai Penjenisan Kod Bagi Hasil dan Perbelanjaan, antara perbelanjaan yang tersenarai di bawah Perkhidmatan dan Bekalan (Objek Am 20000) termasuk perbelanjaan perjalanan dan sara hidup, pengangkutan barang-barang, perhubungan dan utiliti, sewaan, bekalan bahan mentah dan bahan-bahan untuk penyelenggaraan dan pembaikan, perkhidmatan iktisas dan lain-lain perkhidmatan yang dibeli dan hospitaliti.

Yang menarik perhatian saya dalam senarai perbelanjaan ini ialah perbelanjaan iktisas dan lain-lain perkhidmatan yang dibeli.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyenaraikan peranan JASA dalam Program Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif dengan fungsi utamanya ialah untuk membangunkan komuniti sehingga ke peringkat akar umbi melalui komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat.

Kata kuncinya ialah “perbelanjaan iktisas” dan “komunikasi berkesan”.

Komunikasi berkesan memerlukan kerajaan mengetahui dengan tepat apakah kecenderungan, persepsi dan tingkah laku masyarakat mengenai sesuatu isu atau dasar yang dianggap penting oleh mereka.

Ini memerlukan kerajaan memiliki data-data yang boleh dianalisa secara tepat dan kemudiannya merangka mesej-mesej yang mudah difahami oleh rakyat mengenai sesuatu dasar atau inisiatif yang hendak dilaksanakan.

Kegagalan memahami persepsi rakyat dan merangka program komunikasi yang berkesan akan menyebabkan sesuatu dasar yang baik ditolak atau dicemuh oleh rakyat.

Dalam dunia maya hari ini, analisa data dilakukan antaranya menerusi big data analytics selain data-data yang dipungut melalui kajian persepsi di lapangan dan lain-lain.

Data ini diproses untuk mengetahui kecenderungan rakyat mengenai sesuatu dasar, inisiatif atau isu semasa.

Data ini penting bukan sahaja untuk merangka pelan komunikasi yang berkesan, tetapi juga mengetahui kemahuan rakyat yang boleh menjadi maklum-balas penting kepada kerajaan dalam menggubal sesuatu dasar atau memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk manfaat rakyat.

Kerja-kerja memperolehi dan menganalisa data ini bukan boleh dibuat secara percuma.

Ia memerlukan perolehan sistem yang canggih dan terkini serta khidmat kepakaran iktisas yang tertentu.

Saya fikir inilah keperluan sebenar perbelanjaan JASA yang disenaraikan di bawah perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan.

Semasa kerajaan PH memerintah dahulu, antara kelemahan utama PH ialah tiada komunikasi yang berkesan antara kerajaan dan rakyat.

JASA yang diwujudkan di zaman BN telah dihapuskan.

Begitu juga Biro Tatanegara (BTN).

Kedua-dua agensi ini dituduh sebagai institusi propaganda Melayu dan Islam.

Akibatnya, PH terduduk apabila isu-isu kelemahan pentadbiran kerajaan dimainkan oleh pembangkang.

Isu-isu perkauman dan agama juga dimainkan dengan begitu dahsyat sekali.

Oleh kerana tiada agensi yang boleh mematahkan serangan pembangkang menerusi komunikasi yang berkesan, akhirnya banyak dasar Kerajaan PH ditolak dan dicemuh oleh rakyat.

Saya fikir PN belajar daripada kelemahan komunikasi PH.

JASA bukan sahaja diwujudkan semula tetapi diperluaskan peranannya untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan secara berkesan kepada rakyat.

JASA dalam konteks ini adalah sebuah agensi yang penting bagi mana-mana kerajaan yang memerintah.

Cuma saya berharap di bawah Kerajaan PN, JASA yang baharu ini mestilah dijenamakan semula.

Ia mesti dikendalikan oleh pegawai-pegawai yang profesional, berkelayakan dan berpengetahuan tinggi serta social media savvy.

Ia tidak boleh dilihat sebagai sebuah agensi amatur yang dikendalikan oleh orang-orang politik yang berkepentingan.

Lebih penting, JASA tidak boleh berfungsi sebagai lidah rasmi mana-mana parti politik.

Ia mesti berperanan sebagai sebuah agensi kerajaan yang tangkas memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Jika inilah tujuan peruntukan lebih RM80 juta diberikan kepada JASA, saya fikir ianya munasabah.

Isu Semasa