Kucing Sarkas, Sebuah Anedok

Kucing Sarkas, Sebuah Anedok

Ada seekor kucing, lincah dan sentiasa menikus dengan lawannya.

Makanannya memang tikus.

Ia tak kisah pun kepada cakap-cakap Tok Lebai kat surau yang mengatakan tikus tu kotor dan tak boleh dimakan.

Doktor pun cakap benda yang sama, kerana banyak sangat penyakit yang berjangkit dengan sebab tikus ini.

Dah ramai orang kampung lari bercempera, sebab takut terkena wabak kencing tikus ini.

Tapi kucing ini macam biasa saja.

Terus aktif mencabar lawannya.

Pada suatu hari, kucing ini cuba dijinakkan.

Dibawa ke sarkas.

Dilatih dan dididik.

Diajar bermain bola-bola kaca sebesar mentol.

Semakin hari kucing itu semakin cekap menimang bola-bola kaca itu.

Tok Lebai dah hampir berpuas hati.

Mula berkira-kira untuk membuat pertunjukkan di khalayak.

Dia mula percaya, kucing itu sudah ada kemajuan.

Sudah beberapa siri pertunjukkan sarkas diadakan, prestasi kucing sangat memuaskan.

Suatu hari pertunjukkan sarkas diadakan di tebing Sungai Perak.

Ketika itu semua mata khalayak tertumpu kepada bola-bola kaca yang hendak ditimang itu.

Acara baru bermula, kucing sarkas melompat ke atas pentas.

Tiga bola kaca di tangannya.

Setiap satu bola dilambung dan disambut bergilir-gilir.

Khalayak bersorak gembira kerana bola kaca itu ditimang dengan begitu cekap sekali.

Tok Lebai berpuas hati benar melihat persembahan kucing yang dilatihnya.

Dulu buasnya bukan buat-buatan.

Alhamdulillah, hari ini sudah boleh buat pertunjukkan.

Tiba-tiba seekor tikus melintas.

Kucing itu terfana.

Ia pun meloncat melihat tikus tersebut.

Bola-bola kaca berhamburan.

Tidak dipeduli lagi.

Kucing itu ternyata kembali kepada tabiat asalnya apakala sahaja ia melihat tikus melintas di hadapannya.

Inilah penyakit kucing sarkas.

Walaupun sudah dilatih berbulan-bulan, fitrah dan tabiat lamanya belum berubah.

Tikus juga yang dikejarnya.

Tidak peduli ia kepada maki dan caci oleh seluruh khalayak.

Apatah lagi tentang pesan doktor yang mengatakan kencing tikus itu boleh membawa wabak.

Tok Lebai hanya menggaru-garu kepala melihat kucing itu berlagak.

Para khalayak tiba-tiba bertempik.

Mencarut-carut kepada Tok Lebai.

“Apa barang!” kata mereka.

“Bawa kucing lapar tikus buat pertunjukkan buat apa.

Tok Lebai tipu kami ke?

Nak makan duit tiket ke?

Bersekongkol dengan tikus ke?

Kenapa bawa kucing lapar masuk sarkas?” bertalu-talu pula maki hamun khalayak kepada Tok Lebai.

Sebenarnya, kedua-dua – Tok Lebai dan khalayak – buat silap.

Sebab mereka terlupa tabiat kucing.

Walau dilatih dengan rapi, jika berselisih dengan tikus, dilupakan semua latihan itu, tikus juga yang dikejarnya.

Tiba-tiba aku teringat kata orang tua-tua, anjing kalau dah biasa makan tahi, tak dapat makan, dihidunya juga.

Mohd Fadli Ghani

Isu Semasa