Firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa sesungguhnya (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus (istiqamah), maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kalian daripada jalan-Nya. Dengan yang demikian itulah Allah memerintahkan agar kalian bertaqwa.”
(Surah al-An‘am: 153)
Ayat ini menjelaskan kewajipan beristiqamah sehingga diwajibkan untuk berdoa dalam setiap rakaat solat.
Sekali gus menunjukkan cabaran yang pasti berlaku dalam kehidupan manusia sepanjang perjalanan hidup di alam dunia yang penuh mencabar.
Cabaran yang paling banyak adalah di luar sembahyang dan di luar masjid, merangkumi segala aspek dalam Islam yang sempurna meliputi aqidah, syariat dan akhlak.
Begitu juga cabaran individu, keluarga dan masyarakat.
Termasuklah aspek politik yang menjadi payung kepada pelaksanaan Islam yang sempurna.
Maka, istiqamah itu ialah berpegang teguh kepada Islam yang sempurna.
Al-Quran sendiri mentafsirkan antara sesama ayat-ayatnya, di samping dihuraikan melalui hikmah (kebijaksanaan) Rasulullah SAW yang dikawal dengan wahyu.
Seterusnya berdasarkan ijtihad para ulama’ yang berwibawa dan umara’ yang berintegriti.
Adapun ayat-ayat al-Quran yang menyatakan berkenaan konsep istiqamah, antaranya firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٢٠٠﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kalian (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kalian (melebihi daripada kesabaran musuh) dan tetaplah bersiap siaga (menegakkan Islam dan mempertahankannya) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian beroleh kejayaan (mencapai kemenangan).”
(Surah Ali ‘Imran: 200)
Firman Allah SWT:
﴿…وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ٤١﴾
“…Dan sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (40);
“Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan munkar; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.” (41)
(Surah al-Hajj: 40-41)
Ayat-ayat di atas menegaskan bahawa menegakkan ciri-ciri beristiqamah bersama Islam hendaklah disertakan bersama konsep beriman dan beramal secara individu dan berjemaah.
Ia menjadi syarat untuk mendapat pertolongan Allah SWT.
Maka Rasulullah SAW mengumpulkan mereka yang telah memeluk Islam terlebih dahulu, kemudian melalui proses tarbiah iman, ilmu, amal dan juga melalui pelbagai cabaran dalam perjuangan.
Seterusnya dipilih daripada kalangan mereka kepimpinan Islam yang berwibawa dan berintegriti.
Imam al-Ghazali RH menegaskan konsep istiqamah dalam politik melalui ungkapannya:
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.
“Agama itu menjadi asas, kuasa pemerintahan (politik) menjadi pengawas. Apa-apa yang tiada asasnya runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya menjadi tercicir hilang (sia-sia).”
(Imam al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)
Secara objektifnya, beristiqamah atas konsep kepimpinan yang mempunyai syakhsiah dan melaksanakan misi perpaduan umat bermula dengan umat Islam sebagai tonggak kepimpinan.
Dalam aspek politik kenegaraan, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh keutamaan dalam agenda perpaduan umat apabila menyatukan umat Islam dalam kalangan Muhajirin, Ansor dan lain-lain yang menganut Islam terlebih dahulu.
Termasuklah juga daripada kumpulan kecil dan individu yang memeluk Islam.
Sehingga strategi yang dilakukan oleh Baginda SAW itu, berjaya menghapuskan kebanggaan diri sendiri, ‘asabiyyah keluarga, dan qabilah.
Seterusnya agenda perpaduan umat disertai oleh golongan bukan Islam yang tidak ekstrem berasaskan konsep kemanusiaan yang sama.
Meskipun wujud perbezaan agama dan bangsa kerana mereka menerima kewujudan konsep masyarakat majmuk.
Namun, kepimpinan Islam itu wajib ditegakkan.
Fiqh politik Islam telah menetapkan, bahawa wajib ditegakkan kepimpinan Islam yang kukuh dengan asas perpaduan.
Maka, PAS yang melaksanakan agenda Islam wajib menolak sesiapa sahaja atau mana-mana pihak dan kumpulan yang menjejaskan kekuatan Islam dalam menerajui politik negara.
PAS tidak boleh bersendirian dengan menganggap kumpulannya sahaja yang mahu menegakkan Islam, tanpa disertai oleh kumpulan lain dalam kalangan umat Islam.
Maka, mereka yang menjadikan konsep perpaduan umat Islam secara tidak sempurna wajib ditolak, kerana agenda mereka hanyalah untuk kepentingan diri sendiri atau keluarga, bahkan hanya untuk puak atau kepartian sahaja.
PAS menolak kumpulan berjenama Islam yang tidak istiqamah, sehingga mereka berkecamuk dengan bukan Islam yang nyata bermusuh dan tidak boleh dipercayai.
Namun begitu, PAS boleh menerima golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
Antara ciri-ciri istiqamah ialah tidak melampau, sebagaimana firman Allah SWT:
﴿فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ١١٢ وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ١١٣﴾
“Maka beristiqamah kalian (tetap pada jalan yang benar), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kalian dan janganlah kalian melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kalian kerjakan.” (112);
Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kalian disentuh api neraka, dan sekali-kali kalian tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kalian tidak akan diberikan pertolongan.” (113)
(Surah Hud: 112-113)
Secara tegas, ayat ini melarang supaya tidak melampau terhadap diri sendiri dan juga terhadap musuh, kerana peranan Islam ialah menyelamatkan manusia seramai mungkin.
Sama ada, mereka menganut Islam atau tidak menentang Islam.
Maka, Rasulullah SAW berdakwah mengajak manusia supaya menganut Islam tanpa paksaan.
Pada masa yang sama, berdamai dengan pihak lain yang tidak menerima Islam, dengan syarat mereka tidak menentang atau tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda permusuhan atau berpihak kepada musuh.
PAS telah berjaya menolak golongan pelampau seperti Khawarij yang membawa budaya takfir terhadap penganut Islam.
Perkara tersebut berlaku kerana kejahilan atau perbezaan pendapat dalam perkara furu’ yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai pandangan.
PAS berjaya menghadapi golongan pelampau melalui pendekatan memperkenalkan ilmu tentang batas-batas iman dan kufur dan konsep bertafaqquh, khususnya fiqh dakwah dan fiqh politik.
PAS juga membatalkan tahaluf dengan pihak lain yang nyata bermusuh terhadap Islam secara langsung, atau menentang agenda Islam.
Begitu juga mereka yang menentang secara tidak langsung dengan menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam.
Allah SWT mendedahkan golongan oportunis melalui beberapa ayat, antara firman-Nya:
﴿وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ٧٥ فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ٧٦ فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ٧٧﴾
“Dan antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: ‘Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaan-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh.’” (75);
Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian daripada limpah kurniaan-Nya, mereka bakhil dengan kurniaan itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran).” (76);
Maka Allah menimbulkan kemunafikan pada hati mereka sehingga mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.” (77)
(Surah al-Taubah: 75-77)
Golongan oportunis itu laksana kawanan kera yang melompat ke arah pokok yang kelihatan buah atau terdapat tanda-tanda akan berbuah.
Kadang-kadang, mereka menunjukkan kuat pegangan Islam secara zahir sahaja, namun akan berlaku proses tarbiah bagi membuktikan sifat yang dinamakan dengan wala’ (setia) dan taat kepada jemaah.
Kumpulan ini dibuktikan dengan tiada wala’ dan taat kepada jemaah atau parti.
Rasulullah SAW dan para sahabatnya telah ditarbiah dalam peristiwa Uhud yang terkenal.
Maka, Allah SWT akan melakukan penapisan-Nya dalam perjalanan perjuangan Islam, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُمْ بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا أَرَاكُمْ مَا تُحِبُّونَ مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنْكُمْ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ١٥٢﴾
“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kalian, ketika kalian membunuh mereka dengan izin-Nya sehingga ketika kalian lemah dan berselisih dalam urusan itu serta menderhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kalian sukai. Antara kalian ada kalangan yang menghendaki dunia dan antara kalian ada kalangan yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kalian dari mereka untuk menguji kalian, dan sesunguhnya Allah telah memaafkan kalian. Dan Allah melimpahkan kurniaan-Nya (yang dilimpahkan) kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah Ali ‘Imran: 152)
Manakala dalam peristiwa Tabuk yang terkenal, Allah SWT berfirman:
﴿لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ٤٢﴾
“Kalau yang kamu (Nabi Muhammad SAW) serukan kepada mereka itu merupakan suatu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa amat jauh oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ‘Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedangkan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”
(Surah al-Taubah: 42)
Allah SWT mendedahkan golongan seperti ini bersedia untuk bersekongkol dengan pihak asing yang jauh, demi matlamat menghalalkan cara.
Pada masa yang sama, mereka menunjukkan agenda Islam yang menarik.
Allah SWT berfirman:
﴿وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ١٠٧﴾
“Dan (antara orang-orang munafiq itu) ada dalam kalangan mereka orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang Mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ‘Kami tidak menghendaki selain kebaikan.’ Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).”
(Surah al-Taubah: 107)
Sebab nuzul (penurunan) ayat ini adalah untuk mendedahkan kumpulan yang diketuai oleh Abu ‘Amir al-Rahib yang terkenal mempunyai hubungan dengan pihak musuh di luar negara.
Kumpulannya mendirikan sebuah masjid yang cantik pada zaman itu, lalu mereka menjemput Rasulullah SAW datang ke masjid tersebut.
Tiba-tiba Allah SWT mewahyukan ayat ini.
Al-Quran adalah mukjizat petunjuk sepanjang zaman.
Senario yang telah dinyatakan akan berulang pada setiap masa, supaya kumpulan Islam tidak terpengaruh dengan agenda yang zahirnya sangat menarik, tetapi tujuannya itu paling merosakkan.
Kemunculan teori yang mengharamkan pilihan raya, munculnya Khalifah Islam baharu di Iraq dan fenomena Arab Spring yang terkenal, adalah antara perkara yang dirancang atas nama jihad yang tidak berdasarkan kefahaman atau fiqh.
Semua peristiwa itu mendapat liputan media asing yang dibangga-banggakan.
Kita wajib mengambil iktibar terkini dan lebih berwaspada.
Kita wajib menolak semua pihak yang melampau, oportunis dan mengundang pihak asing untuk campur tangan dalam urusan negara.
Termasuklah pihak yang ditugaskan untuk mencari berita negatif terhadap Islam dengan mendapat sumber kewangan yang khusus daripada dalam negara dan luar negara.
PAS dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan semua pihak yang nyata atau mempunyai tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS