Sehari dua ini ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menumpukan perhatian mereka kepada isu di Gaza, tersebar sebuah video dan keratan akhbar yang mendakwa ada keraguan terhadap derma-derma untuk rakyat Palestin, yang dikutip di Malaysia, tidak sampai ke sasarannya di sana.
Bukan calang-calang orang yang bercakap tentang isu itu.
Pengaruhnya besar. Membuatkan ramai yang mula memikirkannya.
Keratan video itu dirakam setahun yang lalu.
Kenapa dan siapa yang menyebarkannya kembali, tidaklah diketahui akan maksud yang dimiliki oleh hati si perancangnya.
Saya tidak mahu mengheret penceramah dalam tulisan ini.
Saya bersangka baik, beliau tidak bersalah.
Ia berlegar ketika manusia yang cintakan perdamaian sedang sibuk membantu insan teraniaya di Gaza.
Perhatian ada yang mula teralih kepada NGO, si pengutip derma.
Jahat sungguh yang menyebarkan video ini dengan tujuan batil, meragukan.
Dikatakan derma itu tidak melalui badan yang sepatutnya menguruskan derma itu di Jordan.
Maka ia menjadi asas kepada persoalan, ke mana sebenarnya wang kutipan kita itu menghilang?
Setelah diminta datang untuk menjelaskan, wakil NGO itu tidak datang.
Maka persoalan misteri itu belum terungkai, paling tidak ketika video itu dikeluarkan.
Orang banyak mula tertanya-tanya, syak wasangka mulai timbul terhadap kerja-kerja amal.
Mari kita lihat dari berbagai perspektif kemungkinan yang ada, adakah benar wang itu hilang, atau tidak.
Pertamanya, kita kena tahu, ada dua parti di Palestin yang dikenali dunia.
Satu ialah Fatah yang berasal dari PLO dahulu dan satu lagi Hamas.
Kedua pihak ini tidak bersama dalam ideologi.
Dan penempatan mereka juga terpisah di bahagian lain.
Hamas seperti yang kita sedia maklum, berpengkalan di Gaza.
Jadi derma yang dimaksudkan itu kepada siapa?
Jika kepada Fatah, mungkin melalui badan yang diiktiraf itu.
Tetapi masihkah anda ingat lagi PLO suatu ketika dahulu pernah didakwa kehilangan wang mereka sebanyak puluhan billion dolar Amerika selepas Yasser Arafat meninggal?
Ada dakwaan mengatakan wang PLO yang didermakan oleh jutaan umat Islam telah dilarikan oleh balu Yasser, Suha.
Jadi apa yang kita bangga jika derma melalui badan yang dikatakan sah itu, terlepas dari PLO, kemudian dikutip kembali oleh pihak lain.
Manakala Hamas pula adalah kumpulan yang dibenci oleh Israel dan Amerika.
Pernah mereka menang pilihanraya, mereka disekat dari segenap sudut.
Sehinggalah mereka tidak berdaya.
Pernahkah anda semua terfikir, bagaimana Hamas berjaya membuat roket?
Dari mana datangnya senjata-senjata mereka yang lain?
Bagaimana mahu membuat atau memperolehi semua bekalan itu?
Juga dengan berdirinya kilang-kilang seperti kilang roti, masjid, pejabat-pejabat yang menguruskan bantuan dari luar kepada rakyat mereka?
Sudah tentu semua ini berjalan dengan teratur dengan adanya wang.
Bagaimana mereka memperolehi wang kalau semuanya disekat atau derma dikatakan tidak sampai?
Mustahil mereka menggunakan kayu atau batu bagi urusniaga mereka.
Rakan-rakan saya yang berkhidmat dengan NGO seperti Muslim Care menjelaskan, proses pemindahan wang adalah telus.
Ia mengikut sistem penghantaran melalui penggurup wang yang berlesen.
Tetapi, caj yang agak tinggi dikenakan bagi setiap transaksi.
Malah wakil-wakil mereka juga keluar masuk membawa bantuan dari seluruh pelusuk dunia.
Di sini kita boleh membezakan maklumat tepat yang diperolehi oleh ulamak di bilik berhawa dingin dengan ulamak yang bergelumang dengan siaysah.
Ia sama seperti derma politik.
Tidak ada apa yang menghairankan sehingga berkerut dahi memikirkannya.
Samada PAS, Bersatu, Umno, PKR atau DAP (Pan mungkin tidak termasuk kerana tiada diketahui siapa yang mahu menderma kepada mereka dengan skala besar, DAP mungkin beri Pan sedikit wang, buat belanja).
Jika benar mahu mengaudit derma politik sebegini, adalah lebih baik melakukan siasatan kepada DAP yang dituduh menerima dana dari Israel bagi menghadapi PRU dahulu.
Bukti lain menunjukkan derma kita sampai ke sana ialah, Hamas tidak pernah mendakwa bahawa wang derma kita tidak sampai.
Mereka memuji-muji rakyat Malaysia sebagai sangat perihatin dan membantu mereka berjuang.
Kita berikan derma kepada wakil Hamas dan pemimpin utama mereka mengucapkan penghargaan kepada kita atas derma itu, memaklumkan apa yang telah mereka lakukan dengan wang itu.
Dan PAS diiktiraf Hamas, diakui oleh mereka sebagai rakan yang sangat membantu perjuangan mereka.
Saya tidak bercakap mengenai NGO lain.
Saya bercakap hanya tentang PAS dan NGO yang diiktiraf oleh Hamas seperti Muslim Care.

Jadi atas dasar tsiqah, kami ahli PAS, meyakini derma-derma itu sampai kepada Hamas, tanpa ragu dan tidak perlu kepada perincian kerana ia ditentukan sesama pimpinan.
Ia telah dibuktikan oleh pimpinan PAS dan Hamas dan sehingga kini ikatan persahabatan atas dasar saudara dalam Islam, diteruskan, malah lebih kukuh kerana bantuan derma ikhlas ini.
Almarhum TG Nik Abdul Aziz pernah menasihatkan dalam satu kuliah dan saya masih ingat nasihat beliau.
Antara katanya ialah duit kita ini kalau boleh berada di banyak tempat, mungkin sepuluh sen di Palestin, sepuluh sen di sana dan di sini supaya nanti di akhirat, kita mendapat banyak pahala kerana ia digunakan di banyak tempat, menjadi saksi wang derma kita beredar di seluruh dunia Islam.
Begitulah lebih kurang maksud kata-kata beliau.
Jadi marilah kita keluarkan wang dari simpanan kita, bantu perjuangan mereka.
Perlu juga dipahat dalam fikiran kita, jika kita ikhlas memberi kerana Allah bagi membantu saudara kita, maka insyaAllah wang itu akan ke tempat yang sepatutnya.
Walaupun ditipu, pahalanya tetap akan kita perolehi.
Ingatlah semua, bahawa bukan wang kita, tenaga kita, senjata kita atau jumlah kita yang ramai, diharapkan Allah kerana Allah tidak mengharapkan apa-apa, Dia maha berkuasa.
Tetapi keikhlasan kita dalam membantu agama Allah itu yang mesti kita utamakan.
Ikhlas walau sedikit, ia tetap menguatkan.
Jadi, tinggalkan keraguan yang wang derma itu tidak sampai.
InsyaAllah, melalui PAS dan NGO-NGO di bawah PAS, semuanya baik-baik belaka, tiada penyelewengan.
Ramai rakan saya yang melakukan kerja-kerja amal ini samada terus dengan PAS ataupun melalui NGO, tiada lagi bukti penyelewengan terjadi.
Tumpuan kita kepada perang ini, bukan kepada isu-isu kemuncup yang ditaburkan oleh musuh Islam.
Ingatlah, pembantu Israel laknatullah berada di mana-mana.
Mohd Nasir Abdullah
16 Mei 2021